Budak 4 tahun lemas selepas ditinggalkan 9 jam dalam kereta, bapa salahkah pihak tadika

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dilaporkan lemas di bahagian tempat duduk belakang selepas ditinggalkan oleh bapanya dalam kereta secara tidak sengaja selama tempoh sembilan jam, lapor Mirror. 
Difahamkan sebelum kejadian itu, bapa mangsa, Hu, menjawab panggilan telefon ketika dia sepatutnya menghantar anaknya ke tadika di Yiyang, China pada jam 8 pagi 8 April. 
Mangsa yang dikenali sebagai Qi Qi pada ketika itu tertidur di belakang. 
Menurut Hu, dia menghantar anaknya ke tadika dan berhenti di pintu pagar premis tersebut sebelum menjawab panggilan telefon berkaitan dengan kerjanya. 
Hu berkata, dia terlupa untuk memeriksa sama ada anak perempuannya itu telah keluar dari kereta dan terus beredar dari tadika itu serta meletakkan keretanya di tempat letak kereta berhampiran tempat kerjanya. 
“Saya jawab panggilan telefon dan terlupa nak periksa anak dah keluar atau belum. Saya tak perasan sehinggalah isteri menghubungi saya pada jam 5:00 petang bertanya di mana anak kami berada,” katanya. 
Isteri Hu telah pergi ke tadika untuk menjemput Qi Qi pulang tetapi dimaklumkan oleh kakitangan tadika bahawa Qi Qi langsung tidak hadir pada hari itu. 
“Setelah puas berfikir, akhirnya saya menemui dia berada di tempat duduk belakang kereta,” kata Hu. 
Qi Qi disahkan lemas dan perkara itu disahkan oleh pihak Hospital Yiyang. 
“Mereka tidak dapat selamatkan dia,” kata Hu yang bekerja sebagai penjual kereta. 
“Biasanya pihak sekolah akan menghubungi atau menghantar SMS bertanya jika anak tidak dihantar ke tadika. Tetapi kali ini kenapa mereka tidak menghubungi saya?” soalnya. 
Ditanya sama ada wajarkah pihak tadika dipersalahkan dalam hal itu, Hu berkata, “Pada pendapat saya, mereka wajar dipersalahkan. Mereka sepatutnya menghubungi saya dan saya pun akan sedar awal,” katanya. 
Log panggilan telefon bimbit Hu menunjukkan dia menerima panggilan pada jam 8:46 pagi, namun perbualan itu hanya selama 12 saat sahaja. 
Hu juga percaya tumpuannya pada pagi kejadian itu terganggu disebabkan mesej dari aplikasi seperti WeChat. 
“Ada tiga guru di tadika yang hanya menjaga 10 orang murid. Bagaimana mereka boleh tak perasan anak murid kurang seorang?” soalnya lagi. 
Biro Pendidikan Heshan berkata, pihak sekolah terbabit telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa sebanyak RM19,680.76. 
Pihak berkuasa masih menjalan siasatan berhubung kejadian itu. 
Sumber: Mirror

Sumber : TheReporter