Popsical Hadir Dengan ‘Popsical Remix’ – Sistem Karaoke Awanan Yang Ringkas Dan Mudah Untuk Disediakan

Membina sebuah set karaoke boleh dikatakan agak sedikit sukar kerana anda perlu membeli sejumlah perkakasan. Anda perlukan amplifier, mikrofon, pembesar suara, dan sistem karaoke yang penuh dengan lagu terkini. Namun sebuah syarikat yang berpengkalan di Singapura iaitu Popsical telah hadir dengan solusi mereka untuk menawarkan sebuah sistem karaoke yang mudah untuk disediakan.

Popsical pada sebelum ini telah pun hadir dengan Popsical TV iaitu sistem karaoke generasi pertama daripada mereka. Ia mampu memaparkan kandungan seperti lagu dan sejumlah kawalan standard karaoke melalui sambungan HDMI. Namun ia tidak dilengkapi dengan amplifier terbina, sekaligus memerlukan anda mendapatkan mikrofon pada sistem audio berasingan.

Bagi memudahkan pengguna menyediakan sistem karaoke ini, Popsical telah hadir dengan Popsical Remix yang menyediakan kemudahan mikrofon ini dalam satu set. Setiap pembelian Popsical Remix akan dibekalkan dengan dua mikrofon, yang mana kedua-duanya dihubungkan melalui penerima UHF pada perkakasan alat ini. Setiap mikrofon ini dikuasakan dengan dua biji bateri AA bagi memudahkan proses pertukaran bateri.

Popsical Remix masih menyediakan fungsi yang serupa seperti Popsical TV dengan menyediakan lebih 200,000+ buah lagu daripada 14 bahasa. Alat ini dihubungkan kepada WiFi atau ethernet, dan kemudiannya boleh dikawal melalui telefon pintar Android atau iPhone. Lagu yang disediakan adalah berasaskan awanan, jadi ia sentiasa dikemaskini bagi menyediakan lagu terkini kepada pengguna.

Cuma pada Popsical Remix, ia telah ditambah dengan Digital Signal Processor (DSP) untuk menambahbaik kualiti suara pengguna. Ia membolehkan pengguna mengawal pitch, reverb, dan jenis suara terus daripada Popsical Remix ini. Anda boleh suara anda menjadi ‘chipmunk‘, robot, raksasa, dan pelbagai suara yang menarik.

Kami berkempatan untuk melihat Popsical Remix ini bersempena dengan acara pembukaan kedai fizikal Popsical yang bertempat di Mid Valley Megamall. Di sini anda boleh mencuba set Popsical ini sendiri melalui bilik karaoke khas yang disediakan. Anda juga boleh mendapatkan aksesori dan set Popsical terus daripada kedai ini, yang bertempat di lot T-013E, tingkat 3, Mid Valley Megamall.

Popsical Remix telah ditawarkan pada harga RM1499 dengan set dua mikrofon yang diberikan secara percuma. Anda boleh menyambungkan alat ini terus ke pembesar suara biasa tanpa perlu lagi mendapatkan amplifier yang sering dijual pada harga lebih mahal. Anda boleh mendapatkan alat ini melalui kedai fizikal Popsical di Mid Valley atau membelinya pada halaman rasmi Popsical.

Sumber : Amanz