‘Kecederaan di badan Adib tidak sepadan dengan kesan dipukul’ – Pakar Forensik

Saksi pakar memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, corak kecederaan pada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah tidak sepadan dengan kesan dipukul.
Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, ia berdasarkan keputusan bedah siasat dilakukannya terhadap mayat mangsa pada 18 Disember 2018.
Saksi inkues ke-24 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-15 inkues kematian Muhammad Adib.
“Pada pada pandangan saya, corak kecederaan diperiksa pada si mati adalah tidak berpadanan dengan cedera akibat dipukul.
“Corak kecederaan pada bahagian toraks (rongga dada) yang diperiksa pada jasad mayat bukanlah kecederaan sering atau kebiasaannya dilihat akibat dipukul dengan objek tumpul atau ditendang ataupun ditumbuk.
“Selain itu, tiada apa-apa kecederaan pada bahagian muka, kepala, abdomen, anggota atas dan bawah yang berpadanan dengan cedera akibat dipukul atau mempertahankan diri dijumpai pada si mati,” katanya.
Saksi itu berkata, berdasarkan corak kecederaan luaran dan dalaman dikesan pada mangsa, dia dan pasukannya dimohon untuk membantu lakonan semula dikendalikan polis di lokasi kejadian pada 23 Disember tahun lalu.
Di situ, katanya, dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat polis bahawa saksi kejadian iaitu pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) mendakwa mangsa tiada di dalam van ketika jentera bomba mengundur dan melanggar kenderaannya.
“Berdasarkan maklumat itu, saya berpendapat kemungkinan paling boleh berlaku pada hari kejadian adalah jika benar si mati berada di luar kenderaan EMRS itu, si mati adalah dalam keadaan berdiri dan menghadap ke arah belakang.
“Bahagian kiri si mati sudah menerima impak hentaman daripada hujung belakang pintu sisi kiri hadapan kenderaan EMRS yang terbuka dan kenderaan sedang dalam pergerakan mengundur dan mengakibatkan kepatahan pada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh.
“Bahagian hujung belakang pintu hadapan kiri kenderaan EMRS yang keras, nipis serta menegak ini berpadanan untuk menyebabkan kepatahan seperti garis lurus menegak pada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh,” katanya.
Selain itu, katanya, luka calar melintang pada kiri boleh disebabkan kesan geseran pada struktur plate kunci pintu sisi kiri hadapan kenderaan EMRS.
“Impak daripada hujung belakang pintu hadapan kiri EMRS ini seterusnya mengakibatkan si mati terdorong ke hadapan dan jatuh dengan keadaan anggota atas terangkat ke hadapan.
“Bahagian rusuk kanan terhentak dan bergesel dengan kuat pada permukaan keras, tertonjol seperti bahu jalan atau pun apa-apa struktur keras yang ada di sekitar tempat itu seterusnya mengakibatkan kecederaan pada toraks kanan si mati,” katanya.
Saksi sama berkata, calar pada belakang lengan bawah kanan, calar pada belakang siku kiri dan calar pada lutut kanan berpadanan cedera geseran pada permukaan keras akibat jatuh.
“Pada pandangan saya, impak daripada dada kanan si mati adalah kuat disebabkan kombinasi tolakan pintu kenderaan EMRS terhadap belakangnya dan momentum badan si mati yang masih ada apabila keluar daripada EMRS.

“Berdasarkan laporan bedah siasat, saya tidak dapat tentukan sama ada si mati keluar daripada kenderaan secara sendiri atau ditarik orang lain,” katanya.
Terdahulu saksi memberitahu mahkamah bahawa tujuh tulang rusuk kiri patah dan dalam susunan garis lurus menegak.
Beliau juga yang berpengalaman melakukan bedah siasat kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais berkata, turutan kejadian menimpa mangsa berlaku terlalu pantas dalam masa 10 saat.
“Walau bagaimanapun bukti berdasarkan corak cedera luaran dan kepatahan tulang rusuk diperiksa buat masa ini saya tak dapat dengan secara selamat mengetepikan dakwaan bahawa si mati mengalami cedera itu akibat terhimpit antara dua permukaan keras hingga bukti sokongan lain yang credible (boleh dipercayai) diperolehi,” katanya.
Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Selasa.
REAKSI NETIZEN

Sumber: Harian Metro

Sumber : TheReporter