DBP Akan Menawarkan Majalah Dan Buku Terbitan Mereka Secara Digital Bermula Julai 2019

Dengan perluasan peranti mudah-alih, banyak penerbitan telah mula menawarkan versi digital untuk kandungan mereka. Ia memudahkan pengguna mendapatkan kandungan secara pantas, sekaligus memperluaskan kandungan digital ini kepada lebih ramai pengguna. Melihat kepada manfaat ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mula menawarkan majalah buku secara digital bermula pertengahan tahun ini.

Perlaksanaan ini berlaku kerana kuasa membeli kandungan pembacaan fizikal sudah semakin mengecil, ekoran daripada kos sara hidup yang meningkat. Melalui kandungan digital, kos penghasilan bahan bacaan dapat dikurangkan, kerana ia tidak perlu dicetak dan melalui proses edaran yang berkos tinggi. DBP juga dapat mengekalkan kandungan bercetak dalam kuantiti yang terhad, sekaligus mengurangkan kos penerbitan dan penggunaan kertas yang intensif.

Walaupun buku fizikal masih ditawarkan, penggunaan kandungan digital juga dapat menjimatkan ruang kerana ia disimpan di dalam satu peranti. Ia juga mudah dibeli dan diakses kerana ia boleh didapati terus melalui sesebuah halaman di atas talian. Dengan adanya kemudahan seperti ini, DBP yakin bahawa perlaksanaan ini dapat membantu untuk meningkatan penyebaran kandungan dalam Bahasa Melayu dengan lebih meluas.

DBP dijangka akan mula menawarkan kandungan digital mereka bermula Julai 2019 ini. Ia akan ditawarkan dalam bentuk pembelian dan juga melalui sistem berasaskan langganan. Kandungan yang ditawarkan akan hadir di dalam sebuah aplikasi, yang mana boleh dimuat-turun oleh pengguna melalui Apple App Store dan Google Play Store.

Sumber : Amanz