Canon Memperkenalkan EOS 250D – Kamera DSLR Kompak Dengan Sokongan Rakaman Video 4K

Walaupun kamera digital tidak lagi digunakan, kamera DLSR masih lagi banyak digunakan pada saat ini. Ia menawarkan kualiti yang jauh lebih baik berbanding kamera di telefon, selain membolehkan pengguna membuat pertukaran lensa pada kamera ini. Namun ia sering dikaitkan dengan rekaan kamera yang besar, selain menampilkan rekaan yang berat.

Canon pada hari ini telah melancarkan model EOS 250D yang menawarkan rekaan yang lebih kompak dan ringan. Ia merupakan model penambahbaikan bagi EOS 200D yang telah diperkenalkan pada 18 bulan yang lalu.

EOS 250D dilihat hadir dengan sensor 24.1 megapiksel APS-C di dalam sebuah kamera seberat 449 gram. Penawarannya boleh dikatakan menyerupai kamera mirrorless EOS M50 – melalui kehadiran pemproses imej DIGIC 8 dan skrin boleh diputarkan untuk rakaman vlog.

Kamera ini juga membolehkan pengguna menikmati sistem autofokus Dual Pixel melalui mod Live View. Ia juga antara model kamera kelas permulaan daripada yang menawarkan fungsi Eye Detection – untuk pemfokusan berasaskan mata ketika rakaman gambar mahupun video.

Apa yang menjadi perhatian, ia membolehkan pengguna membuat rakaman video 4K – suatu fungsi yang kurang ditawarkan pada kamera kelas permulaan. Namun rakaman 4K ini hanya ditawarkan sehingga 24 fps, selain mempunyai potongan bingkai tambahan sebanyak 1.6x. Bagi resolusi Full HD, ia membolehkan pengguna menikmati fungsi HDR pada rakaman 30 fps atau rakaman tanpa potongan bingkai pada 60 fps.

Untuk keupayaan bateri, kamera ini mampu mengambil kira-kira 1630 gambar melalui viewfinder atau 350 gambar melalui skrin Live View. Ia juga menawarkan penyambungan seperti Bluetooth dan WiFi bagi memudahkan penyambungan di antara peranti dan aksesori.

Canon EOS 250D bakal ditawarkan bermula 25 April ini pada harga $599.99 (~RM2,463.68) dan $749.99 (~RM3,079.61) dengan lensa kit EF-S 18-55mm f/4-5.6. Ia juga boleh didapati di dalam tiga pilihan warna berbeza, iaitu putih, hitam, dan kelabu.

Sumber : Amanz