Pemuda jalin hubungan dengan isteri orang, maut dibelasah

Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipukul sekumpulan lelaki yang dipercayai bermotifkan cemburu, lapor Sinar Harian
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4:00 petang Isnin lalu di sebuah stor di Kampung Bagus, Rantau Panjang, mangsa yang berasal dari Kota Bharu disahkan meninggal dunia pada jam 5:30 petang pada 9 April ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berpunca daripada motif cemburu. 
“Mangsa dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang wnaita yang sudah berkahwin, berasal dari Kampung Lubok Stol. 
“Jadi kita minta suami kepada wanita tersebut tampil ke IPD Pasir Mas untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut. 
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala,” katanya. 
Polis sehingga kini masih belum menemui sebarang objek yang digunakan dalam kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sumber : TheReporter