MESTECC Ingin Merancakkan Proses R&D Di Malaysia Dengan Menyediakan Lebih 1,200 Peralatan Saintifik

Baru-baru ini, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah melancarkan inisiatif baru mereka iaitu Fasiliti Perkongsian Kemudahan dan Peralatan Saintifik Nasional (NSFE) bagi membuka peluang kepada penggunaan 1,200 peralatan saintifik kepada sektor industri.

Kemudahan ini dilihat memberi manfaat kepada pihak yang menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam memudahkan mereka menjalankan sesuatu kajian. Inisiatif ini dapat memberi galakkan kepada sektor awam untuk meningkatkan lagi usaha mereka di dalam R&D ini.

Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang mensasarkan nisbah minimum perbelanjaan R&D antara sektor awam dan swasta kepada 30:70. Menurut kaji selidik R&D Kebangsaan 2017, tahap perbelanjaan bagi sektor industri adalah 57% daripada keseluruhan perbelanjaan R&D negara. Melalui NSFE juga, industri dapat mengurangkan kos efektif menerusi sewaan dan mengelakkan pertindihan pembelian peralatan baharu. Kaedah ini juga dapat menjimatkan kos operasi perbelanjaan negara melalui sektor penyelidikan.

Berdasarkan data yang dikongsi, MESTECC kini mempunyai 318 buah kemudahan dan 884 buah peralatan saintifik yang sedia ada. Kemudahan peralatan ini dimiliki oleh 32 jabatan dan agensi kerajaan, iaitu institusi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Untuk sebarang tempahan penggunaan peralatan, anda boleh menghubungi pihak MESTECC melalui halaman atas talian atau menerusi kemudahan e-mel. Anda juga bolehlah memuat turun aplikasi MESTECC Scientific Equipment Directory pada Google Play Store untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut. Selain itu, anda juga boleh membuat carian senarai peralatan melalui pautan di bawah.

Layari: Carian Peralatan Saintifik NFSE

Sumber : Amanz