“Saya Mengecam Sekeras Kerasnya Tindakan Mereka,” Muhyiddin Yassin Luah Rasa Kesal Perbuatan Hina Agong

Semalam tular mengenai beberapa keping gambar yang menghina Yang di-Pertuan Agong. Gambar tersebut dipercayai mula disebarkan oleh sebuah laman di facebook. Tindakan laman berkenaan memuatnaik gambar itu ternyata mendapat kecaman dan menaikkan kemarahan orang ramai.

Malah, laman terbabit turut menggunakan kata-kata penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Oleh yang demikian, orang ramai mula ‘menyerang’ laman berkenaan dan membuat laporan polis terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan kenyataan di semua platform sosial media sosial mereka.  Menurut MCMC, mereka sedang menjalankan siasatan ke atas pihak yang terbabit. Tindakan itu diambil susulan laporan dari orang ramai berkenaan insiden tersebut.

Pihak MCMC turut menyatakan bahawa mereka dan Pihak Polis Diraja Malaysia sedang menyelaraskan siasatan dan berkongsi maklumat siasatan. Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk menyebarkan berita dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Terbaru, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyidin Yassin dalam hantaran di laman Facebooknya menyatakan rasa kesal tentang tindakan kumpulan terbabit. Menurutnya :

“Saya mengecam sekeras kerasnya paparan di facebook kumpulan yang menggelarkan diri mereka Sabah-Sarawak Merdeka. Tindakan mereka menggubah gambar DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah perbuatan menghina Raja yang melanggar undang-undang negara.”

“Ini adalah satu perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat Malaysia serta bercanggah dengan prinsip Rukunegara.”

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan.”

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.”

Sumber : Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia

Sumber : SiakapKeli