(Video) Ibu terajang anaknya yang kepenatan ketika sesi photoshoot

Tergamak seorang ibu menerajang anak perempuannya berusia tiga tahun di bahagian punggung yang mengadu keletihan dan tidak dapat memberi gaya yang dikehendaki, lapor Mirror

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Niu Niu, menjadi model kepada sebuah jenama pakaian tempatan dan sedang menjalani sesi fotografi pada hari kejadian. 
Ibu mangsa didesak untuk meminta maaf selepas klip video yang dirakam di Hangzhou, China, itu viral di media sosial. 
“Saya tidak berniat untuk mencederakan atau mendera dia, saya memohon maaf di atas kejadian ini serta tindakan saya yang telah menimbulkan rasa kurang senang orang ramai. 
“Saya mahu menegaskan, anak saya menerima penjagaan dan kasih sayang yang secukupnya dari saya. Terima kasih,” kata ibunya di Weibo. 
Bagaimanapun, netizen di negara itu tetap menyelar tindakannya itu, malah menuduhnya mempergunakan anak sendiri untuk menjana pendapatan keluarga. 
“Awak mengeksploitasikan anak awak untuk meraih pendapatan. Awak ibu yang tak guna!
“Awak tak layak menjadi ibu!” kata netizen. 
Undang-undang pengiklanan di China melarang mana-mana syarikat mempergunakan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun sebagai model dan segala pendapatan yang diperolehi oleh Niu Niu sebelum ini dipercayai telah digunakan oleh ibu bapanya.

Sumber : TheReporter