DJ Koh: Samsung Akan Terus Menjadi Pengeluar Telefon Pintar Terkemuka Untuk Tempoh 10 Tahun Akan Datang

Samsung pada saat ini masih lagi sebagai pengeluar terkemuka di dunia untuk pasaran telefon pintar. Namun mereka telah mengalami pengurangan dari segi angka jualan, setelah diasak oleh persaingan yang agresif. Namun DJ Koh, iaitu CEO untuk bahagian mudah-alih Samsung yakin bahawa mereka akan terus berada di dalam senarai pengeluar terkemuka, bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Perkara ini telah diperkatakan melalui sebuah wawancara yang dibuat oleh akhbar Perancis, Le Figaro bersama DJ Koh. DJ Koh telah berkongsi mengenai hala tuju mereka ini apabila ditanya mengenai teknologi futuristik. Beliau mengatakan bahawa Samsung kini masih kekal berada di tangga teratas, dan akan terus berada pada kedudukan ini pada 10 tahun akan datang.

Samsung Galaxy Fold

Beliau juga berkongsi bahawa mereka mempunyai harapan yang tinggi untuk peranti boleh lipat mereka. Beliau mengatakan Galaxy Fold bukan sahaja sebuah telefon di dalam sebuah kategori baru, tetapi turut ingin menjadikannya sebagai rujukan untuk hala tuju mereka di dalam industri ini.

Dengan persaingan yang sengit daripada sejumlah pengeluar China, harapan Samsung ini mungkin dilihat agak sedikit sukar untuk diramalkan. Namun dengan perubahan strategi dan penghasilan produk yang lebih bermutu tinggi, kedudukan ini mungkin dapat dikekalkan – apatah lagi Samsung yang sedia mempunyai peminat dan jumlah pengguna yang besar.

Sumber : Amanz