Penjawat Awam, Pengurus Syarikat Direman Seleweng Peruntukan Kerajaan Negeri RM3.5 Juta

Ipoh : Seorang penjawat awam kerajaan negeri dan seorang pengurus syarikat pengurusan acara masing-masing direman enam dan lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan Kerajaan Negeri Perak bernilai RM3.5 juta untuk kepentingan mereka.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ipoh Nur Melati Diana Abdul Wahab terhadap kedua-dua lelaki berumur 44 dan 39 tahun itu bermula hari ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua lelaki terbabit ditahan di Pejabat SPRM Perak kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Mereka didakwa melakukan penyelewengan ke atas wang peruntukan kerajaan negeri Perak itu berhubung kerja pembekalan sempena Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 untuk kepentingan mereka.

Penjawat awam itu dipercayai turut menerima rasuah berjumlah lebih RM165,000 dari pembekal-pembekal yang dipilih untuk pembekalan dan sewaan bagi acara Sukma 2018.

Empat orang pengurus syarikat berumur antara 40 hingga 77 tahun yang turut terlibat dalam kes penyelewengan wang peruntukan Sukma 2018 turut ditahan antara pukul 3 petang hingga 5 petang semalam, namun telah dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah rakaman percakapan mereka diambil.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli