Tok Mat puas hati, Dr Streram harap hadiah anniversary

Tiba hari mengundi bagi PRK DUN Rantau di mana 14 pusat mengundi telah dibuka sejak jam 8:00 pagi tadi dan akan berakhir pada jam 5:30 petang nanti.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat, tiba di sekolah SJKC Chung Hua Rantau pada jam 8:26 pagi, bersama dengan isterinya, Datin Seri Raja SAlbiah Tengku Nujumudin, 
Tok Mat berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan oleh SPR dalam PRK DUN Rantau. Antaranya menyediakan tempat pengundian saluran satu dan dua di dalam dewan berbanding di dalam kelas pada PRU14 lalu. 
Selain itu, SPR turut membenarkan pengundi untuk mengambil kertas undi terlebih dahulu untuk masuk ke bilik pengundian tanpa perlu beratur lama.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram pula berharap dirinya akan diberi mandat oleh rakyat di Rantau dan jika menang, ia akan menjadi hadiah kemenangan yang paling manis bersempena dengan ulang tahun perkahwinannya yang ke-34. 
“Saya telah buat yang terbaik sepanjang tempoh berkempen 14 hari lalu dan sedia menerima apa sahaja keputusan kerana tidak boleh menetapkan apa-apa jangkaan. 
“Jika menang, saya akan segera turun padang esok untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi,” katanya. 
Bagi PRK DUN Rantau, seramai 20,793 pengundi yang layak mengundi di 14 pusat mengundi yang dibuka bermula jam 8:00 pagi hingga 5:30 petang. 
Sumber: Harian Metro

Sumber : TheReporter