Padah Kongsi Video Serangan Di Masjid Christchurch, Seorang Pengarah Syarikat Bakal Berdepan Hukuman Penjara 14 Tahun

Seorang lelaki bakal berdepan dengan hukuman penjara 14 tahun jika didapati bersalah oleh hakim mahkamah selepas mengkongsikan video tembakan rambang di Facebook sehari selepas berlakunya tragedi solat jumaat di Christchurch itu.

Lelaki yang berumur 44 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah di Christchurch atas dakwaan menyebarkan video serangan di masjid Al Noor dan pelanggaran undang-undang penerbitan yang telah ditetapkan negara itu. Jika didapati bersalah, lelaki tersebut bakal dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun bagi setiap dakwaan.

Lelaki yang tangannya dipenuhi tatu dan berpakaian T-shirt serta berseluar panjang itu belum lagi membuat sebarang rayuan. Dia tidak menunjukkan sebarang ekspresi ketika hakim mahkamah membacakan tuduhan yang dibuat terhadapnya.

Hakim Stephen O’Driscoll walau bagaimanapun telah menolak ikat jaminnya.

Lelaki yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat perniagaan di Christchurch itu juga turut dipercayai berpegang dengan fahaman neo-Nazi kerana logo syarikatnya didakwa mempunyai salah satu daripada simbol yang berada di dalam manifesto yang ditulis oleh penyerang masjid di Christchurch itu.

Sumber: The Guardian

Sumber : SiakapKeli