Siri Laptop Gaming Acer Nitro Dikemaksini Dengan CPU Intel Generasi Ke-9 Dan NVIDIA GTX Terbaru

Siri komputer riba gaming Acer Nitro nampaknya bakal menerima kemaskini dari segi spesifikasi, rekaan dan juga model baru, seperti yang baru sahaja diumumkan di acara Acer Global Press Conference yang berlangsung di New York.

Acer Nitro 5

Bermula dengan Acer Nitro 5, ia nampaknya telah diberi kemaskini dari segi pilihan CPU, dimana pihak Acer mengumumkan bahawa model terbaru ini akan menggunakan siri CPU Intel Core generasi kesembilan yang terbaru, manakala dari segi pilihan kad grafik pula, ia akan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX yang terbaru di pasaran.

Menariknya, walaupun siri komputer riba Acer Nitro ini dikatakan model laptop mampu-milik, ia masih dilengkapi dengan ciri-ciri seperti rekaan paparan hampir nirbingkai dan kadar segar semula 144Hz, sela-masa serendah 3ms pada paparan 15.6 dan 17 inci.

Acer Nitro 7

Acer Nitro 7 pula ialah model siri Nitro terbaru yang diperkenalkan oleh Acer. Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi dengan siri CPU dan kad grafik yang sama dengan model Nitro 5, akan tetapi, satu perbezaan yang ketara ialah rekaan rangka logam yang senipis 19.9mm sahaja.

Ia juga dilengkapi dengan paparan 15.6 inci pada resolusi Full HD, dan mempunyai kadar segar semula 144Hz dan sela masa 3ms, dan disamping itu, Acer juga menjanjikan jangka-hayat bateri selama tujuh jam dengan satu pengecasan penuh.

Sumber : Amanz