Apple Mungkin Turut Memperlihatkan Perkhidmatan Langganan Permainan Pada Minggu Hadapan

Apple telah sedia menjadualkan acara khas mereka pada awal minggu hadapan, dimana ia dijangka memfokuskan kepada sejumlah perkhidmatan langganan daripada mereka. Antara yang telah diperkatakan sebelum ini adalah perkhidmatan langganan penstriman video, selain langganan Apple News.

Terkini, ia turut dilaporkan yang mana Apple mungkin memperlihatkan perkhidmatan langganan permainan mereka seawal minggu hadapan – atau mungkin juga pada WWDC sekitar Jun 2019 kelak.

Perkhidmatan langganan ini diperkatakan bakal memfokuskan kepada permua iOS berbayar. Melaluinya, pengguna boleh membuat pembayaran bulanan untuk mengakses permainan berbayar seperti Minecraft, NBA 2K19 dan sebagainya.

Langkah ini dijangka akan lebih menjimatkan pengguna, sekaligus membolehkan pengguna mencuba lebih banyak permainan berbayar berbanding pada hari ini.

Apple dijangka tidak menyertakan sebarang permainan yang menyertakan pembelian-dalam-aplikasi untuk peringkat awal ini, dan dijangka memfokuskan permainan berbayar sepenuhnya.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan awal minggu hadapan untuk melihat kejutan yang disediakan oleh Apple dalam penawaran pelbagai perkhidmatan langganan berbayar daripada mereka.

Sumber : Amanz