Ulasan: Samsung Galaxy A30 – Telefon RM799 Dengan Sejumlah Fungsi Yang Hebat

Samsung Galaxy A30
Skrin 6.4”, Super AMOLED
2340 x 1080, 403 ppi
Chipset Samsung Exynos 7904
CPU 2 x Cortex-A73 1.8 GHz
6 x Cortex-A53 1.6 GHz
GPU Mali-G71 MP2
Memori 4GB RAM
Storan 64GB + mikroSD
Kamera Utama 16MP f/1.7 + 5MP
[email protected]
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
[email protected]
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem Samsung One UI 1.1
Android 9.0 Pie
Bateri 4000 mAh
Pengecasan 15W
Dimensi 158.5 x 74.7 x 7.7 mm
Berat & Ketebalan 165g, 7.7mm
Tempoh
Penggunaan
2 minggu

Samsung pada tahun ini dilihat agresif dalam menawarkan peranti mampu-milik mereka. Perkara ini berlaku disebabkan persaingan yang hebat daripada sejumlah pengeluar dari China yang giat menghasilkan peranti kelas ini. Sejumlah pengeluar ini bukan sahaja dapat menghasilkan peranti yang berpatutan, malah menyajikan spesifikasi yang sangat bernilai untuk pengguna. Antara jenama yang sedia menawarkan peranti ini adalah seperti Xiaomi Redmi, Honor, dan Realme.

Samsung melihat perkara ini akan menggugat kedudukan mereka sebagai pengeluar terkemuka di dunia. Samsung sedia menawarkan siri Galaxy J, namun tidak cukup untuk menarik lebih ramai pengguna. Namun Samsung telah mempelajari resepi kejayaan pengeluar dari China ini dan menggunakannya dalam penghasilan peranti baru mereka. Oleh disebabkan itu, Samsung telah melakukan perubahan dan strategi pada akhir-akhir ini, terutama di dalam memasarkan peranti mampu-milik.

Bermula pada tahun ini, Samsung tidak lagi membawakan penjenamaan Samsung Galaxy J dan menggantikannya kepada penjenamaan Galaxy Axx Series. Siri Galay J sering dikaitkan dengan peranti berspesifikasi rendah yang tidak berpatutan untuk harganya. Dengan penjenamaan baru ini, ia sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi pengguna, kerana mereka ingin menawarkan sesuatu yang bernilai pada produk siri ini. Dengan siri Galaxy Axx, ia juga dapat memudahkan pengkelasan peranti mengikut bajet dan fungsi yang diperlukan oleh pengguna.

Salah satu model yang hangat diperkatakan di dalam siri Galaxy baru ini ialah Galaxy A30. Peranti ini dilihat membawa sejumlah fungsi menarik, seperti skrin Super AMOLED, fungsi penggambaran ultra lebar, dan hadir dengan kapasiti bateri yang besar. Ia juga dilihat membawa sambungan USB-C, selain menyajikan fungsi pengecasan pantas secara tersedia. Apa yang mengejutkan, Samsung meletakkan harganya di bawah RM800, membuatkan peranti ini berpotensi untuk memberi nilai yang hebat untuk pengguna.

Rekaan

Samsung Galaxy A30 telah hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.4-inci Super AMOLED Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Exynos 7904, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 64GB berserta sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

Dari segi rekaannya, peranti ini membawakan rekaan yang mirip seperti Galaxy A50, terutama dari rekaan hadapan dan belakangnya. Rekaan belakangnya tampil dengan binaan seumpama kaca, namun sebenarnya ia dibina berasaskan plastik. Saya sebenarnya sangat teruja dengan rekaannya, kerana ia tidak tebal dan berat walaupun ia didatangkan dengan kapasiti bateri 4000 mAh. Walau bagaimanapun, rekaan belakang ini kelihatan mudah memerangkan kesan cap jari, jadi anda disarankan untuk memakai aksesori tambahan pada peranti ini.

Untuk sambungan, Galaxy A30 telah membawakan sambungan terkini berasaskan USB-C, bersama-sama dengan sambungan bicu audio di bahagian bawah. Ia juga menempatkan pembesar suara di bahagian bawah, yang mana ia memberi kelantangan bunyi yang memadai. Pada bahagian sisi kiri, ia telah ditawarkan dengan slot dwi-sim, dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim berasingan.

Rekaan hadapannya telah hadir dengan paparan Super AMOLED sebesar 6.4-inci, dengan penawaran resolusi Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Ia turut membawakan paparan Infinity-U seperti Galaxy A50, dengan perletakkan takuk kecil untuk kebolehan kamera hadapan. Walaupun ditawarkan di bawah RM800, kualiti paparannya masih kelihatan sangat terang dan tidak mengalami pengurangan berbanding Galaxy A50. Ia memberi kontras warna yang cemerlang, perwarnaan hitam yang sebenar, selain hadir dengan darjah pandangan yang luas. Sebagai bonus, peranti ini turut menyokong Widevine L1, jadi anda boleh menikmati kandungan HD ketika menonton video penstriman di Netflix.

Tidak seperti Galaxy A50, fungsi biometrik peranti ini memberi masa imbasan yang jauh lebih baik. Dengan perletakkan pengimbas cap jari fizikal, jadi dapat diimbas dengan kadar yang lebih pantas berbanding pengimbas cap jari di bawah skrin. Cuma untuk fungsi imbasan wajah, ia masih kurang responsif apabila dibandingkan dengan peranti Redmi 7 atau Realme 3. Ia masih mengambil sedikit masa, sekaligus memerlukan pengguna menunggu seketika ketika ingin membuka peranti.

Dari segi variasi, Samsung Galaxy A30 telah ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM bersama storan 64GB di Malaysia. Sekiranya storan 64GB ini tidak mencukupi untuk anda, ia masih menawarkan slot kad mikroSD – dengan sokongan penambahan storan sehingga 512GB. Untuk pilihan warnanya, ia telah ditawarkan dalam tiga pilihan warna, menerusi warna putih, hitam, dan biru.

Sistem

Samsung Galaxy A30 telah menjalankan sistem operasi Android 9.0 Pie dengan janaan antaramuka terkini Samsung One UI 1.1. Antaramuka ini kelihatan sangat kemas dan moden, melalui tampilan grafik yang telas dikemaskini. Rekaan ikonnya kini kelihatan lebih ringkas, disamping menyelaraskan kedudukan tetapan pada bahagian settings. Paparan talam notifikasinya juga telah diperkemaskan, dengan menyajikan elemen seumpama Android 9.0 Pie.

Apa yang menjadi perhatian, Samsung One UI juga telah dioptimasikan untuk penggunaan sebelah tangan. Sejumlah elemen antaramuka telah di turunkan ke bahagian bawah bagi memudahkan jari mencapai sesuatu fungsi dan butang. Dengan saiz peranti yang semakin besar, rekaan seperti ini amat memberi manfaat kepada pengguna dalam memudahkan pengoperasian peranti. Namun sekiranya anda masih ingin menggunakan mod penggunaan sebelah tangan yang klasik, ia masih boleh diaktifkan pada halaman settings.

Samsung One UI turut menyertakan sejumlah fungsi menarik seperti Game Launcher untuk membolehkan aplikasi ini mengurus dan mengoptimasikan prestasi permainan. Dengan kehadiran Android 9.0 Pie, ia juga menawarkan fungsi Digital Wellbeing untuk memudahkan pengguna memantau masa penggunaan peranti. Anda juga masih diberi pilihan untuk mengaktifkan fungsi Full Screen Gesture, selain membolehkan anda menukar butang back pada bahagian kiri atau ke kanan. Apabila anda menyambungkan peranti ini ke aksesori audio, ia turut menyajikan fungsi Dolby Atmos untuk pendengaran audio yang lebih imersif.

Prestasi

Samsung Galaxy A30 telah dijana dengan cip kelas pertengahan daripada mereka sendiri, menerusi cip Exynos 7904 bersama penggunaan memori 4GB RAM. Cip ini hadir rekaan cip lapan-teras, menerusi 2 x Cortex-A73 1.8 GHz + 6 x Cortex-A53 1.6 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-G72 MP2. Cip ini sebenarnya turut dijana pada Samsung Galaxy M20, yang mana turut dijual pada harga RM799.

Melalui ujian penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya meraih mata sekitar 105,984 – iaitu suatu bacaan minama untuk peranti kelas pertengahan pada saat ini. Prestasi ini dilihat sedikit di belakang pesaingnya, seperti Realme 3 (Helio P60) dan Redmi Note 7 (Snapdragon 660). Apabila dibandingkan, prestasi cip ini mendekati kelajuan cip Snapdragon 636 yang telah didatangkan pada Xiaomi Redmi Note 5.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu menjalankan tugasan harian dengan baik, seperti kegunaan media sosial atau pelayaran web. Cuma ia masih terdapat isu prestasi seperti stutter terutama ketika menukar, membuka, dan keluar dariapda aplikasi. Peranti sekelasnya seperti Realme 3 jarang menunjukkan sebarang isu ini walaupun dikuasakan dengan cip kelas pertengahan. Namun begitu, ia masih boleh dikurangkan selepas anda menukar pelancar di dalam peranti ini kepada Nova Launcher atau Lawnchair.

Untuk prestasi permainannya, ia tidak begitu disarankan kerana ia hanya menggunakan GPU dwi-teras. Anda masih boleh memainkan permainan seperti PUBG Mobile, namun bacaan frame rate-nya tidak begitu konsisten – lebih-lebih lagi apabila anda berhadapan dengan musuh. Haba yang dikeluarkan juga terasa sedikit suam, apabila anda memainkan permainan ini sekitar 15 minit. Namun bagi anda yang jarang memainkan permainan, prestasi peranti ini semestinya tidak memberi isu yang besar kepada anda.

Kamera

Untuk keupayaan penggambaran, Samsung Galaxy A30 telah membawakan sistem dwi-kamera pada bahagian belakang peranti. Ia menempatkan sensor utama 16MP f/1.7 dan sensor 5MP f/2.2 untuk kebolehan penggambaran sudut ultra lebar. Ia juga menyokong sistem penstabilan imej EIS pada kamera utama dalam mengurangkan kesan gegaran. Untuk penggambaran malam pula, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Apa yang menjadi perhatian pada aspek fotografi peranti ini, ia menawarkan fungsi penggambaran bersudut ultra lebar 123-darjah. Ia membolehkan lebih banyak subjek dimasukkan ke dalam gambar, sekaligus memberi kelebihan ketika mengambil gambar berkumpulan atau gambar lanskap. Kualitinya dilihat baik ketika waktu siang, namun pada waktu malam, ia hanya menawarkan kualiti yang memadai. Ia sering terkesan dengan keperincian imej yang soft, selain memberi keupayaan dynamic range yang lemah.

Namun untuk sensor utama, ia dilihat sangat baik untuk harganya kerana ia menampilkan aperture sebesar f/1.7. Ia sering memberi penggambaran malam yang terang dan dapat mengurangkan kesan noise pada tahap yang minima. Keperician imejnya juga dilihat tajam terutama ketika menerima pencahayaan yang mencukupi, selain mampu menawarkan warna yang menarik untuk dilihat.

Dari segi kamera hadapan pula, ia menyajikan kamera swafoto standard, melalui penggunaan sensor 16MP f/2.0. Kualiti penggambarannya dilihat cukup memuaskan, melalui tampilan imej yang tajam bersama keupayaan dynamic range yang baik untuk kelasnya. Cuma warna kulit tetap diterangkan walaupun sebarang fungsi Beautify telah dimatikan. Fungsi Live Focus yang dibekalkan dapat menghasilkan kesan bokeh yang hampir sempurna, terutama dalam membuat kesan kabur di bahagian belakang wajah.

Dari segi fungsi, Samsung Galaxy A30 hanya menawarkan rakaman video setinggi [email protected] dan mempunyai keupayaan EIS untuk mengurangkan kesan gegaran. Ia juga menyajikan kebolehan Scene Optimizer iaitu fungsi yang dapat mengoptimasikan warna dan kadar kontras subjek berdasarkan pengecaman pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI). Ia juga membolehkan anda bermain fungsi AR Emoji, untuk membenarkan anda meletakkan sejumlah pelekat menarik pada gambar yang ingin diambil.

Bateri

Seperti Galaxy A50 dan Redmi Note 7, peranti ini turut menawarkan kapasiti bateri yang besar melalui kapasiti 4000 mAh. Kapasiti bateri ini dilihat lebih baik berbanding model Galaxy J7 2018 (3300 mah) yang telah dikeluarkan pada tahun lalu. Dengan binaan 14nm pada Exynos 7904, peranti ini dilihat mampu memberi masa penggunaan yang lama untuk kegunaan sepanjang hari.

Dengan kapasiti 4000 mAh dan padanan cip 14nm ini, Samsung Galaxy A30 mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 6 – 7 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Peranti ini juga menyokong fungsi pengecasan pantas, yang mana dihubungkan melalui sambungan USB-C. Melalui pengecas 15W yang dibekalkan, Samsung Galaxy A30 dapat dicas sekitar 1 jam 53 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.

Rumusan

Samsung Galaxy A30 menyajikan fungsi yang cukup padat di dalamnya untuk sebuah peranti berharga RM799. Ia menampilkan skrin paling baik berbanding peranti pesaingnya, dengan menyajikan paparan Super AMOLED yang sangat terang. Ia juga menampilkan penggambaran yang terang, melalui penggunaan sensor 16MP dengan aperture f/1.7. Apa yang menarik, ia turut memberi penggambaran bersudut ultra-lebar untuk membolehkan lebih banyak subjek dimasukkan ke dalam gambar.

Peranti ini juga menyajikan rekaan yang menarik, melalui rekaan glossy yang ringan dan nipis. Apabila pengguna menyambungkan aksesori audio, ia membolekan pengguna menikmati sokongan Dolby Atmos untuk pendengaran audio yang lebih imersif. Dengan kehadiran bateri 4000 mAh, ia dapat memberi penggunaan peranti yang lama untuk kegunaan sepanjang hari. Baterinya boleh dicas secara pantas melalui pengeceas 15W yang mana dihubungkan melalui sambungan USB-C.

Pro
  • Menawarkan rekaan yang berkilau, ringan, dan nipis.
  • Hadir dengan paparan Super AMOLED yang sangat terang.
  • Mempunyai keupayaan penggambaran dengan aperture f/1.7.
  • Menawarkan fungsi penggambaran bersudut ultra-lebar 123-darjah.
  • Menyajikan keupayaan kamera hadapan 16MP yang baik untuk harian.
  • Didatangkan dengan sokongan Dolby Atmos apabila peranti disambungkan ke aksesori audio.
  • Menyokong Widevine L1 untuk tontonan HD pada perkhidmatan penstriman seperti di Netflix.
  • Menawarkan sambungan USB-C.
  • Hadir dengan ketahanan bateri yang lama melalui kapasiti 4000 mAh.
  • Dapat mengecas peranti secara pantas melalui pengecas 15W.
  • Membawakan slot dwi-sim dan slot kad mikroSD secara berasingan.
  • Dijana dengan Android 9.0 Pie dengan antaramuka Samsung One UI 1.1.
Kontra
  • Terdapat isu prestasi seperti stutter ketika melakukan sejumlah perkara pada Samsung One UI.
  • Cip pemprosesan sedikit perlahan berbanding peranti pesaing.
  • Fungsi imbasan wajah sedikit lambat.

Cuma sebelum anda membeli peranti ini, ia mempunyai sedikit isu stutter ketika anda melakukan perkara pada antaramuka Samsung One UI. Ia juga tidak dioptimasikan kepada penggunaan permainan, kerana ia hanya menampilkan sokongan GPU dwi-teras. Selain daripada prestasi, fungsi imbasan wajahnya dilihat sedikit lambat ketika ingin membuka peranti.

Samsung Galaxy A30 telah ditawarkan pada harga mampu-milik, iaitu RM799 untuk variasi 4GB RAM dan storan 64GB. Ia memberi nilai yang berbaloi kepada pengguna – lebih-lebih lagi yang ingin menggunakannya untuk kegunaan multimedia, kasual, atau fungsi penstriman secara langsung. Ia menyajikan skrin yang sangat terang, membuatkannya anda tidak rasa ingin berpatah balik ke paparan IPS LCD biasa. Ia juga menyajikan ketahanan bateri yang lama, dalam menggalas kegunaan penstriman secara langsung atau penggunaan kasual anda sepanjang hari.

Sumber : Amanz