UMNO dan Sejarahnya

Bermula 15 Februari 2019 yang lepas, seluruh Cawangan parti keramat bangsa Melayu, United Malay National Organization telah mengadakan mesyuarat cawangan di tempat masing-masing. Sidang ini akan diakhiri dengan Perhimpunan Agung UMNO yang akan dijalankan sekitar hujung September nanti. Bersempena dengan mesyuarat UMNO, maka marilah kita hayati semula sejarah UMNO yang banyak membantu masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu ini.

Setelah British kembali mejajah Tanah Melayu pasca Perang Dunia Kedua, British telah merombak segala dasar yang berkaitan dengan orang Melayu. Di bawah rancangan British, ini akan mengakibatkan orang Melayu yang sebagai penduduk asal di bumi Tanah Melayu terpaksa bersaing dengan orang lain. Antara salah satunya ialah penubuhan Malayan Union. Malayan Union merupakan satu kesatuan di mana ia akan melucutkan kuasa raja-raja dan akan dikuasai oleh seorang Gabenor.

Selain itu, Gabenor Malayan Union juga akan bertindak sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam yang mana ia akan mencemarkan kesucian agama Islam itu sendiri. Selain itu, Malayan Union menggunakan sistem kerakyatan yang dipanggil jus soli.  Syarat kerakyatan yang longgar membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang Melayu. Orang Melayu meragui kesetiaan orang Cina dan orang India.

Jika orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang Melayu ini menyebabkan hak istimewa dan kedudukan politik orang Melayu akan tergugat. Keadaan ini amat berbahaya untuk kedudukan politik, ekonomi dan masa hadapan orang Melayu. Faktor yang terakhir ialah bagaimana Sir Harold MacMichael mendapatkan tandatangan persetujuan daripada sultan-sultan. MacMichael telah menggunakan paksaan dan ugutan untuk mendapatkan tandatangan. Ini sekaligus membuatkan orang Melayu merasakan maruah mereka dipijak kerana sultan mereka diperlakukan sedemikian.

Oleh yang demikian, orang-orang Melayu telah mengadakan Kongres Melayu SeMalaya yang diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bagi mengecam tindakan penubuhan Malayan Union. Kongres itu telah diadakan pada 1-4 Mac 1946 dan dihadiri oleh sebanyak 41 buah persatuan dari seluruh negara. Di dalam kongres tersebut, sebuah resolusi mencadangkan bahawa perlunya sebuah parti politik untuk menyatukan bangsa Melayu.

Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Zaaba telah meminda satu perlembagaan yang mana ianya dibahaskan ketika Kongres yang kedua. Ketika kongres yang ketiga yang diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada 1 dan 2 Mac, perlembagaan parti baharu telah diluluskan dan pada ketika itulah Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malay National Organisation (UMNO) ditubuhkan. Dato Onn Bin Jaafar, Menteri Besar Johor telah dilantik sebagai Yang Dipertua UMNO yang pertama.

Pada 29 dan 30 Jun, Mesyuarat Agung Pertama UMNO telah diadakan di Ipoh, Perak. Hasil daripada mesyuarat itu, bendera UMNO telah ditetapkan dan Dato Haji Abdul Wahab, Panglima Bukit Gantang, Menteri Besar Perak telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang pertama. Bendera UMNO mula dikibarkan buat kali pertama ketika Majlis Mesyuarat Agung UMNO yang diadakan di Pulau Pinang.

Ketika Mesyuarat Agung UMNO  yang diadakan di Alor Setar, mereka telah membincangkan sktruktur asas perlembagaan Tanah Melayu berdasarkan contoh-contoh perlembagaan setiap negeri di Tanah Melayu. Struktur ini menjadi batu asas bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Dalam tempoh 1949, Sayap pemuda telah ditubuhkan semasa Mesyuarat UMNO di Butterworth, Pulau Pinang. Selain itu, Badan Wanita juga turut ditubuhkan oleh Puan Mariah Puteh semasa persidangan tersebut.

Pada 1950, UMNO telah menganjurkan Persidangan Ulama SeMalaya di Muar bagi memperjuangkan isu Islam melalui UMNO. Pada 1950, Dato Onn Jaafar telah mengundurkan diri kerana pandangan beliau terhadap CLC. Namun, beliau menarik semula perletakan jawatan beliau itu setelah satu perarakan diadakan oleh orang UMNO sebagai tanda meminta maaf daripada orang UMNO atas perbuatan mereka sendiri. Pada 1951, UMNO telah bersetuju untuk menggunakan slogan Merdeka semasa Persidangan UMNO Setengah Tahun yang diadakan di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Pada November 1950, Dato Onn bin Jaafar membuat cadangan
untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu dan mengubah nama UMNO
kepada United Malayan Organization. Beliau mahukan orang-orang Melayu bersifat
terbuka dan menerima pendekatan baru dalam politik yang bersifat Malayan.
Walaubagaimanapun, ahli-ahli UMNO mengecam tindakan Dato Onn sekaligus membuatkan
beliau meletakkan jawatan dan digantikan oleh Tunku Abdul Rahman setahun
kemudian.

Di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman, beliau telah bekerjasama dengan MCA untuk menubuhkan Parti Perikatan. UMNO juga berhadapan dengan cabaran baru apabila mereka bakal menghadapi Pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, Parti MIC juga turut menyerai Parti Perikatan UMNO-MCA dan mula memperjuangkan kemerdekaan.

Ketika Pilihanraya Persekutuan 1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ketika Persidangan UMNO 1955, Pemuda UMNO telah menetapkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan hasil perjumpaan mereka bersama Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama dan ahli falak yang terkenal. Setelah hasil rundingan di London, kerajaan British telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, Setelah kemerdekaan tercapai, Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama.

Pada 1961, Perhimpunan Agung Khas UMNO telah diadakan di Dewan Perbandaran Kuala Lumpur bagi membincangkan dan menyokong usul Tunku untuk menubuhkan Malaysia. UMNO menghadapi ujian getir ketika 1969. Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO hanya menang tipis semasa PRU tersebut. Pasca PRU 1969, tragedi 13 Mei tercetus dan Tunku mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan digantikan dengan  Tun Abdul Razak.

Di bawah pentadbiran beliau , UMNO telah bekerjasama dengan PAS di peringkat negeri dan pusat. Setahun kemudian, Parti Perikatan ditukarnama kepada Barisan Nasional. Setelah kematian Tun Abdul Razak pada 1976, Tun Hussein Onn telah dilantik sebagai Presiden UMNO yang baharu. Semasa pentadbiran Tun Hussein, BN telah mencatatkan sejarah baharu apabila mereka berjaya menguasai Kelantan daripada PAS pada PRU 1978. Pada 1981, Tun Hussein Onn mengundukan diri atas faktor kesihatan dan digantikan oleh Tun Dr Mahathir.

Di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, UMNO telah mencatatkan sejarah hitam apabila parti tersebut diharamkan pada 1987. Setahun kemudian, UMNO Baru telah didaftarkan semula dan Tun Dr Mahathir menggunakan nombor ahli 0001. Pada 1991, UMNO telah melebarkan sayapnya ke Sabah dan Tun Ghaffar Baba dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang pertama.

Pada 1998, UMNO mengalami pergolakan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat atas tuduhan liwat. Pada Persidangan Agung UMNO 2002, UMNO dikejutkan dengan pengumuman pengunduran Tun Mahathir sebagai Presiden UMNO. Selepas dipujuk, beliau bersetuju untuk meletakkan jawatan setahun kemudian dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada PRU 2004, UMNO melalui BN telah mencatatkan sejarah besar apabila mereka memenangi 198 kerusi daripada 219 kerusi yang dipertandingan. Di bawah pentadbiran Tun Abdullah, beliau menetapkan 11 Mei sebagai Hari UMNO. Pada PRU 2008, UMNO melalui BN telah mengalami kekalahan di beberapa buah negeri buat kali pertama sekaligus keputusan tersebut membuatkan Tun Abdullah meletakkan jawatan dan digantikan oleh Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib, UMNO kembali berjaya merampas Kedah semasa PRU 2013.

Pada 2018, buat kali pertamanya, UMNO tewas semasa PRU tersebut. Parti yang membela nasib orang Melayu ini akhirnya tersungkur akibat perang fitnah semasa PRU 2018. Ia juga menandakan tamatnya pemerintahan UMNO selama 61 Tahun. Datuk Seri Najib kemudian meletakkan jawatan dan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semoga UMNO kekal istiqamah dalam perjuangannya yang sebenar – kekal Konservatif yang mempertahankan agama, bangsa dan negara!

SUMBER:

  1. Ibrahim Mahmood (1981) Sejarah Perjuangan UMNO, Penerbitan Antara Kuala Lumpur
  2. Ariffin Omar (2015) Bangsa Melayu, Konsep Bangsa Melayu Dalam Demokrasi dan Komuniti 1945-1950, Penang Institute, Pulau Pinang.
  3. Ramlah Adam (2005),  Dato Onn, Pengasas Kemerdekaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  4. Datuk Seri Khairil Annas Jusoh, Dr Sabri Mohammad Sharif (2016), Kesetiaan Sepanjang Hayat, Yayasan Pendidikan Transformasi, Shah Alam.
  5. Tun Dr Mahathir Mohamad (1982), Dilema Melayu, Federal Publications, Petaling Jaya. 
  6. Subky Latif, Chamil Wariya (1976), Politik, Dilema Pemuda UMNO, Amir Enterprise, Petaling Jaya.
  7. Ramlah Adam (2004), Biografi Politik Tunku Abdul Rahman, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

The post UMNO dan Sejarahnya appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots