Fasa Triassic: Lahirnya Haiwan Bernama Dinosaur

Pada tahun 220 juta dahulu, Bumi pada ketika itu tidak
seperti Bumi sekarang ini di mana kitalah makhluk yang mendominasi seluruh
pelusuk dunia. Sebelum manusia moden lahir, ada makhluk yang telah lama
menakluk dunia darat dan laut sekaligus menjadi raja seluruh Bumi. Ya, makhluk
itu semestinya dinosaur.

Bermula pada tahun itu jugalah, dinosaur lahir dan
berevolusi, kemudian menjadi sebuah kumpulan haiwan yang berjaya beradaptasi di
Bumi, seterusnya menjadi penakluk seperti yang pernah kita kenal. Dunia di mana
dinosaur menjadi penghuni dominan Bumi dipanggil sebagai Zaman Dinosaur.

Zaman Dinosaur bermula dari Fasa Triassic Akhir. Pada fasa
ini seluruh tanah Bumi bersatu menjadi sebuah benua gergasi bernama Pangaea. Ekosistem
dan kawasan geologi benua terbesar itu berbeza dari benua sekarang yang mempunyai
kepelbagaian ekosistem. Bahagian tengah Pangaea adalah gurun pasir manakala
bahagian pinggir pantai benua hanya menjadi zon habitat untuk flora dan fauna.
Jadi tidak hairanlah jika ada sebarang haiwan atau tumbuhan flora yang hidup di
benua kini yang berbeza.

Selesai Fasa Triassic, muncul Fasa Jurassic di mana benua
Pangaea mula untuk berpecah. Air laut mula memasuki kawasan lembah di tengah
benua. Laut cetek semakin merebak di pinggir benua dan cuaca semakin lembap.
Maka, lahir spesis baru dinosaur mengikut perubahan aktiviti kerak Bumi.

Masuk Fasa Cretaceous, Pangaea telah lengkap berpecah kepada
beberapa buah benua seperti yang kita kena sekarang ini. Dinosaur pula
berevolusi lagi dengan melahirkan spesis baru mengikut keadaan geografi yang
berbeza. Maka, fasa inilah berakhirnya Zaman Dinosaur. Kepelbagaian flora dan
fauna atau biodiversiti semakin bertambah di mana fasa inilah bermula kepada
perkembangan haiwan dari kumpulan mamalia.

PBAKL 2019

Untuk artikel ini, saya perkenalkan kepelbagaian spesis
dinosaur yang wujud dalam ketiga-tiga fasa terawal ini, bermula dengan Fasa
Triassic.

FASA TRIASSIC

Walaupun fasa ini adalah permulaaan Zaman Dinosaur, namun
spesis dinosaur tidak pernah wujud sehingga ke penghujungnya. Walau
bagaimanapun, fasa ini mampu menunjukkan bagaimana dinosaur berevolusi dari
haiwan-haiwan purba atau moyang mereka mengikut habitat atau kawasan kediaman
haiwan-haiwan ini.

Placodont

Placodont adalah kumpulan haiwan reptilia purba yang wujud
di fasa pertengahan Triassic dan pupus di fasa peralihan ke Jurassic. Haiwan
ini adalah sejenis haiwan berperisai yang berupaya untuk berenang. Diet haiwan
ini adalah memakan haiwan cangkerang melalui bentuk rahang dan gigi yang
dikhaskan untuk mengorek haiwan cangkerang dari batu dan memecahkan
cangkerangnya. Kita boleh anggap haiwan ini sebagai ‘dugong purba’.

Contoh haiwan Placodont adalah spesis Cyamodus. Tubuh haiwan
yang ditemui di Jerman ini rata dan lebar, hampir seperti kura-kura. Tubuhnya
mempunyai cangkerang yang terbahagi kepada dua bahagian: bahagian atas meliputi
tubuh hingga ke pinggang dan melebar di tiap sisi, dan bahagian bawah yang
meliputi pinggang ke ekor. Tengkorak Cyamodus lebar dan berbentuk hati.
Walaupun tengkoraknya kecil namun kekerasannya amat kuat. Haiwan ini banyak
meluangkan masa di dasar laut yang cetek, menguburkan diri dan mencari kerang,
tabiat yang sama dengan ikan pari terkini.

GAMBAR 1: Cyamodus
GAMBAR 2: Fosil Cyamodus yang terpelihara di muzium

Ichthyosaurs

Sejenis kumpulan haiwan reptilia laut dan gelaran untuk
haiwan ini adalah ‘ikan cicak’. Haiwan ini spesisnya berkembang pada fasa
Jurassic namun asal-usulnya berada di fasa Triassic. Kita boleh katakan haiwan
ini seperti ikan dolphin purba, ada yang mempunyai rupa bentuk ikan betul dan
ada spesis berupa ikan paus.

Cymbospondylus adalah spesis kuno termasuk dalam kumpulan
ini. Ditemui di Nevada, USA dan Jerman. Haiwan bersaiz 6 meter ini jika dikaji
mendalam bukanlah termasuk dalam kumpulan Ichthyosaurs. Malah spesis ini adalah
spesis kebelakang kerana fisiologi tubuhnya yang tidak mempunyai sirip seperti
Ichthyosaurs lain dan berekor panjang yang fleksibel seperti belut. Kedua-dua
pasangan lengan yang berupa pendayung berfungsi sebagai penimbang ketika
berenang. Kepalanya amat kecil namun ia amat sesuai dengan pemburuan ikan kecil
dengan mempunyai muncung dan bergigi tajam.

GAMBAR 3: Cymbospondylus
GAMBAR 4: Perbandingan manusia dan Cymbospondylus mengikut saiz tubuh. Panjang haiwan ini adalah empat kali ganda saiz manusia normal.

Nothosaurs

Kalau haiwan Ichthyosaurs adalah ikan dolphin dan paus
purba, haiwan Nothsaurs adalah singa laut dan anjing laut purba. Kumpulan
haiwan ini adalah pemangsa ikan yang paling banyak populasinya di fasa
Triassic. Haiwan ini mempunyai leher yang panjang namun kita boleh mengetahui
perbezaannya melalui kehadiran pelbagai sirip.

Ceresiosaurus adalah haiwan perenang yang pantas dari kumpulan Nothosaurs walaupun mempunyai tubuh besar bersaiz 4 meter. Berdasarkan tubuh badannya yang mempunyai kulit ekor yang tebal dan sirip pendayung yang kuat, haiwan ini adalah perenang dasar laut dan memburu reptilian marin seperti penguin.

GAMBAR 5: Ceresiosaurus

Pterosaurs

Kumpulan ini adalah sejenis reptilia yang berevolusi dengan
memiliki pasangan sayap. Pada Fasa Permian dan Triassic, ada beberapa haiwan
reptilia yang berupaya meluncur dengan kulit yang mengembang. Kemudian haiwan
ini berkembang menguasai langit di akhir Fasa Triassic.

Sharovipteryx adalah contoh Pterosaurs yang primitif yang terawal menggunakan kulit membrane sebagai sayap penerbangan. Kaki belakang teramat panjang dan mempunyai keupayaan melompat tinggi seperti belalang. Kulit membrane yang melekat di kaki belakangnya adalah sayap yang berupaya meluncur.

GAMBAR 6: Sharovipteryx

Pemakan Daging Terawal (Early Meat-Eater)

Adakah kumpulan haiwan ini nenek moyang dinosaur seperti T-Rex? Saintis belum memastikan lagi siapakah nenek moyang tersebut namun kita boleh memgetahui bahawa kumpulan haiwan inilah gambaran kepada nenek moyang dinosaur di Fasa Jurassic. Eoraptor adalah haiwan pemakan daging terawal yang pertama kali ditemui di Argentina, lebih tepat di Valley of the Moon yang bertubuh saiz musang. Haiwan ini adalah pemangsa reptilia kecil.

GAMBAR 7: Eoraptor

Pemakan Daging Lithe (Lithe Meat-Eater)

Berbeza dengan Pemakan Daging Terawal, kumpulan haiwan ini
mempunyai kelebihan dari segi kelajuan. Haiwan ini mempunyai pasangan kaki
belakang yang memanjang dan kuat sebagai mesin pecutan manakala gigi dan kuku
menjadi senjata ampuh dalam menyerang mangsa. Tubuh mereka lebih ringan dan
kecil, lengan yang fleksibel, dan tubuh memanjang berbanding Pemakan Daging
Terawal.

Aliwalia iaitu antara spesis dari kumpulan ini yang ditemui di Afrika Selatan. Haiwan ini adalah dinosaur pemakan daging terawal sebelum spesisnya berkembang dan berevolusi pada fasa Mesozoic. Mereka biasanya memburu prosauropods iaitu dinosaur herbivor.

GAMBAR 8: Aliwalia

Coelophysids

Antara kumpulan pemakan daging, kumpulan inilah paling ramai populasinya di akhir Fasa Triassic. Berbanding haiwan pemakan daging kain, haiwan ini tubuhnya lebih kecil dari Pemakan Daging Lithe, hidup dalam kumpulan, pemangsa mementingkan kelajuan, dan memakan mangsa kecil.

Procompsognathus  adalah dinosaur pemakan daging terawal ditemui di Jerman. Haiwan ini aktif berburu namun mereka bukanlah pemangsa sebenar kerana bersaing dengan spesis dinosaur lain seperti Herrerasaurids.

GAMBAR 9: Procompsognathus

Primitive Sauropodomorphs

Kumpulan haiwan ini adalah dinosaur herbivore pertama dunia.
Mereka mungkin berevolusi dari sejenis haiwan pemakan daging yang hanya
bertubuh seperti arnab dan membesar sebagai haiwan herbivore. Kumpulan haiwan
ini terbahagi kepada dua kelas: Prosauropods dan Sauropods.

Saturnalia, dinosaur herbivore pertama dunia. Haiwan ini
bertubuh arnab, leher dan ekor yang panjang, berkepala kecil serta mempunyai
gigi yang teramat kasar di seluruh rahang.

GAMBAR 10: Saturnalia

Prosauropods

Prosauropods adalah salah satu kelas dari kumpulan
Sauropodomorphs, berkembang menjadi haiwan herbivore yang menguasai benua
Pangaea. Dengan populasi haiwan ini memenuhi setiap kawasan di benua gergasi
itu, tidak hairanlah fosilnya banyak ditemui di seluruh dunia seperti Eropah,
Amerika Utara dan Selatan, Afrika, dan China. Fizikal mereka bertubuh gergasi,
berkaki empat tidak seperti haiwan pemakan daging yang bergantung dengan
pasangan kaki belakang, leher panjang dan kepala bersaiz kecil.

Antara spesis dari kumpulan ini adalah Euskelosaurus. Haiwan ini pertama kali ditemui di Afrika pada tahun 1866 dan dihantar ke London bagi mengkaji lebih lanjut. Ia adalah antara haiwan prosauropods terbesar melebihi saiz 9 meter.

GAMBAR 11: Euskelosaurus

Herbivorous Miscellany

Selain haiwan Prosauropods, kumpulan ini juga adalah haiwan
herbivore kedua yang mendominasi Pangea di akhir Fasa Triassic. Kumpulan ini
juga dikenali sebagai Ornithischians kerana bentuk tubuh terutamanya kaki
berupa kaki burung. Pisanosaurus adalah salah satu spesis dari kumpulan ini dan
haiwan ini disalah anggap sebagai haiwan yang telah berevolusi dari dinosaur
yang bernama Lesothosaurus yang hidup di fasa Jurassic.

GAMBAR 12: Pisanosaurus

SUMBER:

1. Dixon, D.
(2011). The Illustrated Encyclopedia of Dinosaurs. Wigston, Leicestershire:
Anness Publishing Ltd.


2. Emiliani, Cesare. (1992). Planet
Earth: Cosmology, Geology, & the Evolution of Life & the Environment
.
Cambridge University Press.

3. Sues, Hans-Dieter & Fraser, Nicholas C. Triassic
Life on Land: The Great Transition
 New York: Columbia University
Press, 2010. Series: Critical Moments and Perspectives in Earth History and
Paleobiology.

The post Fasa Triassic: Lahirnya Haiwan Bernama Dinosaur appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots