‘Anthos’ Adalah Penjenamaan Baru Bagi Platform Perkhidmatan Awanan Google

Google pada hari ini telah mengumumkan Anthos adalah nama baru kepada Platform Perkhidmatan Awanan milik mereka. Ia merupakan perkhidmatan awanan hibrid yang dijalankan melalui Google Kubernetes Engine.

Apa yang menjadi perhatian, Anthos kini boleh digunakan pada sejumlah perkhidmatan pesaing Google iaitu Amazon AWS dan Microsoft Azure. Melaluinya, Google ingin membolehkan pembangun mengurus dan melancarkan sejumlah tugasan melalui awanan, tanpa perlu risau dengan API dan perkhidmatan yang berbeza.

Untuk merancakkan pertumbuhannya, Google telah sedia menawarkan sejumlah aplikasi Kubernet pada platform awanan ini bermula pertengahan tahun lalu. Mereka juga telah menawarkan platform ini secara terbuka sejak 2014 dan menerima kedudukannya di dalam Linux Foundation.

Pada acara pengenalan Anthos, Google juga turut mengumumkan Cloud Run iaitu platform pengiraan mudah-alih tanpa memerlukan operasi pelayan (serverless). Platform ini akan menggalas segala urusan yang berlaku di dalam infrastruktur awanan pembangun, seperti pemerhatian, konfigurasi, pengskalaan.

Anthos telah ditawarkan dalam bentuk beta dan sedia diuji oleh pihak pembangun. Platform ini akan dilancarkan bersama sokongan daripada hampir 30 perkhidmatan teknologi dan pembangun utama. Antara syarikat yang bakal menyokong platform ini adalah seperti Cisco, MongoDB, HPE, dan VMware.

Sumber : Amanz