Suspek Buang Sisa Kimia Di Sungai Klang Ditahan

Pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes pembuangan sisa kimia secara haram di sebuah kolam tadahan banjir di Taman Eng Ann, Klang pada khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata suspek yang berusia 26 tahun itu merupakan warga tempatan ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor pada jam 4.30 petang semalam.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas sebuah lori tangki yang dipercayai digunakan untuk membawa sisa kimia tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah menerima tempahan daripada sebuah syarikat bagi melakukan kerja pembuangan sisa kimia tersebut.

“Semakan rekod mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Klang hari ini untuk permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan polis dan kes akan disiasat mengikut seksyen 277 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata kerja-kerja pembersihan kolam berkenaan telah selesai dilakukan.

Sebanyak 28,000 liter sisa industri berkenaan telah dikumpul dan disimpan di dalam tangki simpanan sementara sebelum dilupuskan mengikut kaedah yang sesuai.

Pada khamis lepas, sebanyak 21 bahan sisa industri dikesan dibuang ke dalam kolam itu sehingga membawa kepada pencemaran kolam tadahan tersebut.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli