”Saya Berhenti Bagi Sumbangan Dekat Masjid Kerana Nak Berjimat,” Apa Yang Berlaku Selepas Itu Buat Lelaki Ini Insaf

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sedekah adalah amalan mulia yang menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Tidak kiralah berapa kecil pun nilainya, jika disertai dengan niat yang ikhlas, Allah akan memberikan kesejahteraan hidup kepada setiap individu dan membuka pintu rezeki seluasnya.

Namun, masih ada yang berkira-kira dan memberatkan amalan bersedekah. Sedangkan ramai yang mengetahui, dengan bersedekah tidak sesekali menyebabkan harta seseorang mukmin itu berkurang. Malah, membawa kepada kelancaran rezeki dalam kehidupan.

Perkongsian oleh seorang individu melalui media sosialnya ini ternyata menjentik emosi ramai. Betapa kita sebagai hamba-Nya sering lalai namun tika diuji barunya timbul keinsafan dalam diri. Ikuti perkongsian ini seperti di bawah. Moga secebis kisah ini menjadi ikhtibar dan pedoman.

KITA RASA PANDAI.

Tempoh hari aku berjumpa dengan seorang sahabat yang lebih senior, cadangnya nak minum-minum sebab lama dah tak jumpa. Kali terakhir bersua muka sekitar 2 tahun lepas.

Rupanya Tuhan nak beri aku pengajaran yang berbekas dalam jiwa.

“Maaflah hari tu tak jadi jumpa, kereta saya rosak. Kena repair sampai turun enjin,” beliau memulakan perbualan.

“Allah, teruknya. Kereta yang mana bang, macam mana boleh rosak tu?” aku bertanya.

Sambil memandang pesanan air yang telah sampai, yang sedang dihidangkan oleh pelayan.

“Ada kisah di sebaliknya. Allah nak beri peringatan.”

Aku meneguk Teh O suam, nipis dan kurang manis siap sedia mendengar sambil memasang telinga.

“Ini saya beritahu sebagai pengajaran saja ya, bukan saya nak menunjuk-nunjuk.” beliau memulakan cerita.

”Saya jelas bang, jangan risau,” aku menyakinkan beliau.

“Saya sebenarnya dah lama menyumbang bantuan duit untuk sebuah masjid. Saya bayarkan bil elektrik dan beberapa bil atau keperluan yang lain untuk masjid itu dari ratusan ringgit sebulan hinggalah ribuan ringgit. Setiap bulan saya tak pernah tinggal, bertahun-tahun.”

Gambar Sekadar Hiasan

“Tapi itulah, kita rasa kita ini pandai.”

“Bulan lepas saya beritahu pada setiausaha masjid yang saya nak berhenti menyumbang. Saya nak rehat sekejap. Dalam keadaan ekonomi sekarang, saya fikir saya nak jimat sedikit duit. Setiausaha masjid pun kata tak mengapa, dia akan bayar bil elektrik dari duit tabung masjid dan sumbangan yang lain.”

“Selang beberapa hari, Range Rover saya mula meragam. Lampu indicator menyala. Saya rasa mungkin masalah enjin. Bila bawa ke workshop, foreman kata kalau nak betulkan kos anggaran dalam RM10,000. Saya kata ok lagi seminggu dua saya hantar.”

Gambar Sekadar Hiasan

“Satu hari tu, saya tengah on the way dari PD nak ke Setapak tiba-tiba saya perasan temperature enjin naik, tak lama kemudian keluar asap. Saya terus berhentikan kereta. Panggil tow truck untuk bawa ke bengkel.”

“Awak tahu berapa saya kena untuk baiki? RM19,000 siap overhauled.”

Kos ni sebenarnya biasa, lebih lagi enjin yang bernadikan supercharged atau turbo tapi bila bisnes slow, ekonomi pun tak cantik, RM1000 pun rasa besar bussku.

“Bila jadi macam tu, terus saya teringat pada sumbangan masjid tadi. Itu perkara pertama yang terlintas dalam kepala saya.”

“Kononnya saya kira-kira nak jimat 6 bulan punya bil, sekali Tuhan berkira dari saya lagi banyak dari itu.”

Gambar Sekadar Hiasan

“Kita tak sedar, rupanya selama ini duit kita masuk, kita mampu bayar bil sana sini, semuanya Tuhan yang bagi izin. Kita ingat kita pandai konon nak jimat, padahal Tuhan yang bagi kecukupan itu untuk kita.”

Beliau berhenti seketika untuk menghirup Nescafe Tarik, kemudian menyambung.

“Tapi saya bersyukur, sebab Tuhan cuma ambil RM19,000. Bayangkan apa yang terjadi kalau saya ditimpa kemalangan akibat kerosakan enjin tadi? Mungkin belanjanya lebih besar, mungkin saya atau ahli keluarga cedera. Lagi la teruk.”

“Tuhan cuma ingin menyedarkan.” sambung beliau.

“Apa pengajaran yang kita dapat dari kisah saya ni? Kalau kita dah biasa buat sumbangan atau sesuatu amalan, jangan tinggalkan. Jangan rasa pandai, nak rehat atau nak relaks kejap. Jangan.”

“Setakat mana yang kita mampu bagi, buat saja. Sikit pun tak apa. Yang penting jangan berhenti.

“Jangan takut tak cukup atau tak mampu. Tuhan yang cukupkan dan Tuhan yang beri kita kemampuan. Kita mungkin ada buat pelbagai pengiraan matematik tapi hakikatnya rezeki, jodoh dan ajal ini sesuatu yang kita tak boleh jangka. Bila-bila masa Tuhan boleh beri dan bila-bila masa Dia boleh ambil.”

Terus aku teringat amalan-amalan yang aku buat. Aku sendiri kadang rajin kadang malas. Betul, bila dah selalu buat sampai satu masa kita akan rasa letih. Kita rasa nak rehat sekejap. Konon nanti bila dah puas rehat, boleh sambung balik.

Bila dengar cerita beliau ni, aku terus insaf. Tak jadi aku nak bermalasan lagi-lagi bab solat ni.

Kita ingat kita dah cukup pandai. Waktu tak ada duit, merayu berhari-hari minta bantuan Tuhan.

”Ya Allah kurniakanlah aku rezeki yang tidak pernah putus.” Menangis-nangis minta tapi sekali dapat terus lupa Tuhan. Bila Tuhan dah bagi senang sikit, mulalah nak rehat. Nantilah, esoklah, tunggu dululah.

Kita lupa, yang izinkan kita untuk beribadat itu Tuhan. Yang izinkan kita untuk bersedekah itu juga Tuhan. Kita buat je kerja kita. Tuhan akan uruskan yang lain-lain. Kita rasa tak cukup, nanti Dia akan tambah. Kita ni kekadang suka sibuk kerja Tuhan.

Duit dan rezeki kita yang hakiki Tuhan dah asingkan siap-siap, langsung tak luak pun. Kita tak perlu risau. Sekarang ni bila Tuhan bagi kita lebihan duit, hanya untuk kita sedekah dan dapat pahala percuma.

Tapi kalau macam tu pun kita rasa penat dan nak berhenti, kalau duit lebihan itu pun kita rasa kita yang punya, maka wajarlah Tuhan bagi peringatan.

Sama-samalah kita beringat. Dalam harta kita, ada juga hak untuk orang lain. Sikit kongsi cara sikit, banyak kongsi cara banyak, namun jangan ditinggal terus.

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.” (Surah Ibrahim : 7)

Semoga bermanfaat, in shaa Allah.

Untuk tidak terlepas atau inginkan lebih Tips Premier tentang Seni Kehidupan, Perkahwinan dan Perniagaan boleh sertai Telegram Channel PERCUMA : https://t.me/TipsPremierMizanDzai

Sumber : Mizan Dzai

Sumber : SiakapKeli