Pengembaraan Dalai Lama Melarikan Diri Daripada China

Pada tarikh 17 Mac tahun 1959, Tenzin Gyatso, yang juga merupakan Dalai Lama ke-14, seorang tokoh utama serta ketua di dalam ajaran Buddhisme Vajrayana, (salah satu cabang utama agama Buddha) telah melarikan diri dari Tibet untuk ke India.

Tenzin Gyatso dilantik menjadi Dalai Lama ke-14 pada tarikh 22 Februari 1940.

Pada tahun 1950, ribuan anggota tentera China telah merentasi sempadan, kemudiannya bertindak menawan Tibet. Tahun berikutnya, China memasukkan negara kecil itu di dalam kawasan pemerintahannya. Beijing menggelar tindakan ini sebagai “peaceful liberation”.

Tentera China berkawad di perkarangan Istana Potala

Menyedari akan kekuatan ketenteraan yang dimiliki oleh tentera China, kerajaan Tibet pada ketika itu diketuai oleh Dalai Lama yang masih remaja, telah menandatangani perjanjian untuk melindungi agama Buddha dan menghormati autonomi Tibet.

Rundingan serta penyelesaian secara aman ini telah dilakukan demi untuk mengelak dari berlakunya pertumpahan darah yang lebih besarWalaubagaimanapun beberapa tahun kemudian, gerakan pemberontakan mula muncul sebagai penentangan terhadap pemerintahan China.

Warga Tibet berhimpun mengelilingi Istana Potala.

Kemudian pada tarikh 10 Mac 1959, situasi semakin meruncing apabila ribuan warga Tibet telah bertindak membuat satu kepungan di sekeliling Istana Potala, iaitu kediaman Dalai Lama oleh kerana tersebarnya khabar angin bahawa kemungkinan ketua mereka itu bakal diculik atau dibunuh oleh pihak China. Kekacauan ini berlanjutan selama beberapa hari dan peristiwa ini kini dikenali sebagai “Kebangkitan Lhasa”.

Atas nasihat jemaah menteri yang takut akan keselamatan diri Dalai Lama yang pada ketika itu berumur 23 tahun, serta kemungkinan besar tindak balas dari pihak China, beliau bersama-sama kumpulan seramai 20 orang bawahan, melarikan diri dari Lhasa pada tarikh 17 Mac.

Semasa melarikan diri dari Istana Potala, Dalai Lama menyamar dengan berpakaian seperti anggota tentera. Namun ada sumber mengatakan bahawa beliau menyamar sebagai seorang pengangkat barang. Kumpulan kecil itu dengan mudah menyusup keluar di celah-celah ribuan warga Tibet yang sedang berkumpul di luar istana.

Rombongan itu kemudiannya memulakan pengembaraan mereka yang mengambil masa selama 15 hari. Dengan hanya berjalan kaki dan menaiki kuda, rombongan mereka bergerak pada waktu malam sahaja untuk mengelak dari dikesan oleh tentera China. Mereka merentas kawasan pergunungan Himalaya untuk ke Dharamshala, India, tempat di mana rombongan Dalai Lama itu telah ditawarkan perlindungan.

Oleh kerana tiada sebarang khabar berita yang telah didapatkan daripada rombongan kecil itu setelah memulakan perjalanan mereka, warga Tibet serta pengikut Dalai Lama mula berasa risau akan keselamatan ketua politik dan kerohanian mereka. Dan mereka mula beranggapan bahawa rombongan itu telahpun tumpas berikutan laluan pergunungan yang mencabar dengan suhu yang sangat sejuk.

Namun pada tarikh 30 Mac, rombongan Dalai Lama itu dikhabarkan telah tiba ke destinasi dengan selamat dan berjaya merentasi sempadan memasuki India. Mendengar khabar gembira ini, seramai 80,000 warga Tibet telah bertindak mengikuti jejak langkah Dalai Lama untuk ke India, seterusnya menetap di Dharamshala.

Dharamshala kemudiannya dikenali dengan panggilan ‘Little Lhasa’. Tempat ini secara tidak rasmi menjadi sebuah ‘negara’ bagi kerajaan buangan Tibet yang dipimpin oleh Dalai Lama.

Sehingga ke hari ini, Tibet masih lagi berada di bawah kawalan dan pemerintahan kerajaan China. Walaubagaimanapun, Tenzin Gyatso, Dalai Lama ke-14, berterusan mencari jalan rundingan kepada sebuah penyelesaian aman untuk Tibet menjadi sebuah negara yang merdeka.

RUJUKAN:

“Dalai Lama” : Great Personalities of the World oleh Renu Saran.

How and Why the Dalai Lama Left Tibet. Retrieved from:http://time.com/3742242/dalai-lama-1959/

The post Pengembaraan Dalai Lama Melarikan Diri Daripada China appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots