Perjanjian Waitangi – Ketuanan “Maori” Di Bumi New Zealand

Sejarah
orang Maori di New Zealand merupakan satu sejarah yang panjang. Ini kerana
menjelang abad ke-19 dan ke-20, mereka berusaha memperjuangkan hak mereka yang
dinafikan Britain termasuk mengembalikan satu perjanjian yang dianggap
signifikan terhadap kepentingan bangsa berkenaan. Perjanjian yang dimeterai
pada tahun 1840 ini dianggap sama seperti kontrak sosial tanah air yang kita
ketahui hari ini. Perjanjian yang saya maksudkan ialah Perjanjian Waitangi.

Pada
tahun 1830-an, New Zealand ketika itu masih lagi dikuasai orang Maori tetapi
sudah mula menarik perhatian para peneroka yang datang dari Eropah. Pada
awalnya, tidak ramai yang memilih New Zealand berikutan lokasinya berhampiran
dengan koloni penjara pihak Britain di New South Wales, Australia. Namun, itu
tidak menghalang syarikat seperti New Zealand Company menjanjikan tanah murah
untuk para peneroka. Tanah murah ini diperoleh dengan cara tidak sah termasuk
menjual tanah yang tidak dimiliki mereka kepada peneroka dan mengadakan kempen
pengiklanan palsu. Selain itu, perjanjian ini dimeterai bukan saja untuk
melindungi warga British berikutan undang-undang negara itu tidak terpakai di
New Zealand ketika itu. Malah, ia bagi menjamin kedaulatan New Zealand dengan
menguatkuasakan Deklarasi Kemerdekaan New Zealand yang dibuat pada tahun 1835.

Bagi
mengekang cubaan New Zealand Company yang diketuai Edward Gibbons Wakefield
dari memulakan proses kolonisasinya di New Zealand, London melantik Kapten
William Hobson sebagai konsul mereka di New Zealand dan sebagai leftenan
gabenor di mana-mana kawasan yang dibenarkan bangsa Maori menjadi milik Britain
pada tahun 1839. London turut mengarahkannya berunding bagi menentukan status
kedaulatan New Zealand dan menubuhkan secara rasmi koloni British pertama di
negara berkenaan. Semasa dalam perjalanan, beliau menerima surat dari
Setiausaha Dalam Negeri Constantine Phipps tentang cara berunding dengan pihak
Maori.

Rombongan
Hobson akhirnya tiba di New Zealand pada 29 Januari 1840 dengan kapal HMS
Herald bersama sekumpulan kecil pegawai kerajaan termasuk Setiausaha Koloni
Willoughby Shortland, Bendahari Koloni dan Peguam Negara Francis Fisher. Beliau
turut melantik tiga orang individu iaitu Shortland, Johnson dan Matthew sebagai
majistret. Sebaik tiba, Hobson mula merangka Perjanjian Waitangi dengan bantuan
setiausahanya James Freeman dan Residen British James Busby. Bagi memastikan
kandungan perjanjian difahami sebaiknya oleh pihak Maori, usaha penterjemahan
dilakukan oleh mubaligh Henry Williams dan anaknya Edward.

Selepas
ia selesai didraf dan diterjemahkan, Hobson mengadakan mesyuarat bersama 500
ketua puak Maori di Waitangi pada 5 Februari. Dalam mesyuarat berkenaan, mereka
berdebat tentang kedudukan perjanjian dan bagaimana ia memberi kesan kepada
kedudukan mereka sebagai ketua puak. Salah seorang yang menyatakan kesangsian
terhadap perjanjian ini ialah seorang ketua puak bernama Rewa (Russell) dari
Korokareka. Beliau berkata, “Orang Maori tidak memerlukan gabenor kerana kami
bukan orang putih atau orang luar. Walaupun kebanyakan tanah kami sudah mula
diambil oleh orang Eropah, negara ini merupakan hak milik kami, kamilah
gabenornya dan kamilah ketua di atas tanah ayah kami ini.” Pada hari
berikutnya, tidak banyak debat tentang status perjanjian dan pada akhir
mesyuarat, 40 ketua Maori memilih menandatangani perjanjian tersebut.

Selepas
melihat perjanjian, Bishop Katolik berbangsa Perancis iaitu Jean Baptiste
Francois Pompallier meminta syor semua agama dan kepercayaan dibenarkan
dipraktikkan di tanah baru itu dimasukkan dalam syarat perjanjian dan ia
dipersetujui oleh Hobson. Untuk hari-hari berikutnya, mesyuarat di Waimate
Utara dan Hokianga menyaksikan lebih ramai ketua puak menandatangani
perjanjian. Bagaimanapun pada sesetengah masa, ia tidak berjalan lancar di mana
ada yang masih sangsi dengan kandungan perjanjian. Tetapi pada Hobson, itu
sudah cukup untuk mengesahkan kedaulatan New Zealand dan mematikan sebarang
cubaan koloni termasuk dari New Zealand Company.

Beberapa
lagi salinan perjanjian dalam Bahasa Maori dibawa ke seluruh negara dalam
tempoh beberapa bulan bagi mendapatkan lebih banyak tandatangan ketua puak.
Dalam setiap salinan perjanjian bukan saja mengandungi tandatangan ketua puak
Maori tetapi juga saksi dalam kalangan peneroka Eropah. Pada November tahun
sama, Ratu Victoria menandatangani piagam diraja yang mengesahkan kedudukan New
Zealand sebagai Koloni Mahkota dan memisahkannya daripada koloni New South
Wales. Sementara Hobson pula dilantik sebagai Leftenan Gabenor pada May 1841.
Bagaimanapun, tempoh pentadbiran beliau tidak bertahan lama apabila meninggal
dunia akibat strok pada September 1842.

Pada
dasarnya, Perjanjian Waitangi hanya mempunyai tiga fasal sahaja iaitu berkenaan
soal kedaulatan, jaminan hak orang Maori termasuk pemilikan tanah dan soal
kerakyatan British. Bagaimanapun untuk dua fasal pertama, wujud kekeliruan dari
segi terjemahan. Dalam terjemahan Maori pada fasal pertama wujud kekeliruan
tentang peranan Ratu sebagai ketua negara di mana mereka melihat baginda lebih
kepada sebagai ketua pentadbiran. Kedua, isu pemilikan tanah di mana dalam
terjemahan Maori sebarang rundingan hak transaksi tanah diberi kepada pihak
kerajaan Mahkota oleh Maori. Tetapi dalam terjemahan Bahasa Inggeris, ia
seolah-olah memberi hak eksklusif kepada mereka berunding tentang transaksi
tanah. Dua versi terjemahan ini yang mencetuskan perbalahan dalam kalangan
ketua puak yang menyokong dan menentang perjanjian ini.

Bagi
sesetengah ketua puak, perjanjian ini dilihat dapat membantu mengawal tingkah
laku peneroka dan penjualan tanah. Selain itu, peluang menjana pendapatan dari
aktiviti perdagangan dan peluang pekerjaan juga dilihat memberi manfaat kepada
penduduk. Perjanjian ini juga dilihat dapat mengelak konflik antara puak yang
boleh berlanjutan selama berdekad-dekad lamanya. Walaupun sedar mereka perlu
berkompromi bagi mengekalkan kuasa, mereka diberi jaminan kuasa mereka masih
terpelihara berdasarkan Artikel Kedua Perjanjian Waitangi. Ini kerana ia
menunjukkan berlakunya unsur perkongsian kuasa antara pihak kerajaan dengan
pihak puak.

Bagi
sesetengah yang menolak, mereka menolak atas banyak faktor. Walaupun salinan
perjanjian dalam Bahasa Maori diedarkan di banyak tempat, ia tidak sampai di
sesetengah kawasan di Taranaki dan Wairarapa. Bila ada mesyuarat bagi
pengesahan perjanjian, sesetengah ketua puak tiada dan perunding perjanjian
dilihat tidak sabar menanti kepulangan mereka. Ada pula yang menerima salinan
perjanjian tetapi enggan menandatanganinya kerana merasakan perjanjian itu akan
menguntungkan pihak peneroka berbanding orang Maori dan mengancam kemerdekaan
mereka. Ada pula yang menyifatkan perjanjian itu menjejaskan usaha penyelesaian
pertelagahan antara puak kerana mereka mahukan kekuasaan penuh dalam soal ini
dan tidak mahu campur tangan pihak luar.

Di
sebalik semua ini, Hobson dan penggantinya Sir Robert FitzRoy cuba
menguatkuasakan fasal-fasal perjanjian yang dimeterai tetapi wujud pelbagai
halangan seperti ketiadaan sokongan kewangan dari London. Ini ditambah cubaan
lobi kelompok peneroka terutama New Zealand Company yang melihat perjanjian itu
melemahkan cubaan mereka mendapatkan tanah puak Maori. Sebab itulah selepas
FitzRoy digantikan oleh Sir George Grey pada tahun 1845, beberapa akta
diperkenalkan untuk melemahkan kedudukan perjanjian berkenaan. Ini ditambah
pihak koloni mempergunakan kelemahan puak Maori termasuk isu buta huruf dan
ketiadaan kemampuan kewangan untuk mencabar kes penjualan tanah di mahkamah,
sekaligus mengakibatkan satu persatu tanah mereka jatuh ke tangan pihak koloni.

Kedudukan
mereka juga tidak dibantu dengan cubaan sesetengah puak Maori melancarkan
Gerakan Raja Maori pada tahun 1850-an dengan tujuan memberi peluang rundingan
dengan pihak gabenor dan Ratu pada kedudukan yang sama rata. Bagi mereka,
langkah ini bertepatan dengan fasal pertama perjanjian. Lebih banyak masalah
timbul bila kerajaan menggunakan pergerakan berkenaan untuk menjustifikasikan
langkah menceroboh dan merampas tanah pihak Maori di Waikato dan Taranaki pada
awal tahun 1860-an. Situasi inilah kemudiannya mencetuskan Perang New Zealand
di mana Perjanjian Waitangi dipergunakan sebagai alasan memerangi ketua-ketua
puak di wilayah berkenaan sebagai pemberontak.

Semasa
konflik masih panas, gabenor ketika itu Thomas Gore Browne mengadakan mesyuarat
bersama 200 orang Maori termasuk 100 orang ketua puak yang menandatangani
Perjanjian Waitangi bagi membincangkan soal perjanjian dan isu tanah di
Kohimarama, Auckland. Mesyuarat ini dikenali sebagai Persidangan Kohimarama di
mana ia merupakan cubaan dari pihak kerajaan untuk mengelak konflik tersebar ke
seluruh negara. Persidangan ini dilihat satu bentuk ratifikasi kepada
Perjanjian Waitangi dan cadangan penubuhan majlis puak tetapi syor tersebut
tidak diendahkan. Sebarang harapan melihat perkongsian kuasa antara ketua puak
dengan pihak kerajaan berakhir dengan kekecewaan.

Menjelang
akhir abad ke-19, sebarang harapan melihat perjanjian itu dikuatkuasakan atau
sekurang-kurangnya diiktiraf dalam undang-undang tempatan semakin tipis.
Perjanjian yang sepatutnya melindungi mereka semakin lemah menerusi penggubalan
undang-undang seperti Akta Kerja Raya 1864 dan 1876 yang memberi hak kepada
kerajaan mengambil alih tanah puak Maori untuk projek kemudahan awam seperti
jalan raya dan landasan keretapi. Orang Maori melihat hak eksklusif mereka
berkenaan kawasan belantara dan lautan serta hasilnya tidak lagi dihormati
berikutan tindakan semberono pemain-pemain industri termasuk melakukan aktiviti
pencemaran. Pada tahun 1938, walaupun pihak mahkamah mengakui terma perjanjian
berkenaan perpindahan kedaulatan, tetapi disebabkan ia tidak terikat dengan
undang-undang New Zealand, ia tidak terpakai kepada koloni Mahkota.

Tetapi
perlahan-lahan hak bangsa ini mula dipulihkan walaupun ia mengambil masa lama.
Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, pihak Maori memfailkan petisyen
kepada pihak monarki dan Parlimen Britain. Permintaan mereka satu saja, penuhi
apa yang dinyatakan dalam perjanjian. Kesemua petisyen ini dihalakan kembali ke
Parlimen New Zealand di mana mereka bertegas mereka menghormati semua fasal
perjanjian berkenaan. Tetapi bagi pihak Maori, parlimen seolah-olah keberatan
menguatkuasakan perjanjian itu.

Cubaan
mereka untuk mendorong pihak kerajaan melalui pemilihan empat ahli parlimen
Maori ke Parlimen juga berakhir dengan kegagalan kerana usul perjanjian ini
sentiasa ditembak jatuh bila cuba dibentangkan di Parlimen. Mereka turut
menubuhkan institusi alternatif untuk mengukuhkan hak perjanjian mereka
menerusi pembentukan Parlimen mereka yang dikenali sebagai Te Kotahitanga o te
Tiriti o Waitangi. Para penyokong mereka berharap ini dapat membantu ahli
parlimen Maori di Parlimen dan didengar oleh pihak kerajaan. Namun, suara
mereka tidak dilayan dan institusi ini berakhir pada awal abad ke-20. Penyokong
gerakan raja pula mewujudkan institusi mereka sendiri yang dipanggil Te
Kauhanganui pada tahun 1880-an. Institusi ini aktif pada awal abad ke-20 dan
terus wujud sehingga hari ini. Pada tahun 2008, wakil Te Kauhanganui
menandatangani perjanjian pengurusan bersama Sungai Waikato bersama pihak
kerajaan.

Di
sebalik penjualan tanah Maori yang masih berlaku, hubungan kerajaan dengan
pihak Maori semakin baik dan ini memberi harapan kepada mereka untuk
mendapatkan semula hak mereka. Ini ditambah dengan pembabitan figura-figura
politik elit Maori seperti Sir James Carroll dan Sir Apirana Ngata dalam
kerajaan sekaligus mengukuhkan usaha mereka. Pada tahun 1920-an, ada dua
keputusan mahkamah yang terus memarakkan lagi impian perjanjian dalam kalangan
orang Maori. Pertama, pengiktirafan kepada puak Te Arana bagi hak ke atas
tasik-tasik di Rotorua dan pampasan bagi kehilangan hak menangkap ikan serta
pengebumian secara tradisional pada awal tahun 1920-an. Ini disusuli perjanjian
sama berkenaan Tasik Taupo dan anak-anak sungai sekitarnya dengan puak Ngati
Tuwharetoa pada tahun 1926.

Tatkala
ada yang menyambut ulangtahun seabad Perjanjian Waitangi dan menyifatkan ia
sebagai bukti hubungan kaum di New Zealand berjalan dengan baik, ia
bagaimanapun tidak mendedahkan sisi gelap perjanjian termasuk lebih banyak
penjualan tanah. Satu akta yang dianggap menyinggung pihak Maori pada tahun
50-an dan 60-an ialah penggubalan Akta Pindaan Hal Ehwal Maori 1967 yang
membenarkan kerajaan mengambil tanah mereka yang disifatkan tiada kepentingan
ekonomi. Bagi orang Maori, pencabulan-pencabulan sebegini mendorong mereka
berarak dari utara New Zealand hingga ke Parlimen di Wellington diketuai
seorang figura yang dihormati bernama Whina Cooper. Peristiwa ini membuka mata
ramai pihak kerana Perjanjian Waitangi dianggap batu asas hubungan pihak
monarki Britain dengan orang Maori.

Protes
pihak Maori berterusan pada tahun 70-an dan 80-an terutama selepas 6 Februari
dijadikan cuti umum bagi mengenang peristiwa pemeteraian Perjanjian Waitangi.
Protes pada hari cuti ini pada tahun 1974 mendedahkan kewujudan jurang
berkenaan pemahaman terma perjanjian dari pihak Maori kepada pihak kerajaan.
Protes ini menarik perhatian pihak media dan semakin bertambah dari semasa ke
semasa. Melihat kepada situasi ini dan merasakan wujud keperluan untuk
menambahbaik hubungan kerajaan-Maori, Akta Hari Waitangi 1960 dipinda dan
dikukuhkan pada tahun 1975 yang membawa kepada penubuhan Tribunal Waitangi.

Semasa
ia ditubuhkan, ia merupakan sebuah suruhanjaya siasatan tetap yang ditubuhkan
bagi menyiasat dakwaan pihak Maori bahawa pihak koloni mencabuli prinsip
perjanjian. Tetapi kuasa suruhanjaya ini terhad dengan setiap dakwaan dihadkan
sehingga tahun 1975 dan mereka hanya boleh mencadangkan syor kepada pihak
kerajaan untuk dipertimbang dan dikuatkuasakan. Tetapi bidang kuasa suruhanjaya
ini ditambahbaik di mana ia meliputi semua tindakan pihak koloni dan
pengecualian yang dibuat bila ia dimeterai pada tahun 1840. Ini membuka ruang
kepada orang ramai mengetahui aspek sebenar hubungan Maori-kerajaan.
Penambahbaika ini turut merangkumi penambahan ahli suruhanjaya dan memperluas
kapasiti penyelidikan, sesi pendengaran dan laporan bertulis.

Pada
pertengahan 1980-an, beberapa dozen akta baru Parlimen digubal di mana
akta-akta ini menyelitkan rujukan terhadap Perjanjian Waitangi. Seperti mana
Akta Hari Waitangi 1975, setiap akta ini merujuk kepada prinsip-prinsip yang
terkandung dalam perjanjian. Akta-akta ini membenarkan mahkamah
mengintepretasikan sejauh mana prinsip perjanjian yang dibangkitkan dalam
mana-mana kes yang diliputi oleh pihak perundangan. Pengiktirafan undang-undang
ini memberi kesan besar kepada kerajaan tempatan dan agensi-agensi kerajaan.

Pada
tahun 1990-an dan dekad pertama abad ke-21, Wellington mula berunding dengan
pihak Maori bagi membincangkan isu pampasan bagi perlanggaran perjanjian yang
dilakukan pihak koloni sejak ia dimeterai pada tahun 1840. Menjelang tahun
2006, NZ$900 juta dibayar kepada orang Maori di mana kebanyakan transaksi
membabitkan perjanjian tanah. Tahun 2008 menyaksikan lapan puak Maori menerima
sembilan kawasan tanah belantara yang besar menerusi satu perjanjian dengan
pihak kerajaan. Disebabkan pampasan sebegini turut diterima oleh puak-puak
lain, mereka mempunyai kepentingan signifikan dalam industri perhutanan dan
perikanan.

Selain
itu, sesetengah pemimpin Maori turut mempergunakan penyelesaian pampasan
sebagai peluang mendapatkan lebih banyak pelaburan dan peluang ekonomi kepada
penduduk tempatan. Namun, penyelesaian sebegini masih dianggap kontroversi bagi
pihak Maori dan penduduk bukan berdarah Maori. Di pihak Maori, mereka melihat
jumlah penyelesaian yang ditawarkan tidak seberapa dengan nilai kerosakan yang
dibuat pihak kerajaan. Sementara satu lagi pihak menuduh pihak kerajaan
bersikap pilih kasih dalam soal polisi dan tindakan. Keadaan ini yang
kemudiannya mencetuskan kontroversi membabitkan kawasan pesisir bawah dan
lantai laut New Zealand pada tahun 2004.

SUMBER

Claudia
Orange. (2012). ‘Treaty of Waitangi – Creating the Treaty of Waitangi’, Te Ara
– the Encyclopedia of New Zealand’. http://www.TeAra.govt.nz/en/treaty-of-waitangi

The post Perjanjian Waitangi – Ketuanan “Maori” Di Bumi New Zealand appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots