‘Bahaya sekiranya raja diberikan kuasa mutlak’ – PM

Ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, mengenai bahaya sekiranya raja diberikan kuasa mutlak bahawa raja mungkin menggunakan kuasa untuk pentingan diri dan bukannya negara. 
Beliau berkata, berdasarkan sejarah tanah air yang menyaksikan raja-raja menyerahkan Tanah Melayu kepada British dan menandatangani perjanjian yang akhirnya menyebabkan kehilangan Singapura. 
“Ini kita lihat bila kita beri kuasa mutlak kepada raja-raja, kerana kadang-kadang mereka lebih utamakan kepentingan diri daripada negara yang mereka memerintah. Ini bukan sekali sahaja, ini berlaku berkali-kali.
“Sebab itu kita mengadakan sistem pemerintahan yang mana raja tidak mempunyai kuasa eksekutif dan ini boleh menyelamatkan rakyat.
“Rakyat akan tentukan dasar-dasar negara melalui wakil-wakil mereka. Wakil-wakil mereka pilih kerajaan. (Jika) Menyeleweng, rakyat boleh menjatuhkan mereka,” katanya. 
Menurut beliau, orang Melayu masih berfikiran feudal iaitu mengganggap adalah tidak boleh membantah raja walaupun mereka melakukan sesuatu jenayah atau melanggar undang-undang. 
“Dengan itu, raja bertindak melakukan beberapa perkara yang tidak mengikuti undang-undang.
“Tapi sehingga sekarang, kita lihat tidak ada tindakan yang akan diambil oleh pegawai-pegawai kerajaan walaupun mereka sedar bahawa apa yang dilakukan oleh raja bercanggah dengan undang-undang.
“Ini masalah kita hadapi kerana di satu pihak kita akan berpegang kepada the rule of law, di satu pihak yang lain adalah mengatasi undang-undang dan kita ketepikan undang-undang kerana adat.
“Apakah kita rela ini berterusan? Ini adalah keputusan boleh diambil oleh rakyat sendiri kalau rakyat begitu sekali takut untuk tidak melayan raja-raja, dan raja-raja menjadi raja yang luar daripada perlembagaan, maka rakyat akhirnya yang akan menjadi mangsa. Raja juga akan jadi mangsa,” kata Mahathir.
Sumber: MalaysiaKini

Sumber : TheReporter