Boeing 737 Max – Masihkah Ia Boleh Dipercayai?

Beberapa hari lepas, dunia dikejutkan dengan kemalangan udara membabitkan pesawat Boeing 737 Max Ethiopian Airlines yang terhempas selepas beberapa minit berlepas dari lapangan terbang di Addis Ababa. Kemalangan ini merupakan kemalangan kedua membabitkan 737 Max selepas kemalangan udara pesawat Lion Air pada tahun lepas. Ini mengundang persoalan bagaimana perkara ini berlaku dan apa impak bukan saja kepada Boeing tetapi juga kepada industri penerbangan.

Pesawat Boeing 737 menjadi pilihan banyak syarikat penerbangan kerana boleh terbang untuk laluan penerbangan pendek dan sederhana, prestasi pesawat yang memuaskan dan konfigurasi bilangan penumpang yang boleh dimuatkan. Selain itu, sikap Boeing yang sentiasa mengambil kira maklum balas pelanggan mereka dan menambahbaik jenis pesawat Boeing 737 menjadikan ia amat popular di sebalik saingan pesawat A320 keluaran Airbus.

Bagi pesawat Boeing 737 Max, pesawat ini menjadi pilihan bukan saja atas sebab kos pembelian yang berpatutan tetapi juga atas sebab kos penyelenggaraan dan minyak yang berpatutan. Dan ia juga mampu terbang lebih jauh sekaligus membuka peluang kepada syarikat penerbangan lain meneroka peluang membuka laluan penerbangan yang lebih jauh. Berdasarkan statistik, angka tempahan Boeing 737 Max bernilai lebih $600 bilion dengan ia berkemampuan terbang dengan menggunakan 14-20% kurang minyak berbanding model pesawat lain.

Bagaimanapun, kemampuan pesawat ini mula dipersoalkan selepas tragedi kemalangan udara Lion Air di Indonesia pada Oktober tahun lepas. Hasil siasatan pihak berkuasa Indonesia mendapati pesawat berkenaan tidak seharusnya terbang dan mengalami masalah teknikal dalam penerbangan-penerbangan sebelumnya. Siasatan mendapati juruterbang bergelut dengan sistem anti-menegun pesawat yang menolak muncung pesawat ke bawah dan juruterbang terpaksa menggunakan kawalan manual untuk menaikkan semula muncung pesawat.

Selepas tragedi yang mengorbankan 189 penumpang dan krew, Jakarta memutuskan untuk membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap semua pesawat Boeing 737 Max yang dimiliki syarikat penerbangan negara berkenaan. Tragedi itu juga mendorong Boeing mengeluarkan tampalan pada perisian sistem berkenaan bagi mengelakkan masalah tersebut tidak berulang. Tampungan ini dijangka dipasang pada semua model Max pada April ini.

Tragedi di Ethiopia. Kredit: www.independent.co.uk

Namun, rungutan para juruterbang terhadap Boeing 737 Max sudah lama berlaku sebelum tragedi Lion Air dan Ethiopian Airlines lagi. Berdasarkan semakan beberapa akhbar berkenaan Data Insiden dan Kemalangan FAA (pangkalan data yang membenarkan juruterbang memfailkan aduan/laporan secara rahsia), wujud rungutan terhadap beberapa ciri pesawat seperti manual penerbangan yang tidak memuaskan dan isu keselamatan pesawat yang membimbangkan. Boeing dalam satu kenyataannya pada tahun lepas menegaskan mereka masih yakin dengan integriti pesawat dan sentiasa mengutamakan soal keselamatan bagi setiap pesawat yang dihasilkan mereka.

Dengan kemalangan udara Ethiopia Airlines ini, keyakinan negara-negara dunia terhadap Boeing 737 Max goyah sehingga mendorong mereka mengarahkan pesawat ini tidak dibenarkan terbang membabitkan 40 negara seperti China, Indonesia dan Malaysia. Di sebalik semua ini, Amerika Syarikat dilihat cuba untuk tidak menurut langkah negara-negara berkenaan dengan FAA bertegas ia masih dianggap selamat untuk terbang.

Namun selepas ditekan ramai pihak termasuk Senator Elizabeth Warren dari Demokrat, pentadbiran Rumah Putih akhirnya mengumumkan operasi Boeing 737 Max digantung. Pengumuman ini yang mendorong Boeing membuat pengumuman sama hari ini demi memastikan pesawat itu benar-benar selamat dan memuaskan. Ini sekaligus memulihkan semula harga saham Boeing selepas jatuh sebanyak $26 bilion pada hari pesawat Ethiopia Airlines itu terhempas. Namun, ini menyukarkan banyak syarikat penerbangan di mana mereka perlu membatalkan tempahan penumpang yang terbang dengan Boeing 737 Max dan membantu mereka terbang dengan penerbangan alternatif.

Ada juga yang sudah mempertimbang untuk membatalkan tempahan pesawat ini seperti yang dinyatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini. Semasa ditemubual wartawan berkenaan isu ini, beliau meminta pengurusan Khazanah Nasional Berhad menyemak semula tempahan pembelian Malaysia Airlines (MAS) untuk pesawat Boeing 737 Max bagi memastikan pesawat-pesawat yang dimiliki MAS benar-benar selamat. Selain Malaysia, Lion Air juga bertekad membatalkan tempahan pembelian Boeing 737 Max dan beralih kepada jenis terbaru A320 keluaran Airbus.

Sementara di Amerika pula, penganalisis pasaran saham menasihatkan mana-mana pelabur yang mahu mendapatkan saham Boeing mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Menurut Jeff Windau, seorang penganalisis dari firma Edward Jones, dua kemalangan membabitkan Ethiopia Airlines dan Lion Air ini dilihat memberi kesan negatif kepada syarikat kerana ia boleh mendorong syarikat-syarikat penerbangan membatalkan tempahan. Pembatalan ini sudah pasti akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat dalam jangka masa pendek.

Tapi satu perkara yang menimbulkan persoalan dalam kalangan juruterbang dan syarikat-syarikat penerbangan ialah jika benar ada masalah pada sistem anti-penegunan, mengapa ia mengambil masa lama dipasang pada model Boeing 737 Max? Anda tidak perlu lihat jauh, ingat tiga perkataan ini: penutupan kerajaan persekutuan. Ya, terima kasih kepada penutupan kerajaan yang paling lama disaksikan Amerika, sebarang bentuk penambahbaikan dan pensijilan keselamatan bagi memastikan pesawat-pesawat boleh terbang dengan selamat terpaksa ditangguhkan.

Ini didedahkan dalam beberapa surat yang dihantar 61,000 juruterbang terhadap FAA dan Rumah Putih yang memberi amaran penutupan kerajaan mengurangkan keupayaan jawatankuasa pemantau FAA untuk menyemak sebarang isu keselamatan yang timbul. Akibatnya, ini akan mencetuskan pelbagai masalah yang mengundang risiko keselamatan terhadap krew penerbangan dan penumpang.

Buat masa ini, punca kemalangan masih tidak diketahui dan pihak berkuasa Ethiopia akan berhubung rapat dengan Boeing dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) semasa siasatan dijalankan. Namun, jika benar masalah pesawat sama dengan masalah yang melanda pesawat Lion Air pada Oktober tahun lepas, ini sudah pasti mengundang persoalan sejauh mana ia boleh diharap dari segi keselamatan dan apa langkah yang perlu diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang.

Selain itu, jika penangguhan tampalan perisian pada pesawat ada kaitan dengan isu penutupan kerajaan beberapa bulan sebelumnya, ia turut mengundang satu persoalan etika kepada para politikus terutama di Amerika Syarikat: apakah berbaloi memperjuangkan ego yang tidak seberapa jika yang dikorbankan ratusan nyawa yang tidak berdosa?

The post Boeing 737 Max – Masihkah Ia Boleh Dipercayai? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots