Mengenali Klasifikasi Swapandu – Bagaimana Sesebuah Kenderaan Dinilai Dengan Teknologi Ini

Swapandu

Teknologi swapandu (autonomous driving) telah menjadi bualan hangat sejak banyak pengeluar mula mengimplementasikannya. Ia mula menjadi popular bermula 2013, setelah sejumlah pengeluar seperti General Motors, Ford, dan Mercedes Benz telah memulakan ujian fungsi swapandu ini. Malah, ada beberapa buah syarikat telah melabur dalam pembangunan teknologi ini, untuk diguna pakai pada kenderaan persendirian, komersial, dan untuk kegunaan awam. Ia suatu teknologi yang cukup penting dalam meningkatkan perkembangan industri automotif pada masa hadapan.

Pemanduan swapandu sebenarnya telah diperkatakan sejak 1920, namun ujiannya hanya dimulakan pada sekitar 50-an. Sehinggalah pada tahun 1977, sebuah syarikat daripada Jepun iaitu Tsukuba Mechanical Engineering Laboratory hadir dengan sebuah kenderaan swapandu yang berfungsi. Kenderaan tersebut telah ditandakan dengan penanda jalan berwarna putih, yang mana dinilai berdasarkan isyarat daripada dua kamera yang dipasangkan. Kenderaan tersebut berjaya dijalankan sepantas 30 km/j, dengan bantuan daripada landasan di bawah kereta.

Kini, teknologi swapandu telah melalui pelbagai pembaharuan untuk membolehkannya beroperasi dengan lebih baik. Perkembangannya bergerak seiring dengan kemajuan teknologi yang meningkat dari hari ke hari. Antara teknologi yang giat dibangunkan ialah teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan sistem swapandu mempelajari keadaan sekeliling. Ia dibantu melalui penggunaan sejumlah kaedah dan perkakasan, seperti radar, sonar, GPS, dan odometri. Apabila kesemua penggunaan ini digabungkan, kenderaan dengan sistem swapandu dapat mengukur jarak, halangan, dan papan tanda untuk melancarkan pemanduan.

Antara manfaat dan potensi daripada penggunaan sistem swapandu ini, ia dapat mengurangkan kos terutama yang melibatkan pengendalian kenderaan. Syarikat tidak perlu lagi mengambil pemandu dalam membolehkan kenderaan ini beroperasi. Untuk kegunaan pengangkutan awam, ia juga dapat meningkatkan kadar kekerapan kenderaan, kerana sistem swapandu hanya akan mengikuti laluan dan melakukan perkara yang telah ditetapkan.

Cuma apa yang menjadi kekangan untuk teknologi ini, ia turut terdedah kepada isu-isu keselamatan. Walaupun sistem swapandu sebenarnya turut direka untuk mengurangkan kemalangan, ada kemungkinan ia tidak dapat bertindak dengan baik dalam mengelakkan kenderaan melanggar sesuatu subjek.

Salah satu kemalangan yang melibatkan sistem swapandu telah berlaku di Williston, Florida pada 7 Mei 2016. Kenderaan yang terlibat ialah Tesla Model S dengan kebolehan Autopilot yang sedang aktif. Kemalangan berlaku apabila sebuah trailer ingin melakukan pusingan ke kiri di hadapan Model S, namun kenderaan ini gagal membuat brek ketika saat trailer ini melintas. Tesla mengeluarkan kenyataan, pemandu atau sistem Autopilot ini gagal membrek kerana terganggu dengan keadaan langit yang terlalu terang pada ketika itu.

Pada Januari 2017, laporan yang dikeluarkan oleh NTSB telah mengatakan, ia berlaku atas kecuaian pemandu itu sendiri. Pemandu mempunyai masa sekitar 7 saat untuk bertindak, sekaligus tidak meletakkan Tesla sebagai pihak yang dipersalahkan. Ia juga dikukuhkan apabila siasatan mendapati, pihak Tesla sebenarnya telah berjaya mengurangkan kemalangan sebanyak 40% selepas sistem Autopilot ini diwujudkan.

Klasifikasi

Dalam usaha untuk menghasilkan kenderaan dengan sistem swapandu yang lebih baik, setiap kenderaan ini akan diklasifikasikan mengikut sesuatu tahap swapandu. Klasifikasi swapandu sebenarnya telah dikeluarkan sejak tahun 2014 oleh SAE International, iaitu sebuah badan penyelerasan standard untuk automatif. Klasifikasi ini dinilai berdasarkan pengawasan dan perhatian yang diperlukan oleh seseorang untuk bertindak dalam pengendalian kenderaan.

Pada tahun 2016, klasifikasi SAE ini telah dikemaskini, yang mana ia dinamakan sebagai J3016_201609. Klasifikasi ini merangkumi tahap daripada tiada sebarang fungsi swapandu sehingga ia menyajikan sistem swapandu secara sepenuhnya.

Tahap 0: Tiada sebarang kebolehan swapandu.

Tahap ini meliputi kenderaan yang hadir dengan kelengkapan pemanduan biasa. Kebolehan untuk mengawal kelajuan yang ditetapkan oleh pemandu tidak disokong oleh mana-mana sistem swapandu. Ia masih bergantung kepada pemandu untuk menukar kelajuan, sekiranya kenderaan di bahagian hadapan dipandu dalam kadar perlahan.

Tahap 1 (“tangan diperlukan”): Bantuan daripada pemandu diperlukan.

Tahap ini membolehkan pemandu dan sistem swapandu berkongsi kawalan yang hadir pada kenderaan tersebut. Salah satu contoh tahap ini ialah kawalan Adaptive Cruise Control (ACC). Apabila pemandu menukar laluan ke kiri, sistem akan memperlahankan kenderaan secara sendiri tanpa pengawasan daripada anda. Contoh lain ialah fungsi Parking Assistance, dengan membolehkan stereng kenderaan berfungsi secara sendiri dan anda hanya perlu mengawal kelajuan kenderaan sahaja.

Lane Keeping Assistance turut berada pada tahap ini, dengan membolehkan sistem mengarahkan semula kenderaan ke laluan yang sebetulnya apabila kenderaan hampir berada pada sisi jalan. Secara kasarnya, tahap 1 ini masih memerlukan perhatian daripada anda untuk mengawal sejumlah fungsi pemanduan.

Tahap 2 (“tangan tidak diperlukan”): Sejumlah kecil kebolehan swapandu telah sedia digunakan.

Sistem swapandu mengambil alih sejumlah kawalan kenderaan seperti kawalan kelajuan, brek, dan stereng. Antara sistem yang berada pada tahap ini ialah Tesla Autopilot, Volvo Pilot Assist, Mercedes-Benz Drive Pilot, dan Cadillac Super
Cruise.

Sistem ini akan menguruskan kelajuan dan stereng dalam situasi tertentu, seperti ketika berada di atas lebuhraya. Ia akan menyelaraskan kelajuan berdasarkan kelajuan trafik sekeliling dan kemudiannya, mengikut laluan yang ditetapkan sepanjang lebuhraya tersebut. Namun, pemandu masih perlu memberi perhatian sepanjang sesi pemanduan dan bersedia unutk bertindak sekiranya terdapat sesuatu yang berlaku di atas jalan.

Tahap 3 (“mata tidak diperlukan”): Fungsi swapandu hadir dengan penggunaan bersyarat.

Tahap ini membolehkan pemandu mengalihkan perhatian mereka dengan selamat daripada sesi pemanduan. Sistem swapandu akan menggalas kesemua kawalan dan mampu bertindak dalam kadar segera, seperti ketika membuat brek kecemasan. Pemandu masih diperlukan untuk mengambil-alih pemanduan dalam sesuatu masa, yang mana masanya ditentukan oleh pengeluar kenderaan tersebut.

Audi sebelum ini telah mendakwa bahawa model A8 mereka ialah kereta pertama yang menyokong pemanduan swapandu tahap 3 ini. Ia dijayakan dengan fungsi Audi AI ‘Traffic Jam Pilot’, yang mana mampu bertukar laluan ketika kesesakan trafik di bawah kelajuan 60 km/j.

Namun kereta ini dikatakan tidak memenuhi tahap 3 kerana sistem akan mengawasi mata pemandu melalui sensor di dalam kenderaan. Ia juga akan memanggil pemandu ketika fungsi ini berjaya melepasi kesesakan trafik.

Tahap 4 (“pemikiran tidak diperlukan”): Sistem swapandu mencapai tahap kawalan yang tinggi.

Tahap ini membolehkan sistem swapandu mengawal segala tugasan pemanduan. Pemandu boleh beralih sepenuhnya daripada tugasan memandu ini, seperti tidur atau meninggalkan ruang tempat duduk pemandu. Sistem swapandu ini hanya menyokong untuk sesetengah lokasi, yang mana telah ditetapkan untuk kebolehan swapandu dijalankan. Selain itu, kenderaan juga boleh berhenti dan kembali ke tempat asal dengan selamat, seperti kebolehan meletakkan kenderaan. Namun apabila ia berdepan dengan situsi kritikal seperti pemanduan di cuaca yang buruk, ia masih memerlukan tenaga pemandu untuk mengawalnya.

Tahap 5 (“kawalan manual adalah sebagai pilihan”): Sistem swapandu dapat dijalankan secara sepenuhnya.

Tahap ini tidak memerlukan sebarang pemandu untuk menggerakan kenderaan. Kenderaan ini boleh bergerak secara sendiri tidak kira masa, lokasi, atau apa jua keadaan. Pemandu masih boleh memandu kenderaan ini, yang mana kawalan ke atasnya hanyalah ditawarkan sebagai satu pilihan.


Sistem swapandu pada hari ini dilihat telah berkembang, namun ia masih berada pada tahap permulaan. Pada saat ini, tahap pemanduan swapandu ini hanya mencapai sehingga tahap 3 sahaja untuk kenderaan persendirian. Kenderaan yang mencapai tahap 3 ini juga masih tidak memenuhi kriteria secara sepenuhnya, sekaligus memerlukan lebih banyak sistem baru untuk memperbaharuinya. Sistem Audi AI dilihat dapat menggalas kebolehan swapandu ini, namun masih memerlukan pemandu untuk mengawal kenderaan pada situasi tertentu.

Artikel ini juga diharapkan memberi pencerahan kepada para pembeli kenderaan persendirian, agar lebih peka dengan sistem swapandu yang diberikan. Walaupun sistem yang ditawarkan canggih dan futuristik, ia masih mempunyai had dalam membolehkan kenderaan dipandu secara sendiri. Buat masa ini, ia direka lebih untuk memudahkan pemanduan, selain membantu dalam mengurangkan kadar kemalangan berbanding pemanduan tanpa swapandu ini.

Sumber : Amanz