Bhopal – Bencana Kimia Angkara Manusia Berhati Syaitan

Isu
kemalangan loji bukan satu isu yang baru kerana ini banyak berlaku sepanjang
lipatan sejarah. Di Amerika Syarikat atau lebih tepat Texas menyaksikan bencana
loji penapis minyak British Petroleum (dahulu BP kini BHP) di Texas City pada
tahun 2005. Tetapi ada satu bencana akibat kemalangan loji yang masih memberi
kesan kepada manusia sehingga hari ini. Bencana yang saya maksudkan ialah
tragedi kebocoran gas Union Carbide di Bhopal pada malam 2 hingga 3 Disember
1984.

Tragedi Bhopal

Pada
malam 2 Disember 1984, sebuah kilang pembuatan racun serangga milik Union
Carbide mengalami kebocoran teruk apabila ia melepaskan lebih 40 tan metrik gas
metil isosianat (MIC) ke atmosfera. Beberapa jam selepas ia bocor, 500,000
penduduk yang terdedah kepada gas ini berada dalam keadaan bahaya. Apabila
ramai mati di kediaman mereka dan jalanan, penduduk yang panik cuba mendapatkan
rawatan di hospital tanpa menyedari gas beracun yang bocor itu datang dari arah
sama.

Salah
seorang penduduk yang mengalami situasi berkenaan ialah seorang wanita bernama
Shehzadi Bee. Bee yang kini berusia 63 tahun ketika itu menetap di sebuah rumah
yang berhampiran dengan jalan utama menuju ke loji berkenaan. Kawasan
kejiranannya merupakan antara kawasan pertama yang diselubungi racun berkenaan.
Apabila dia mendengar kekecohan di luar, dia cuba membawa keluarga termasuk
anak-anaknya keluar dan menyangka bernasib baik apabila menemui sebuah lori
yang membawa penduduk ke tempat selamat. Bee menambah, “Bila saya dan anak-anak
saya naik lori itu, ianya sangat menyedihkan. Mereka yang naik mengalami
masalah pernafasan, merasakan mata mereka terbakar dan mengalami muntah-muntah.
Mereka jatuh pengsan dan satu persatu orang dalam lori mati di hadapan saya.
Ramai orang mati pada hari itu.”

Lori
yang membawa Bee sekeluarga dan penduduk yang terselamat menuju ke satu kawasan
bernama Lal Ghati, sebuah kawasan yang berhampiran dengan lapangan terbang dan
jauh dari pencemaran kimia itu. Tetapi suami tercinta terpaksa menghabiskan
masa di hospital selama dua bulan dan mengalami pelbagai masalah dari sakit
dada yang kronik hingga kehilangan daya penglihatan. Jika tidak mati akibat
keracunan seperti yang disaksikan oleh wanita dan mana-mana penduduk yang
terselamat, ada yang mati akibat terpijak berikutan situasi panik yang melanda
Bhopal ketika itu. Pada pagi 3 Disember, lebih 2,000 penduduk terbunuh akibat masalah
pernafasan dan paling terkesan ialah kanak-kanak. Menurut satu laporan akhbar
The Atlantic, gas MIC dua kali ganda lebih berat dari udara biasa dan ini
membuatkan kanak-kanak bergelut untuk bernafas dan mati akibat keracunan.

Berdasarkan
angka rasmi yang dinyatakan kerajaan India, angka asal ialah 3,787 penduduk
terbunuh sebelum diubah semula kepada 5,295 orang. Bagaimanapun, ramai
penyelidik berpandangan angka tersebut terlalu sedikit berbanding angka sebenar
penduduk yang terbunuh. Mereka menganggarkan 8,000 mati terus selepas terdedah
kepada gas MIC dan lebih 8,000 lagi untuk tahun-tahun berikutnya dengan 500,000
penduduk lagi ceder. Pada tahun 2009, satu laporan The Guardian mendedahkan
lebih 20,000 mati akibat kecederaan dan kecacatan yang dicetuskan oleh
pendedahan gas itu. Bhopal merupakan kemalangan industri yang paling buruk
dalam sejarah manusia.

‘Pengurusan syarikat bertopengkan
syaitan’

Sejak
kemalangan tersebut, tuding-menuding tercetus antara penduduk dan kerajaan
dengan pihak syarikat. Bagi pihak penduduk dan New Delhi, mereka menuduh Union
Carbide bersikap cuai dalam soal pengurusan mereka dan gagal menyelenggara
kemudahan mereka itu dengan baik. Sementara pihak syarikat pula menuduh
kebocoran itu berlaku akibat sabotaj yang dilakukan seorang pekerja yang tidak
dinamakan kerana tidak berpuas hati dengan mereka. Namun bila diminta
mendedahkan identiti pekerja berkenaan, Union Carbide tidak dapat menamakan
pihak berkenaan.

Jika
hendak mencari salah, maka anak panah seharusnya dihalakan kepada Union Carbide
itu sendiri terutama cara mereka mengendalikan gas MIC. Ini didedahkan sendiri
beberapa pekerja kilang kepada wartawan Raj Keswani untuk akhbar harian
Jansatta pada tahun 1982. MIC yang juga salah satu gas yang digunakan semasa
Perang Dunia Pertama merupakan sebuah gas 500 kali ganda merbahaya berbanding
gas hidrogen sianida. Ia sangat merbahaya sehinggakan ia hanya boleh disimpan
dalam keadaan yang betul-betul bersih dan disimpan pada suhu 0 darjah Celsius.
Dan walaupun ia disimpan dalam keadaan itu sekalipun, ia masih boleh memberi
reaksi letupan yang merbahaya. Penyejukan memang melambatkan reaksi tetapi ia
tidak boleh distor melainkan atas dasar keperluan dan dalam kuantiti yang
kecil. Malangnya, Union Carbide menyimpannya dalam satu tangki besar bersaiz
lokomotif stim.

Eksekutif-eksekutif
Union Carbide sentiasa menggambarkan kemudahan mereka di India sebagai canggih
tetapi hakikatnya, keadaan kilang di Bhopal lebih menyerupai keadaan di ladang.
Kilang ini dibina pada tahun 70-an untuk menghasilkan racun serangga yang
diperlukan untuk revolusi hijau India. Malangnya, percubaan Union Carbide tidak
menjadi berikutan siri cuaca monsun yang buruk dan kegagalan tanaman sekaligus
menjadikan loji tersebut ‘penghisap darah’ kewangan syarikat itu. Syarikat
berharap dapat meleraikan semua komponen dan memindahkannya ke Indonesia atau
Brazil. Tetapi disebabkan tiada pembeli, kelompok eksekutif ini mula
melancarkan kempen pemotongan perbelanjaan yang radikal untuk mengukuhkan
kembali kedudukan kewangan mereka.

Antara
tahun 1980 hingga 1984, bilangan pekerja di kilang dikurangkan kepada separuh
seperti krew pengendali MIC dikurangkan daripada 12 kepada enam orang. Di bilik
kawalan pula, seorang pekerja sahaja diletakkan untuk memantau 70 alat kawalan,
indikator dan panel di mana kesemuanya sudah lama dan rosak. Latihan
keselamatan yang seharusnya mengambil masa enam bulan dikurangkan kepada dua
minggu di mana semua penerangan dipendekkan dalam bentuk slogan. Tetapi
memandangkan slogan dalam Bahasa Inggeris, ia sukar difahami pekerja yang tidak
arif dengan Bahasa Inggeris.

Dan
bila Keswani menulis artikel pendedahan salah laku Union Carbide ini, kilang
diuruskan oleh pekerja-pekerja yang tiada latihan keselamatan dan langsung
tidak faham Bahasa Inggeris. Moral pekerja berada di tahap rendah tetapi itu
langsung tidak diendahkan pihak pengurusan. Kemalangan kecil berlaku banyak
kali tetapi sentiasa didiamkan tanpa sebarang tindakan susulan. Sebut pasal
kebocoran, kebocoran kecil berlaku banyak kali tetapi tidak diendahkan sehingga
ke satu tahap siren kebocoran dimatikan untuk mengelak menarik perhatian orang
ramai. Dan para eksekutif Union Carbide memang dasar celaka kerana nak
berjimat, mereka juga sanggup memotong gas freon yang digunakan untuk
menyejukkan tangki MIC di mana nilainya ialah $37 sehari untuk penyejukan.
Kesemua ini merupakan resepi kepada bencana yang akan menimpa.

Satu
laporan yang difailkan para jurutera dari Amerika berkenaan keadaan kilang pada
tahun 1982 mendedahkan terdapat 60 bentuk bahaya, 30 daripadanya bersifat
kritikal dengan 11 bahaya pada pengurusan MIC. Dalam laporan mereka, para
jurutera ini mahukan penambahbaikan dibuat bagi mengelakkan risiko kebocoran
gas yang besar berlaku. Penambahbaikan memang dibuat tetapi di kilang utama
mereka di West Virginia. Sementara di Bhopal pula, tiada sebarang tindakan yang
diambil. Pekerja yang bimbang menampal poster tentang bahaya kilang. Sementara
Keswani pula merayu Ketua Menteri Madhya Pradesh untuk menyiasat dan menutup
kilang berkenaan sebelum ia bertukar menjadi satu bencana yang besar kepada
penduduk. Tetapi semua itu tidak dilayan dan apa yang berlaku pada 2 dan 3
Disember 1984 menjadi sejarah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku sama
sekali.

Tindakan undang-undang

Beberapa
hari selepas itu, CEO merangkap pengerusi syarikat Warren Anderson tiba di
Bhopal untuk meninjau keadaan. Sebaik tiba, beliau ditahan pihak berkuasa dan
dibebaskan dengan ikat jamin selepas beberapa jam sebelum terbang keluar dengan
pesawat negeri Madhya Pradesh. Seperti Anderson, ketua menteri yang sama turut
melarikan diri dari negeri tersebut kerana bimbang dipersalahkan atas apa yang
berlaku. Apabila New Delhi cuba mendakwa Anderson dan para eksekutifnya atas
tuduhan bunuh, lelaki yang bongkak ini menegaskan mereka bukan berada dalam
bidang kuasa Delhi dan mereka tiada apa-apa untuk mendakwa Union Carbide. Bila
kerajaan India cuba mengekstradisi Anderson, cubaan mereka berakhir dengan
kegagalan. Keputusan mahkamah yang enggan melayan rayuan dibuat di peringkat
mahkamah rendah pada Oktober 1993 menyebabkan penduduk yang terjejas tidak
dapat menyaman Union Carbide.

Pada
akhir tahun 80-an, kerajaan India menuntut $3.3 bilion semasa mengheret Union
Carbide ke mahkamah. Selepas mengadakan perbincangan, syarikat bersetuju
membayar penyelesaian luar mahkamah berjumlah $470 juta pada tahun 1989.
Sepanjang tahun 1990, Mahkamah Agung India mendengar rayuan meminta bayaran
pampasan ditambah dan melihat angka tersebut tidak mencukupi. Namun, mahkamah
mengeluarkan penghakiman mengekalkan keputusan tersebut. Sebaliknya, mahkamah
mengarahkan New Delhi menyediakan pakej insurans kesihatan bagi 100,000
penduduk yang mengalami simptom keracunan dan menambah dana sekiranya wujud
kekurangan. Mahkamah juga mengarahkan Union Carbide dan subsidiarinya
menyediakan sebuah hospital di Bhopal dengan kos $17 juta untuk merawat
penduduk yang terjejas.

Namun
bagi ramai penduduk, jumlah tersebut dianggap setakat celah gigi sahaja dan
menganggap pihak syarikat memandang nyawa manusia seperti tiada nilai langsung.
Sehingga hari ini, satu sen pun tidak dibayar oleh Union Carbide dan syarikat
induknya, Dow ke atas 470,000 penduduk yang terjejas kerana mereka bukan
sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dibuat oleh Delhi dan Union
Carbide. Menurut aktivis-aktivis alam sekitar, persetujuan yang dicapai 30
tahun lepas dianggap tidak adil kerana ia tidak mendedahkan bilangan sebenar
penduduk yang cedera dan terbunuh. Pada tahun 2010, kerajaan memutuskan
memfailkan satu lagi petisyen ke mahkamah untuk mempertimbang semula nilai
pampasan yang dianggap tidak adil kepada mangsa dan keluarga waris. Menurut
aktivis, angka sebenar pampasan yang patut dikeluarkan ialah $8.1 bilion.

‘Permainan tarik tali’ Union
Carbide dan kerajaan

Selain
masih berkeras bayaran pampasan yang dinyatakan pada tahun 1989 sebagai adil
dan saksama, Union Carbide juga masih enggan mengeluarkan sebarang laporan
berkenaan gas MIC. Dan walaupun selepas diambilalih oleh Dow pada tahun 2001,
laporan tersebut masih belum diterbitkan untuk tatapan umum. Yang pasti ada
atau tidak laporan sebegitu, kesannya masih dapat dilihat sehingga hari ini
bukan saja dari segi kesihatan tetapi juga kepada keharmonian masyarakat.

Untuk
tahun-tahun berikutnya, mangsa yang terselamat mendapat sedikit saja rawatan
perubatan. Dan berikutan status mereka yang miskin (atau dalam sesetengah kes
isu kasta), mereka dilayan buruk dan doktor kerajaan tidak mahu menyentuh
mereka. Walaupun layak mendapat rawatan percuma, mereka diberi rawatan yang
tidak diperlukan dan diberi ubat yang mahal tetapi hanya memburukkan lagi
keadaan mereka. New Delhi juga dilihat mengabaikan ramai mangsa dengan
menghentikan semua bentuk penyelidikan gas beracun tatkala pelbagai epidemik
masalah kesihatan akibat keracunan ini timbul dengan banyak.

Diabaikan
oleh orang yang sepatutnya membantu dan menjaga mereka, mereka membuka klinik
sendiri. Pada tahun 1994, mereka melancarkan kempen kutipan dana melalui akhbar
The Guardian untuk membeli bangunan, membeli peralatan, mengupah pekerja dan
mendapatkan latihan perubatan. Hasilnya pada tahun 1996, Klinik Sambhavna
dibuka kepada umum di mana mereka menawarkan rawatan yang menggabungkan
pendekatan moden dan Ayurveda. Semua kos dari rawatan hingga rundingan adalah
percuma.

Bagaimanapun,
permainan tarik tali ini tidak terhenti di situ saja. Selepas insiden pada
tahun 1984, Union Carbide tidak berminat memindahkan semua gas beracun miliknya
atau menanggalkan semua komponen kilang mereka. Akibatnya, ia sebenarnya
mencemarkan tanah dan air terutama sumber air penduduk. Dan perkara ini
diketahui Union Carbide menerusi satu memo yang didapatkan melalui mahkamah
Amerika pada tahun 1989. Menurut memo dalaman syarikat, sampel air dan tanah
kilang amat tercemar sehinggakan bila ikan didedahkan kepada sampel air, ikan
tersebut mati dengan pantas. Tiada sebarang amaran dinyatakan kepada kerajaan
negeri dan New Delhi sekaligus mengakibatkan ramai penduduk terjejas teruk
termasuk mengalami kecacatan kekal. Jadi, faham kan mengapa saya gelar kumpulan
eksekutif syarikat ini ialah kumpulan eksekutif setan?

Jika
anda rasa ketidakadilan ini boleh diimbangi oleh pihak kerajaan, anda silap.
Hakikatnya selepas dipilih sebagai Ketua Menteri Madhya Pradesh, Babulal Gaur
dilihat langsung tidak berminat memperjuangkan nasib penduduk. Buktinya setahun
selepas dipilih pada tahun 2004, penduduk yang bimbang akan nasib mereka
mengadu ke pejabat kerajaan. Tetapi apa mereka dapat? Mereka bukan saja tidak
dilayan tetapi juga dipukul teruk oleh pasukan keselamatan. Dan bila ditanya
sama ada pencemaran air akibat tinggalan Union Carbide benar-benar berlaku, Gaur
memberi jaminan air tersebut dianggap selamat.

Tetapi
tanpa pengetahuan ramai, parti yang diwakili Gaur iaitu BJP mendapat sejumlah
besar derma politik oleh syarikat induk Union Carbide, Dow. Ini merupakan
sebahagian daripada rancangan mereka ketika itu untuk memaksa pentadbiran
Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh untuk melepaskan mereka dari apa yang
berlaku di Bhopal. Dan tidak mengejutkan sekiranya trend ini diteruskan
sehinggalah pilihan raya India pada April ini, sebarang bentuk keadilan untuk
mangsa yang terlibat akan terus dihalang oleh unsur korupsi dan ketamakan
manusia berhati batu.

SUMBER

1.
Withnall, Adam. (2019). The Independent. Bhopal gas leak: 30 years later and
after nearly 600,000 were poisoned, victims still wait for justice. https://www.independent.co.uk/news/world/asia/bhopal-gas-leak-anniversary-poison-deaths-compensation-union-carbide-dow-chemical-a8780126.html

2.
Sinha, Indra. (2009). The Guardian. Bhopal: 25 years of prison. https://www.theguardian.com/environment/2009/dec/04/bhopal-25-years-indra-sinha

3.
The Week. (2019). Bhopal disaster 35 years on: what happened? https://www.theweek.co.uk/99635/bhopal-disaster-35-years-on-what-happened

The post Bhopal – Bencana Kimia Angkara Manusia Berhati Syaitan appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots