5G: Bersediakah Kita?

Sebut saja World Mobile Congress yang berlangsung di Barcelona, satu perkara yang menjadi sebutan semua ialah 5G. Sebutlah apa saja tentang 5G dari kereta hingga sistem penternakan ikan 5G. Suka atau tidak, 5G merupakan masa depan internet. Tetapi untuk menjadikan ia satu realiti kepada para pengguna, semua bentuk halangan terhadap 5G perlu dirobohkan termasuk isu Huawei-kerajaan Amerika Syarikat.

Siapa sedia membayar?

Kita dengar saja tentang kelebihan 5G, air liur sudah berkecur. Kelajuan internetnya lebih laju dari rangkaian 4G dan lebih banyak peralatan telekomunikasi boleh disambung pada rangkaian pada satu-satu masa. Tetapi bagi pengerusi media dan telekomunikasi KPMG Alex Holt, pihak industri lupa menyatakan nilai 5G yang menjadikan ia berbaloi.

Dari segi pembinaan rangkaian sahaja, ia memakan kos yang besar. Misalnya untuk pembinaan rangkaian 5G di Eropah, ia memakan belanja 500 bilion euro, satu pelaburan besar bagi firma-firma telekomunikasi di benua berkenaan. Dengan kos sebegini, usah terkejut jika ada pengguna terutama pemilik perniagaan berfikir banyak kali untuk menggunakan 5G. Berdasarkan satu kajian PwC, hanya satu pertiga pengguna AS bersedia membayar sejumlah besar wang untuk mendapatkan rangkaian ini.

Walaupun kosnya agak mahal tetapi bagi pemain-pemain bisnes, ia menjadikan operasi perniagaan mereka berjalan lancar. Satu sektor yang dijangka meraih manfaat dari ini menurut Holt ialah sektor pengilangan dan pembuatan. Ini kerana menerusi pengesan 5G yang dipasang di kilang, pengurusan boleh mengesan kesilapan pada produk mengikut masa nyata. Ini membolehkan mereka tidak menghabiskan sumber untuk membaiki produk yang dianggap rosak dan cacat itu.

Perang Huawei-AS

Satu perkara yang pasti ialah keperluan menyelesaikan konflik antara Huawei dengan AS. Firma telekomunikasi China ini merupakan pemain utama dalam pembinaan rangkaian 5G di banyak negara. Tetapi seperti biasa, Uncle Sam menuduh mereka membawa ancaman keselamatan dari mencuri rahsia syarikat pesaing hinggalah cuba membantu Iran mengelat dari sekatan yang dikenakan.

Terima kasih kepada tekanan ini, banyak negara dalam dilema sama ada meneruskan projek 5G mereka bersama Huawei atau akur dengan kehendak Washington. Situasi ini sedang diperhatikan dengan rapi di Eropah tetapi bagi banyak syarikat, jika sekatan dikenakan, ia boleh menjejaskan pembangunan rangkaian itu.

Dan Huawei tidak berdiam diri di sebalik tekanan ini. Pada kongres yang berlangsung di Barcelona itu, Huawei memberi jaminan tidak akan meletakkan sebarang bentuk pintu belakang pada teknologi mereka.

Di sebalik semua ini, suka atau tidak, usaha penyelidikan dan pembangunan rangkaian 5G harus diteruskan. Ini kerana rangkaian sedia ada tidak boleh menampung inovasi yang terkini seperti kereta tanpa pemandu dan bandar pintar. Dan dengan bandar yang padat seperti Dhaka, Karachi dan Jakarta, rangkaian 5G dilihat jalan terbaik bagi penduduk mendapatkan perkhidmatan mereka.

The post 5G: Bersediakah Kita? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots