Benarkah Marco Polo Dan Ibnu Batutah Melawat Kelantan?

Marco Polo dan Ibnu Batutah merupakan pengembara hebat yang telah mengelilingi dunia, meskipun objektif pengembaraan dua individu ini berbeza, namun mereka telah dinyatakan telah singgah di kawasan yang menjadi wilayah leluhur Raja-raja Kelantan.

Ibnu Batutah contohnya, beliau telah singgah di satu tempat bernama KayluKari dan bertemu pula dengan Puteri Urduja seorang Raja Perempuan, beliau menyatakan bahawa puteri ini mempunyai kemahiran berbahasa Turki. Nama puteri ini sangat sepadan dengan nama yang tercatat dalam sejarah Kelantan tentang seorang Raja Perempuannya iaitu Che Siti Wan Kembang yang mana beliau pernah digelar sebagai Urduja.

Justeru, Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) menyimpulkan bahawa Ibnu Batutah telah melawat Kelantan, namun sejauh mana kebenarannya dan apakah bentuk sebenar kerajaan Urduga itu, tulisan ini juga akan menyorot tentang kebenaran persinggahan Marco Polo ke satu kerajaan yang bernama Lochac dan apakah kaitan atau signifikan kerajaan ini dengan Kelantan Tua.

Marco
Polo dicatatkan terlebih dahulu telah memulakan pengembaraan berbanding Ibnu
Batutah namun bagi pengkaji sejarah terkemuka telah mengiktiraf pengembaraan
Ibnu Batutah dan catatannya adalah lebih baik kerana beliau mengembara sebagai
seorang seorang sarjana manakala Marco Polo mengembara sebagai seorang
pedagangan jadi perspektif kedua-duanya berbeza, ditambah pula tempoh
pengembaraan Ibnu Batutah lebih lama dan lebih jauh berbanding Marco Polo (Syed Nurul Akla Syed Abdullah, et al-Jilid
1, 2012: xviii).

Meskipun
dua individu ini mempunyai perbezaan yang ketara, dunia tetap mengiktiraf
bahawa mereka adalah dua orang insan yang penting yang telah mengelilingi dunia
dan maklumat yang mereka rakamkan dalam catatan masing-masing pernah menjadi
“Rahsia Besar” dan sangat dijaga rapi oleh kebanyakan negara berkuasa besar
sebelum dibongkarkan pada era ini.

Siapa Marco Polo?

Rajah 1: Marco Polo

Marco Polo dilahirkan pada tahun 1254 di Venice, Itali dalam keluarga pedagang, Messer Niccolò Polo adalah bapa beliau telah ke China bersama pakciknya, Messer Maffeo pada tahun 1260 setelah berbincang dengan Maharaja Baldwin, Raja Konstantinople (Ronald Latham,1958:34). Pengembaraan mereka ke China dibuat melalui Jalan Sutera iaitu jalan para pedagang dari Barat ke arah Timur dan mereka berlepas dari Konstantinople (Turki) belayar merentasi Laut Hitam menuju ke Sudak sebuah kota pelabuhan yang kini terletak dalam kawasan pertikaian Ukraine-Russia.

Tiba di Sudak, mereka memulakan pengembaraan menuju ke wilayah yang dikuasai oleh Barka Khan, Raja Tartar iaitu satu kawasan antara Bolgara dan Sarai. Raja Tartar tersebut melayan mereka dengan penuh hormat, Niccolò dan Mafeo telah menyerahkan semua barangan kemas yang dibawa dari Konstantinople dan sebagai balasan Barka Khan telah menyerahkan barang dagangan dua kali ganda dari nilai barangan kemas yang dibawa oleh dua orang latin itu.

Mereka telah tinggal selama setahun di kawasan kekuasaan Barka Khan dan berjaya menjana keuntungan yang berganda sebelum tercetusnya perang dengan Hulagu Khan, sepanjang tempoh peperangan ini semua orang telah ditangkap termasuklah dua beradik ini. Sewaktu dalam tahanan mereka telah memohon dibebaskan untuk terus mengembara ke arah timur dengan janji mereka akan berpatah balik setelah mereka dihalang untuk pulang ke Konstantinople bersama barang dagangan.

Mereka
meninggalkan wilayah Barka menuju ke Kota Ucaca iaitu kota terakhir di bahagian
barat yang dikuasai oleh Khan, dari situ mereka merentasi Tigris (Volga) lebih
dua minggu iaitu kira-kira tujuh belas hari melalui gurun yang tandus tanpa
perkampungan atau bandar kecuali perkemahan orang Tartar bersama haiwan
gembalaan mereka.

Dua orang adik beradik dari Venice ini akhirnya berjaya merentasi gurun tersebut dan mereka telah tiba di Kota Bukhara sebuah bandar yang sempurna di seluruh kawasan Parsi, ia diperintah oleh Barak. Terperangkap di bandar yang serba lengkap itu, mereka akhirnya berkeputusan tinggal di situ selama tiga tahun hinggalah kota tersebut disinggahi oleh rombongan Hulagu Khan yang dalam perjalanan mengunjungi Khan yang Agung bagi bangsa Tartar bernama Kublai, beliau tinggal ke arah tenggara di penghujung dunia.

Hulagu Khan dan ahli rombongannya teruja apabila mereka menemui kedua orang adik beradik berbangsa Latin tersebut, hal ini kerana mereka belum pernah lagi menemui bangsa asing itu di negara mereka. Setelah Hulagu mendapat tahu kedua beradik tersebut adalah pedagang, beliau lantas menawarkan peluang untuk mereka meraih keuntungan dan kekayaan berganda sekiranya mereka menaruh kepercayaan kepadanya, tanpa banyak soal dua beradik dari Venice itu menerima tawaran tersebut.

PBAKL 2019

Hulagu
Khan menyatakan sekiranya Nicolò dan Maffeo setuju untuk bersama-sama rombongannya
untuk bertemu dengan Kublai, Khan yang Agung bagi bangsa Tartar, dia pasti akan
teruja dan gembira dapat menemui orang asing yang berasal dari Venice tersebut
dan Kublai akan melayan mereka dengan penuh hormat dan dianugerah berbagai
hadiah, demi memastikan mereka mengikutnya, Hulagu Khan turut memberi jaminan
keselamatan kepada mereka sepanjang perjalanan ke penghujung dunia bagi menemui
Kublai Khan.

Perjalanan
tersebut mengambil masa selama setahun, sepanjang tempoh itu, rombongan Hulagu
Khan itu telah menyaksikan banyak pemandangan menarik dan hebat, akhirnya
mereka tiba jua di Istana tempat kediaman Kublai Khan, Nicolò dan Maffeo telah
disambut dengan gilang gemilang. Raja Agung bagi bangsa Tartar telah menanyakan
pelbagai persoalan antaranya tentang Maharaja mereka, Raja-raja, putera dan
puteri dan orang kenamaan dari tatacara kerajaan diurus hinggalah kepada sistem
keadilan yang diguna pakai, Kublai Khan seterusnya bertanya tentang Pope dan
kesemua amalan dalam Gereja Roman, beliau juga turut bertanyakan tentang adat
istiadat masyarakat Latin. Semua soalan dan pertanyaan Kublai Khan dijawab
dengan baik oleh kedua-dua mereka dalam bahasa Tartar.

Tertarik
dengan penjelasan dari kedua-dua orang Latin dari Venice tersebut, Kublai Khan berhasrat
menghantar utusan bagi menemui Pope dan meminta Nicolò dan Messer untuk
mengiringi utusannya, tanpa sebarang bantahan mereka berdua telah setuju.
Serentak dengan keputusan wakil dari Venice, Kublai Khan telah melantik seorang
pembesar baginda bernama Kogatal sebagai utusan untuk bertemu dengan Pope.

Kogatal
menyatakan keakuran terhadap perlantikan tersebut serta menyatakan
kesanggupannya melaksanakan tugasan tersebut sedaya upaya beliau, Kublai Khan
lantas menulis sepucuk surat dalam bahasa Turki untuk diutuskan kepada Pope
dengan mengarahkan kepada dua beradik tersebut dan juga utusannya untuk
menyampaikan pesanannya kepada Pope dengan menegaskan bahawa isi kandungan
surat tesebut bermaksud:

“Pope hendaklah
menghantar seratus orang alim yang menuntut agama Kristian, mereka hendaklah
mahir dalam tujuh kesenian, orang alim itu juga haruslah mempunyai kemahiran
untuk berbahas dan mengajar dengan mudah kepada penyembah berhala dan kepada
mereka yang mempercayai dan menyembah pelbagai patung yang disimpan dalam rumah
mereka adalah perbuatan yang salah – orang alim dari kalangan penuntut Kristian
itu harus menunjukkan bahawa agama yang dipegang mereka adalah lebih baik dari
penyembahan berhala.

Selain
itu, Kublai Khan memberi arahan secara khusus kepada kedua beradik tersebut
agar membawa minyak dari lampu yang menyala di bawah patung Tuhan di Jerusalem
kepada baginda sebagai misi khas mereka. Maharaja Agung Tartar itu juga
menyerahkan medalion emas kepada Nicolò, Maffeo dan Kogatal sebagai pengenalan
diri mereka selaku wakil khas kepada baginda, dengan adanya medalion tersebut
mereka boleh memohon segala bantuan yang diperlukan dalam kawasan yang dikuasai
oleh banginda. 

Perjalanan mereka untuk menyampaikan hasrat Kublai Khan kepada Pope di Barat dibuat dengan merentasi daratan melalui Jalan Sutera, hanya mereka yang cekal sahaja berjaya mengharungi perjalanan tersebut. Pertengahan pengembaraan tersebut, Kogatal telah jatuh sakit dan beliau telah ditinggalkan di sebuah bandar, manakala Nicolò dan Maffeo meneruskan perjalanan tersebut hari demi hari selama tiga tahun sebelum mereka sampai di Ayas yang terletak dalam wilayah Ankara, Turki pada masa kini.

Perjalanan yang lama ini berlaku kerana bukan setiap masa mereka menunggang kuda faktor cuaca dan geografi mempengaruhi sebahagian besar perjalanan, dari Ayas mereka akhirnya tiba di Acre, sebuah bandar di Israel kini pada bulan April 1269. Setibanya dibandar tersebut mereka baru mendapat berita bahawa Ketua Pope yang bernama Clement telah meninggal dunia setahun sebelum itu sejurus mendapat berita tersebut, Nicolò dan Maffeo terus berjumpa dengan Tedaldo Piacenza, ketua pentadbiran Gereja Roman bagi seluruh kerajaan Mesir bagi menerangkan tentang misi dan amanat yang mereka bawa dari Maharaja Agung Tartar, Kublai Khan bagi menemui Pope (Wordsworth Classic, 1997:6-7).

Pihak
pentadbiran Gereja Roman berpendapat ini adalah satu peluang yang sangat
menguntungkan serta satu penghormatan bagi Dunia Kristian, bagaimanapun mereka
telah menjelaskan kepada mereka bahawa Pope Clement telah meninggal dunia dan
meminta mereka agar menunggu dengan sabar sehingga Pope yang baru dilantik
barulah mereka dapat meneruskan misi mereka itu. Nicolò dan Maffeo sedar, pihak
pengurusan Gereja telah berkata benar dan mereka perlu menunggu hingga pihak pentadbiran
Gereja selesai mengundi siapa yang sepatutnya menjadi Ketua Pope seterusnya,
atas sebab itu mereka telah mengambil keputusan untuk kembali ke Venice bagi
melawat keluarga yang sekian lama telah mereka tinggalkan.

Mereka
meninggalkan Acre menuju ke Negropont dari situ mereka belayar terus
ke Venice, setibanya di kampung halaman Nicolò baru mengetahui bahawa isterinya
telah meninggal dunia meninggalkan seorang anak lelaki berusia lima belas tahun
bernama Marco. Mereka tinggal di Venice sehingga 1271 lebih kurang dua tahun,
menunggu perlantikan Pope baru, namun tiada sebarang perkhabaran tentang
perlantikan perkara tersebut menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk terus
ke Acre memandangkan misi mereka
telah tertangguh lama dan bimbang mereka gagal untuk kembali kepada Kublai
Khan.

Messer Nicolò dan Messer Maffeo telah belayar terus ke Acre dan kali ini mereka turut membawa anak tunggal Nicolò, Marco yang berumur tujuh belas tahun, setibanya di Acre, mereka telah berbincang dengan Tedaldo Piecenza berkenaan misi yang dibawa mereka, tiada keputusan berkenaan Pope. Piecenza bersama-sama Nicolò dan Maffeo serta Marco telah berangkat ke Jerusalem untuk mengambil minyak lampu yang di pasang pada patung Jesus, setelah mendapat minyak yang dipesan oleh Kublai Khan mereka meminta kebenaran daripada ketua pentadbir Gereja Roman, Piecenza untuk meneruskan misi untuk kembali kepada Kublai Khan di China.

Membenarkan keluarga pedagang Venice itu meneruskan misi mereka, Piecenza sempat mengarang surat dan juga pesanan untuk disampaikan kepada Khan Yang Agong bahawa Messer Nicolò dan Messer Maffeo telah menyampaikan hasrat tersebut namun berikutan kematian Pope, misi sebenar tidak dapat dilaksanakan.

Nyata di sini bahawa pengembaraan Marco Polo mengelilingi dunia berlaku secara tidak sengaja di mana beliau telah dibawa oleh bapanya Messer Nicolò Polo bagi menyelesaikan misinya bersama adik beliau Messer Maffeo menyempurnakan amanat dari Kublai Khan yang telah menguasai lebih dari separuh dunia. Perjalanan mereka bertiga untuk menemui Kublai Khan yang berada di Kemenfu, berjalan tanpa henti selama tiga setengah tahun tanpa henti dan akhirnya mereka berjaya kembali semula ke China serta menghadap Maharaja Kublai Khan dengan penuh perasaan malu berikutan gagal menyempurnakan misi mereka yang sebenar, mereka gagal membawa seorang orang alim Kristian untuk menjalankan misi dakwah Kristian.

Namun Kublai Khan tetap menyambut mereka dengan penuh hormat seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kehadiran Marco Polo yang ketika itu baru berusia dua puluh satu tahun menarik minat Kublai Khan dan Nicolò menerangkan bahawa remaja tersebut adalah anak lelaki beliau, tambah mengejutkan Marco pada waktu itu telah fasih berbahasa Tartar baik pertuturan mahupun tulisan. Kebijaksanaan dan kemahiran yang dikuasai oleh Marco Polo membuatkan beliau sangat istimewa kepada Kublai Khan, semenjak itu dia telah dilantik sebagai salah seorang diplomat bagi Empayar Monggol dan dia telah berkhidmat dengan empayar tersebut selama tujuh belas tahun iaitu hingga tahun 1291.

Sepanjang tempoh perkhidmatan dengan Empayar Monggol itu beliau telah mengembara ke seluruh pelusuk empayar di seluruh daratan dunia, empayar bangsa Tartar yang diperintah oleh Kublai Khan sering bercakaran hingga ia berlaku ke tahap yang serius, perang saudara sesama mereka berlaku di kebanyakkan wilayah.

Perkahwinan adalah antara lain langkah penyelesaian perang saudara ini, akhirnya Kublai Khan yang pada waktu itu berumur tujuh puluh tahun telah mengarahkan Messer Nicolò, Messer Maffeo dan Messer Marco untuk mengiringi puterinya iaitu Puteri Kokachin ke Parsi melalui jalan laut untuk dikahwinkan dengan Putera Parsi, iaitu Puteri Arghun[1]. Selain itu, Kublai Khan turut mengirimkan surat kepada Pope, Raja Perancis, Raja Sepanyol serta semua Raja-raja dalam Dunia Kristian.

Sewaktu mereka hendak berangkat pada tahun 1291, Kublai Khan telah menyediakan dua belas kapal yang boleh memuatkan antara 250 hingga 260 orang sebuah kapal, dan dipercayai sejumlah lebih kurang 3000 orang bersama-sama mereka mengiringi Puteri Kublai Khan itu (Ronald Latham, 1958:43).

Sewaktu pelayaran inilah Marco Polo bersama bapa dan pakciknya telah singgah di Lochac, berdasarkan peta di bawah, tempat yang bernama Lochac ini terletak di Segenting Kra dan menganjur ke Semenanjung Tanah Melayu (Timur Laut Semenanung Tanah Melayu). Jelas disini bahawa Marco Polo sememangnya telah sampai ke Semenanjung seperti dalam peta dalam rajah 2, namun pasti pada kita hari ini tiada penjelasan apakah bentuk kerajaan dan penduduk di sini pada kurun ke 13 sedangkan Melaka, empayar Melayu yang ulung sendiri wujud pada kurun ke 14.

Ekspedisi Ibnu Batutah

Rajah 3: Ibnu Batutah

Semua orang jelas bahawa Ibnu Batutah adalah seorang pengembara Islam dan rekodnya menggunakan kaedah kerajaan Islam, catatan pengembaraannya berjudul Ar Rihlah turut ditulis dalam teks Bahasa Arab, bahasa rasmi orang-orang Islam. Catatan Ibnu Batutah banyak merujuk kepada kalender Hijriah, namun untuk kefahaman yang jelas, tulisan in turut memuatkan pentarikhan kelander Gregorian iaitu standard antarabangsa berkenaan tarikh dan masa di kebanyakkan negara.

Beliau dilahirkan pada tahun 1304 bersamaan 704 tahun hijriah di Tangier sebuah wilayah yang terletak di Utara Maghribi dalam keluarga ahli fiqh mazhab Maliki sewaktu era pemerintahan dinasti Bani Marin. Kehidupan beliau pada peringkat awal seperti mana remaja lain dengan mendalami pelbagai ilmu yang lazim dituntut pada masa tersebut seperti sastera Arab dan ilmu fiqh.

Tamat pengajian, beliau telah berangkat ke Kota Makkah bagi menunaikan ibadah haji pada umur dua puluh dua tahun, Douglas Bullis menyifatkan perjalanan Ibn Batutah untuk mengerjakan ibadat tersebut sebagai The Longest Hajj kerana ia mengambil masa selama dua puluh lima tahun selepas meninggalkan kampung halamannya pada 1326 dan kembali semula pada 1351(Syed Nurul Akla Syed Abdullah, et al. Jilid 1, 2012: xxiv).

Perjalanan
mengerjakan ibadah haji tersebut merupakan pengembaraan pertama Ibnu Batutah
mengelilingi dunia sambil melanjutkan pengajiannya, ketika di Mesir, timbul
keinginannya untuk mengembara dan menjelajah ke seluruh dunia terutama yang
dikuasai oleh kerajaan Islam. Waktu itu, beliau telah berazam untuk mengelak
melalui laluan yang sama dua kali, atas sebab itu beliau sengaja memilih jalan
yang melencong jauh dan berliku demi mencapai matlamatnya iaitu untuk
mengunjungi sebanyak tempat dan menemui seramai mungkin tokoh penting dari
pelbagai latar belakang dari Raja kepada Ulama’.

Selesai
ibadat Haji yang peratama pada 1326, Ibnu Batuta telah menjelajah benua Parsi
atau kini dikenali sebagai Iraq dan Iran, kemudiannya beliau kembali semula ke
Makkah.

Sepanjang
perjalanan tersebut, Ibnu Batuta rajin mengamati adat resam dan budaya setempat
termasuk cerita dan kisah tempatan yang menakjub dan menghiburkan, beliau juga
pandai mengambil hati tokoh-tokoh penting yang ditemuinya, terutama ketua-ketua
kerajaan, layanan yang diterima oleh Ibnu Batuta dan para pengikutnya seperti
mana lazimnya diterima oleh para ulama dan ilmuwan yang berkelana seluruh dunia
Islam yang terbentang luas dari lautan Atlantik hingga ke lautan Pasifik. Hasilnya
beliau kerap disambut secara terhormat daripada para penguasa dengan mendapat
hadiah berupa wang tunai dan pelbagai pemberian lumayan yang kemudian menjadi
modal untuk beliau meneruskan perjalanan, malah hadiah dan wang tunai ini
menjadi tarikan sebilangan pengikut setia beliau untuk sama-sama mengembara.

Seterusnya,
selepas kembali ke Kota Makkah dari penjelajahan dunia Parsi, Ibnu Batutah
bersama para pengikutnya mengembara pula ke Afrika Timur kini dikenai sebagai
Tanzania dengan belayar menyusuri pantai sekitar tahun 1328 atau 1330. Sewaktu
pelayaran pulang beliau telah singgah di Teluk Parsi atau lebih tepat di Oman
sekarang, dari sini beliau telah mengambil jalan darat merentasi bahagian
tengah Semenanjung Tanah Arab menuju ke Kota Makkah.

Waktu itu di Kota Makkah telah tersebar berita tentang sifat pemurah Sultan India, Muhammad Ibn Tughluq hingga ia mendorong Ibnu Batutah untuk ke India pula untuk berkhidmat dengan Kesultanan Delhli. Kekal dengan sifat ganjil beliau, Ibnu Batutah tidak akan mengambil jalan yang mudah untuk ke tempat yang beliau ingin pergi, begitu juga halnya dalam perjalanan ke India. Beliau tidak belayar terus dari Jeddah ke India tetapi telah mengambil laluan darat yang agak sukar dan rumit menerusi Mesir, Shams (Syria) dan Anatolia (Turki), setelah itu beliau belayar pula merentasi Laut Hitam ke dataran Asia Tengah Barat.

Setelah itu Ibnu Batutah menetapkan perjalanannya ke arah barat dan mengunjungi Konstantinople ibukota Byzantin, kemudian beliau menuju ke arah timur melalui wilayah Transoxiana, Khurasan dan Afghanistan, akhirnya Ibnu Batutah sampai ke tebing sungai Indus pada tahun 1333 atau 1335 selepas berlepas dari Kota Makkah pada 1328 atau 1330. Lima tahun masa perjalanan dari Kota Makkah ke India, ada jalan singkat namun Ibnu Batutah tetap dengan pendirian asalnya dalam mengembara, tidak akan melalui kawasan yang sama sebanyak dua kali.

Beliau
tinggal di India sehingga tahun 1342, lebih kurang selama lapan tahun dengan
berkhidmat sebagai kadi dalam kerajaan Sultan Muhammad Ibn Tughluq, sepanjang
berada di India, Ibnu Batutah telah merekodkan dengan terperinci keadaan
sosial, budaya dan masyarakat di India ketika itu, malah ia juga mencatat
dengan teliti berkenaan salah sebuah kerajaan Islam yang terkuat dan terkaya
ketika itu.

Pada tahun 1342, beliau terselamat dari murka Sultan India apabila dilantik menjadi Duta ke China, sewaktu dalam pelayaran ke sana beliau telah terkandas di Calicut, selatan India namun beliau sempat menumpang kapal yang menuju ke kepulauan Maldives tempat yang beliau sekali lagi dilantik sebagai mufti. Di kepulauan tersebut Ibnu Batuta sempat berkhidmat selama lapan belas bulan sebelum menyambung semula perjalanan ke China, misi sebagai Duta India ke China telah gagal, kini perjalanan beliau ke China atas misi tersendiri.

Menyusuri pantai adalah kaedah pelayaran yang diambil oleh Ibnu Batutah, dari Calicut beliau telah singgah di Benggal, Assam (Burma) dan Utara Sumatera, di sini beliau telah disambut oleh Sultan Kerajaan Samudera-Pasai yang bergelar Sultan Al Malikul Zahir, seterusnya beliau meneruskan pelayaran melalui Selat Melaka, akhirnya menerebos ke Laut Champa (Laut China Selatan) dan akhirnya tiba di Canton pada tahun 1345.

Tidak
lama berada di China, Ibnu Batutah telah kembali semula ke Kota Makkah pada
tahun 1347 menerusi Selatan India, Teluk Parsi, Syria dan Mesir. Dua tahun
berada di Kota Suci, akhirnya Ibnu Batutah bertolak pulang ke Maghribi setelah
mengerjakan ibadah hajinya yang terakhir pada 1349, namun semangatnya untuk
mengembara masih belum kendur. Pada tahun 1350, beliau telah menyeberangi selat
Jabal Tariq (Gibraltar) untuk mengunjungi Qarnatah (Granada), kemudian pada
1353 beliau telah memulakan pengembaraannya yang seterusnya dan yang terakhir
iaitu ke negeri Sudan (Mali) yang terletak di Barat Afrika dan kembali semula
ke Maghribi pada 1354. Ibnu Batutah menamatkan pengembaraannya ketika berusia
lima puluh dua tahun, akhirnya beliau menghabiskan sisa usianya sebagai seorang
Kadi di salah sebuah pekan di Maghribi hinggalah beliau meninggal dunia pada
tahun 1368 pada usia 65 tahun.

Signifikan
pengembaraan Ibnu Batutah dalam perbincangan ini adalah ketika beliau belayar
pulang ke Kota Makkah telah mengunjungi China, waktu ini beliau telah singgah
di Semenanjung sekurang-kurangnya dua kali iaitu kali pertama selepas berlepas
dari Utara Sumatera ketika perjalanan ke China dan kedua sekitara Timur Laut
Semenanjung ketika dalam perjalan pulang ke Kota Makkah antara tahun 1345 –
1347. Sewaktu beliau singgah di kawasan Timur Laut Semenanjung inilah beliau
telah bertemu dengan seorang Raja Perempuan yang berkebolehan bertutur dalam
bahasa Turki bergelar Urduja yang
memerintah satu kawasan bernama KayluKari.

Signifikan Lochac dan Kaylukari dalam Sejarah Kelantan Tua

Catatan Marco Polo tentang Lochac

Capaian
maya melalui internet mendapati bahawa Imperialis Belanda sekitar kurun ke 15
merujuk Australia sebagai Lochac, namun
dari catatan Marco Polo, Lochac terletak
sekitar kawasan Timur Laut Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke kawasan Segenting,
rujuk rajah 2.

Berikut
adalah catatan Marco Polo tentang Lochac:

On
leaving Chamba and sailing south-south-west for 700 miles the traveller reaches
two islands, one big and the other smaller, called Sondur and Condur. As these
uninhabited, let us leave them. Another 500 miles towards the south-east brings
us to a large and wealthy province of the mainland whose name is Lokak. The
people are idolaters, ruled by a powerful monarch and speaking a language of
their own. They pay no tribute to anyone, because their country is so situated
that no one can go there to work mischief. If it were accesible, the Great Khan
would soon subject it to his empire. This province produces cultivated brazil
wood in great abundance. Gold is plentiful that no one who did not see it could
believe it. There are elephants and wild game profusion. From this kingdom come
all the cowrie shells that are spent in all provinces of which I have told you.
There is nothing else metioning, except that it is such a savage place that few
people ever go there. The king himself does not want anyone to go there or to
spy out his treasure or the state of his realm. Accordingly we shall pass on
and speak of other things.

On leaving Lokak and sailing southwards for 500
miles, the traveller reaches the island of Bintan, which is a very savage
place. The forest are all of sweet-smelling wood of great utility. From here
the route runs for sixty miles through a strait between two islands. In many
places the water is not more than four paces deep, so that big ships passing
through must raise their steering-oar, for they have a draught of about four
paces. After this a voyage of thirthy miles south-eastwards leads to an island
kingdom called Malayur, which has a king and a language of its own. There is a
large and splendid city here, also called Malayur, which plies a flourishing
trade especially is spices, of which there is great abudance. As there is
nothing else worthy of note, we shall continue on our way.

(Ronald Latham, 1958: 251-252)

Ronald Latham (1958) menyatakan bahawa Lochac yang beliau terjemahkan sebagai Lokak terletak di kawasan Malaya yang pada hari ini kita kenal sebagai Semenanjung Malaysia atau lebih popular dirujuk sebagai Semenanjung Tanah Melayu, namun berdasarkan kepada peta beliau seperti dalam Rajah 2, Lokak terletak di kawasan Segenting Kra.

Hal ini bertetapan dengan catatan Nakula yang menyatakan bahawa Raja Lamuttal telah mengubah nama nama negaranya dari nama Nagara Prathama kepada Lanka, menurut Nakula lagi, inilah kerajaan yang dilawati oleh Marco Polo dalam ekpedisi pelayaran ke Parsi itu, beliau turut menambah terdapat juga catatan China iaitu dalam Yuan Shih yang merekodkan nama Law Hok Kok yang terletak di selatan Sien (Siam), (Abdullah Mohamed, 1980: Fasal 1: 9)

Seterusnya
mengenai Malayur, seperti catatan
Marco Polo berikut … After this a voyage
of thirthy miles south-eastwards leads to an island kingdom called Malayur,
which has a king and a language of its own. There is a large and splendid city
here, also called Malayur…
dalam catatan Nakula menyatakan bahawa nenek
moyang atau leluhur keluarga diRaja Kelantan adalah berasal dari keturunan dari
Raja Malayur bernama Raja Tilam atau Sang Tawal dan bergelar Sultan Mansor,
(Abdullah Mohamed: Adabi 78: 93)

Malayur
adalah sebuah empayar yang dinamakan semula dari Empayar Jawaka oleh Raja
Sakranta ayahanda Sang Tawal, empayar ini merangkumi kepulauan Sumatera dan
Semenanjung Tanah Melayu, pada peringkat awal ibu kotanya terletak di
Mandawijaya iaitu satu kawasan berhampiran sempadan jajahan Tanah Merah dan
Pasir Mas di Kelantan. Namun ketika pemerintahan Sang Tawal, baginda telah
memindahkan pusat pemerintahan dari Mandawijaya ke wilayah Bedelung iaitu
Patthalung sekarang dan dinamakan mengikut nama empayarnya iaitu Malayur dan inilah yang dicatatkan oleh
Marco Polo dalam kisah pengembaraannya.

Justeru,
adalah benar bahawa Marco Polo seorang pengembara ulung bagi orang Eropah telah
melawat negeri takluk leluluhur para Raja Kelantan iaitu Malayur dan Lokak, seterusnya
membuktikan bahawa tanah Kelantan ini sudah lama mempunyai kerajaan sendiri,
lama sebelum Melaka lagi.

Catatan Ibnu Batutah tentang Kaylukari

Maklumat
dalam tajuk Ekspedisi Ibnu Batutah telah
dinyatakan bahawa Ibnu Batutah telah singgah di Alam Melayu dalam cubaan seterusnya
selepas pelayarannya dari India terkandas di Calicut, selatan India. Beliau
menyambung semula pelayarannya ke China dalam tahun tahun 1344 dengan menyusuri
pantai dari Calicut dan singgah di Benggal, Assam kemudiannya menuju ke
Sumutera dan singgah di Istana kerajaan Samudera-Pasai dan disambut dengan
mesra oleh Sultan Al Malikul Zahir, dua minggu masa persinggahan di kerajaan
Islam di Utara Sumatera tersebut sebelum beliau berlepas pula ke sebuah
kerajaan yang dicatat sebagai Mul Jawa, di
sini Ibnu Batutah turut disambut dengan penuh penghormatan oleh pemerintah
kerajaan tersebut dan berada di istana kerajaan tersebut selama tiga hari atas
permintaan pemerintah tersebut.

Tamat tiga hari, Ibnu Batutah meninggalkan Mul Jawa dan belayar selama tiga puluh tujuh hari menuju ke arah Timur dan telah singgah di sebuah kerajaan bernama Tawalisi, rajanya juga bernama Tawalisi. Beliau menyatakan bahawa Tawalisi adalah sebuah kerajaan yang luas dan rajanya sama seperti Raja China, baginda memiliki banyak jong yang digunakan untuk memerangi penduduk China hingga mereka memohon perdamaian dengan syarat-syarat tertentu. 

Penduduk di Tawalisi pula belum lagi menganut agama Islam dan mereka adalah penyembah berhala, rupa paras mereka menyerupai orang Turki dan sangat menawan, mereka juga sangat gagah berani. Kaum wanita mahir menunggang kuda dan pandai memanah, malah mereka juga turut turun ke medan perang sama seperti kaum lelakinya.

Rombongan
pelayaran Ibnu Batutah telah singgah di pelabuhan Kaylukari juga merupakan kota mereka yang paling cantik dan paling
besar, hajat Ibnu Batutah dan rombongannya untuk bertemu dengan Putera Raja
Tawalisi, namun mereka telah diberitahu oleh tentera di bandar tersebut bahawa
Tuan Putera telah dilantik oleh Raja untuk mentadbir wilayah lain dan baginda
telah melantik puterinya bernama Urduja sebagai
ganti, berikut terjemahan pertemuan antara Ibnu Batuta dengan Urduja:

Pada hari kedua ketibaan kami di Pelabuhna Kailukari, puteri ini menjemput nakhuzah iaitu nakhoda yang juga pemilik kapal, karani iaitu jurutulis, saudara dan pembesar-pembesar di samping tandil iaitu panglima tentera berjalan kaki serta sabah salar iaitu panglima kumpulan pemanah untuk menghadiri jamuan yang disediakan untuk mereka, mengikut adatnya. Nakhoda kapal mahu supaya aku turut hadir bersama-sama dengannya tetapi aku enggan kerana mereka ialah orang kafir dan aku tidak boleh memakan makanan mereka.

Apabila semua orang tiba disisi baginda, puteri itu bertanya kepada mereka, “Adakah sesiapa lagi antara kamu yang tidak hadir?” Nakhoda pun menjawab, “Yang tinggal hanya seorang lelaki iaitu seorang bakhsi (kadi). Beliau tidak memakan makanan penduduk di sini.” Puteri Urduja bertitah, “Panggilah dia ke mari!” Pengawal-pengawal puteri pun datang bersama-sama dengan rakan-rakan nakhoda kepadaku dan berkata, “Penuhilah jemputan tuan puteri.”

Oleh itu, aku pun menemui Puteri Urduja yang sedang meraikan majlisnya yang meriah dan hebat. Di hadapan Puteri Urduja, ada wanita-wanita yang memegang tali kekang dan mereka merentangkannya untuk baginda. Sementera di sekeliling baginda pula ada kaum wanita yang duduk dan mereka ialah wazir-wazir wanita. Mereka duduk di bawah katil iaitu di atas kerusi yang diperbuat daripada cendana.

Seterusnya di hadapan Puteri Urduja ada kaum lelaki. Tempat duduk Puteri Urduja dihampari oleh sutera dan di atasnya digantungkan tirai daripada sutera. Sementera kayunya pula ialah cendana dan terdapat juga kepingan emas di atas tempat duduk tersebut. Selain itu, ada juga bangku-bangku kayu yang berukir. Di atasnya terdapat banyak perkakas yang diperbuat daripada emas dan bersaiz besar serta kecil seperti teko, perhiasan-perhiasan kecil seperti cawan.

Nakhoda memberitahuku bahawa ia dipenuhi dengan sejenis minuman yang dibuat dari gula dan dicampur dengan herba. Orang ramai meminumnya selepas makan dan berbau harum serta manis rasanya. Di samping itu, minuman tersebut juga menyegarkan tubuh, mengharumkan bau nafas, menghadamkan makanan dan membantu hubungan jenis.

Apabila aku mengucapkan salam kepada Puteri, baginda bertitah dalam bahasa Turki, “Hasan misan yakhsya misan (khusymisan yakhsyimisan),” yang bermaksud “Apa khabar dan bagaimanakah keadaan kamu?” Baginda mendudukanku berhampiran dengannya. Puteri Urduja juga pandai menulis tulisan Arab. Baginda bertitah kepada salah seorang khadamnya, “Dawat wabitka khatuz.” Katuz bermaksud “dakwat” dan”kertas”. Dakwat dan kertas pun dibawa kepada baginda dan aku menulis, “Bismillahirrahmanirrahim”.

Puteri Urduja lantas bertanya, “Apakah ini?” Aku pun memaklumkan kepada baginda, “Tandarinam,” dan ia bermaksud “nama Allah”. “Baginda bertitah pula, “Khasyan” yang bermaksud “baik”. Kemudian puteri bertanya kepadaku, “Dari manakah kamu datang?” Aku pun memberitahunya, “Dari negeri India.” Baginda bertanya lagi, “Negeri Lada Hitam?” Jawabku, “Ya, tuanku!” seterusnya baginda bertanya kepadaku tentang negeri itu dan kisah-kisahnya. Aku pun menceritakan semuanya. Kemudian Puteri Urduja bertitah,

“Beta mesti memerangi negeri tersebut dan menjadikannya milik beta kerana sesungguhnya beta merasa kagum dengan harta dan tenteranya yang banyak.” Aku pun berkata kepadanya, “Lakukanlah, tuanku!” seterusnya Puteri Urduja memerintahkan supaya aku dikurniai baju, beras sebanyak dua muatan yang dipikul oleh gajah, dua ekor kerbau, sepuluh ekor kambing, empat ratl air mawar dan empat martaban iaitu jag besar yang dipenuhi oleh halia, lada, limau, serta mangga. Semuanya telah diasinkan dan ini adalah antara barang yang disedikankan untuk belayar.

Nakhoda kapal memberitahuku bahawa Puteri Urduja mempunyai kumpulan wanita, khadam perempuan dan jariah-jariah yang berperang seperti kaum lelaki dalam pasukan tenteranya. Baginda sendiri keluar dengan pasukan tentera itu yang terdiri dari kaum lelaki dan kaum wanita lalu melancarkan serangan ke atas musuh baginda. Baginda juga turut terlibat dengan pertarungan antara seorang dengan seorang, bersama dengan pahlawan-pahlawan.

Nakhoda juga memberitahuku bahawa peperangan sengit telah berlaku antara puteri tersebut dengan beberapa orang musuhnya dan banyak tentera terkorban. Mereka hampir-hampir tewas lalu baginda mara sendiri ke barisan hadapan dan menembusi barisan tentera. Akhirnya baginda tida di sisi raja yang diperanginya. Puteri Urduja lantas melontarkan lembing yang menyebabkan raja tersebut terbunuh dan tentera raja itu pun tertewas.

Kemudian Puteri Urduja membawa pulang kepala raja tersebut dengan hujung lembing dan kerabat baginda telah melucutkannya dari lembing dengan nilai harga yang tinggi. Setelah Puteri Urduja pulang ke pangkuan ayahandanya, baginda dilantik oleh ayahandanya sebagai pemerintah di kota yang sebelumnya berada di bawah kekuasaan saudara lelakinya. Nakhoda turut memberitahuku bahawa ada antara putera raja yang melamar Puteri Urduja tetapi baginda bertitah, “Beta tidak akan berkahwin melainkan dengan seseorang yang dapat bertarung dengan beta dan menewaskan beta.” Mereka tidak menyahut cabaran untuk bertarung dengan baginda kerana takut akan kecelakaan yang akan menimpa diri seandainya baginda dapat menewaskan mereka.

(Syed
Nurul Akla Syed Abdullah pen., 2012: 289-290)

Berdasarkan kepada terjemahan catatan Ibnu Batutah ini kita dapat mengetahui beberapa fakta yang sama dalam sejarah Kelantan iatu Tawalisi dan Puteri Urduja. Sejarah Kelantan yang disusun oleh Nakula menjelaskan bahawa suatu ketika Kelantan mempunyai seorang raja bernama Sang Tawal yang memerintah kerajaan Malayur dari tahun 1267 hingga sekitar tahun 1335, baginda mempunyai enam orang zuriat antara mereka adalah Raja Bharubhasa dan Dewi Durga.

Dewi ini yang mempunyai persamaan dengan Puteri Urduja dalam catatan Ibnu Batutah selama ini. Justeru dapat disimpulkan bahawa sekitar tahun 1344 Masihi, Ibnu Batutah telah singgah di rantau Timur Laut Semenanjung atau lebih tepat sekitar Kota Bharu dan sempadan Pasir Mas dengan Tanah Merah, Kelantan.

Latar Sosiopolitik
Melayu Timur Laut Semenanjung 1250 – 1345

Marco
Polo telah singgah di Lochac sekitar
1291 atau 1292 manakala Ibnu Batutah telah singgah di Tawalisi dan bertamu pula di Kaylukari
bandar paling besar dalam kerajaan tersebut sekitar tahun 1344. Beza masa
antara dua orang pengembara ini adalah selama lima puluh dua tahun, lokasi
kedua tempat ini juga tidak jauh dan mungkin ianya dalam satu kawasan yang sama
cuma berbeza nama berikutan jarak masa yang agak lama melebihi lima puluh
tahun, dalam tempoh tersebut pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Pada
1267, Raja Sakranta menyerahkan takhta kerajaan Malayur kepada puteranya Raja
Tilam yang kemudian dimasyhurkan dengan gelaran Raja Malawika, bagaimanapun
baginda kemudiannya terkenal dengan gelaran Sang
Tawal.
Sebaik sahaja ditabal menjadi Raja Malayur, Raja Malawika telah
memimpin gabungan angkatan perang dari Malayur, Nagara Sri Dharmaraja dan
Samudera dan turut disertai para rajanya iaitu Raja Chandrabhanu dan Raja Al
Malikus Salleh untuk merebut kembali Pulau Sri Lanka daripada kerajaan Pandya
pada tahun 1268, setelah itu berlaku siri pertempuran yang panjang hingga tahun
1278.

Sekitar tahun 1281, ipar kepada Raja Malawika iaitu Raja Lamuttal telah mengubah nama kerajaan yang dipimpinnya dari Nagara Prathama kepada Lanka, dalam tahun ini juga Lamuttal telah menawan Nagara Sri Dharmaraja, Raja Malawika cuba mempertahankan wilayah tersebut namun gagal. Berikutan hal tersebut, Raja Malawika telah memindahkan pusat pentadbiran Kerajaan Malayur dari Kota Mandawijaya dalam negeri Kelantan pada hari ini ke wilayah Bedelung dalam provinsi Patthalung pada hari ini dan menamakan ibu kota baharu tersebut sempena nama kerajaannya juga iaitu Malayur.

Hal ini adalah sebagai strategi pertahanan untuk menghalang perkembangan kuasa Lamuttal ke arah selatan seterusnya menyekat perkembangan Sukhothai suatu masa nanti. Sewaktu perpindahan ibu kota ini, kerajaan Malayur hanyalah sebuah kerajaan kecil sahaja meliputi kawasan Segenting, Utara dan Timur Laut Semenanjung sahaja, justeru itu Raja Malawika telah berdamai dengan Raja Lamuttal dan mengiktiraf kedudukannya di Nagara Sri Dharmaraja (Ligor) dan kedaulatan Lanka.

1292,
Raja Sukhothai, Ram Khamhaeng mengerahkan angkatan tenteranya menyerang Lanka
sewaktu Raja Lamuttal menghantar puteranya, Wijaya bersama ribuan pengiring
untuk berkahwin dengan puteri raja Kartanegara. Raja Malawika pada masa ini
lebih terkenal dengan gelaran Raja Sang Tawal telah mengambil alih peranan
mempertahankan Lanka, baginda telah meminta bantuan dari kerajaan baik di dalam
semenanjung mahupun di luar semenanjung[2]
untuk membentuk suatu Lembaga Negara Persekutuan untuk melawan Sukhothai
(Abdullah Mohamed, 1980: Fasal 1, 12).

Lebih
dari 100,000 tentera persekutuan ini telah berkumpul di Kota Malayur
bersama-sama raja mereka, Majapahit dipimpin oleh Raden Wijaya, Raja
Jayasinhawarman dari Champa, Sultan Malik Muhammad (Al Malikul Zahir I) dari
Samudera dan Sultan Muhammad Shah (Al Malikul Nasr) dari Lamuri. Bersempena
peristiwa ini Sang Tawal telah mengahwinkan dua orang puterinya yang jelita dua
orang raja yang penting waktu itu, baginda telah mengahwinkan Puteri Candana
dengan Sultan Malik Muhammad, Raja Samudera manakala Puteri Tapasi atau Raden
Galuh Ajang dikahwinkan pula dengan Raja Jayasinhawarman, Raja Champa.

1294, Raja Sang Tawal bersama Gajah Benurung, panglima agung tenteranya telah memimpin angkatan tentera persekutuan tersebut melancarkan serangan balas untuk merebut kembali Lanka dari Sukhothai. Serangan ini berjaya mengalahkan tentera Sukhothai yang dipimpin oleh Ram Khamhaeng namun kemaraan angkatan tentera ini berhenti setakat Kota Grahi sahaja mungkin kerana mahu mengelakkan korban nyawa dikalangan kedua-dua pihak maka Raja Sang Tawal telah mengutuskan surat kepada Maharaja Takutar Khan di China supaya maharaja tersebut menggunakan kuasanya untuk melarang Raja Sukhothai dari melancarkan serangan balas.

Abdullah Mohamed (Nakula) menyatakan dalam Yuan Shih ada menyebut tentang siri peperangan yang lama antara Sien (Siam) dan Mali-yu-erh (Malayur) dan atas sebab tersebut, Majaraja Takutar telah menghantar surat kepada Raja Ram Khamhaeng dalam tahun 1295 melarang supaya tidak meneruskan peperangan tersebut.

Namun
lima tahun kemudian, Raja Ram Khamhaeng melancarkan semula serangan balas pada
1300 dan dibalas pula oleh Raja Sang Tawal pada 1305 seterusnya berlakulah siri
serangan balas sehingga tahun 1325 yang lebih memihak kepada pihak Sukhothai
yang dipimpin oleh pengganti Ram Khamhaeng iaitu Putera Leo Thai. Pihak
Sukhothai telah berjaya menawan Kota Malayur dan mengundurkan angkatan perang
Raja Sang Tawal ke Kota Mahligai dalam wilayah Langksauka sebelum mereka
menghentikan serangan tersebut berikutan berlaku rampasan kuasa oleh Phya
Uthong dalam kerajaan Sukhothai.

Kota Malayur musnah dan ia sehingga hari ini hanya dikenal melalui catatan Marco Polo, catatan empayar lama China dan petitih lisan masyarakat Alam Melayu, muncul kembali Negara Langkasuka. 1335, Raja Sang Tawal telah menyerahkan takhtanya pada puteranya Bharubhasa dengan dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Baginda tidak sama dengan ayahandanya, Raja Sang Tawal yang lebih berminat untuk bekerjasama, Raja Bharubhasa pula lebih berambisi iaitu baginda mahu menguasai kerajaan yang pernah bersekutu dengan Raja Sang Tawal dalam memerangi Raja Ram Khamhaeng dahulu seterusnya menjulang nama Langkasuka sebagai sebuah kerajaan besar.

Awalnya Raja Bharubhasa telah diminta oleh rakyat Kedah untuk menggulingkan rajanya, Maha Prita Daria yang terkenal dengan gelaran “Raja Bersiong”, baginda telah melaksanakan hasrat rakyat Kedah tersebut dan menggabungkan negeri tersebut dalam kerajaan Langkasuka. Seterusnya Raja Bharubhasa bersama-sama rakyat Kedah menggempur pula Gangganagara dan menguasai negeri tersebut serentak dengan itu baginda telah menukar nama Gangganagara kepada Perak.

Kemudian Raja Bharubhasa telah berpakat dengan Gajah Mada dari Majapahit yang dalam misi menyatukan seluruh Tanah Jawa[3], mereka memutuskan pihak Raja Bharubhasa menguasai bahagian barat merangkumi Champa, Kemboja, Sukhothai dan Samudera manakala pihak Gajah Mada menguasai seluruh bahagian kepulauan selain dari utara Sumatera. Kedua-dua pihak tersebut melancarkan misi penaklukan mereka pada tahun 1339, Dewi Durga yang turut dikenali sebagai Urduja juga turut serta dalam ekspedisi ini, awalnya mereka melancarkan serangan ke atas Champa.

Anak saudara Raja Bharubhasa, Raja Che Anouk yang menggantikan ayahandanya Raja Jayasinhawarman akur dengan serangan tersebut dan baginda di angkat kembali menjadi Raja Champa dengan Gajah Gila seorang bangsawan dari Kota Patani (Langkasuka) dilantik sebagai Gabenor secara tidak langsung sebagai wakil kepada Raja Bharubhasa di Champa. Seterusnya Raja Bharubhasa dengan bantuan Gajah Mada dan turut disertai tentera dari Champa menyerbu pula ke Kemboja, Ipdukan Raja pemerintah Kemboja akur dengan serangan tersebut, dan sebagai balasan Ipdukan Raja dilantik semula sebagai Raja Kemboja dengan Sapata Kulana seorang panglime perang Raja Bharubhasa dilantik sebagai gabenor sebagai wakil Langkasuka di Kemboja.

Gajah Mada telah berangkat pulang ke Majapahit meninggalkan belasan ribu tenteranya di Langkasuka dipercayai kepulangannya ke Majapahit adalah untuk melaporkan kepada Hayam Wuruk tentang kejayaan bersama sahabatnya Raja Bharubhasa dalam menyatukan Tanah Jawa (Nuraidil Zakaria, 2017: 115).

Seterusnya pada 1342, Raja Bharubhasa bersama panglima perangnya Gajah Benurung dan adindanya Dewi Durga memimpin angkatan laut menyerang Samudera. Al Malikul Zahir II juga anak saudaranya telah mengaku kalah, seterusnya angkatan perang ini menyerbu pula ke Lamuri, di sini Raja Bharubhasa telah melantik adindanya Dewi Durga menjadi  “Raja Perempuan”, dinyatakan Raja Bharubhasa telah menamakan semula nama kerajaan Lamuri kepada nama Negeri Aci[4]. Sekembalinya Raja Bharubhasa dan angkatan perangnya dari ekspedisi di Sumatera, baginda telah mengisytiharkan kawasan dan kerajaan yang dikuasainya sebagai “Empayar Chermin”.

Sekitar
tahun 1342, Champa telah bertindak keluar dari kekuasaan Langkasuka, melihatkan
tiada sebarang tindakan diambil oleh Raja Bharubhasa, Kemboja pula bertindak
membebaskan diri dari Langkasuka pada 1344 dan 1345 berlaku pemberontakan dalam
Samudera. Nyata empayar Chermin berada dalam keadaan yang lemah, kesempatan ini
diambil oleh Phya Uthong dari Siam yang berjaya menyingkirkan Sukhothai dengan
menggantikan kerajaan yang diasaskannya, Ayutthaya untuk menekan Raja
Bharubhasa yang berpusat di Kota Mahligai. Pada tahun 1345, Phya Uthong
menghantar Chao Phya Kalahom ke istana di Kota Mahligai juga pusat kepada
Empayar Chermin memberi kata dua kepada Raja Bharubhasa “Tunduk atau Perang!”

Sewaktu
kedatangan Chao Phya Kalahom ke Istana tersebut, Gajah Mada juga turut berada
di istana tersebut bagi merangka strategi menakluk semula kerajaan-kerajaan
yang mengisytiharkan diri bebas dari Chermin. Berikutan kelemahan yang nyata
dalam empayar Chermin, Gajah Mada menasihati Raja Bharubhasa agar tunduk buat
sementara terhadap kekuasaan Siam tersebut, akibatnya pihak Siam memaksa Raja
Bharubhasa dan rakyatnya yang tinggal dalam Kota Mahligai berpindah berikutan
mereka mahu menjadikan Langkasuka sebagai pusat tentera Ayutthaya di kawasan
tersebut.

Kesimpulan.

Penelitian
dibuat terhadap tajuk bab ini ternyata benar bahawa Marco Polo dan Ibnu Batutah
pernah melawat kerajaan yang dipimpin oleh leluhur para raja Kelantan. Namun
begitu, terdapat juga ahli sejarah yang menafikan ketetapan lokasi yang
disinggah baik Marco Polo mahupun Ibnu Batutah, sebagai contoh Paul Wheatley
dalam buku The Golden Khersonese (2012:159) mendakwa Lochac terletak sekitar
Borneo manakala Syed Nurul Akla Syed Abdullah dalam Rihla Ibnu Batutah
(terjemahan Bahasa Melayu) menyatakan bahawa para pengkaji menyatakan pelbagai
pendapat tentang kedudukan Tawalisi dengan Yule memilih Kepulauan Sulu sebagai
lokasi kerajaan ini namun beliau sendiri tidak pasti dengan kedudukan tersebut (2012:288).
Atas soal tersebut, pengkajian yang lebih mendalam harus dibuat berkenaan
persinggahan Marco Polo dan Ibnu Batutah, justeru sebahagian besar maklumat
dalam tulisan ini merupakan kisah dari riwayat tradisi masyarakat Kelantan.

RUJUKAN

Syed
Nurul Akla Syed Abdullah, et al. Pengembaraan Ibn
Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia
. MPH Group Publishing, 2012.

Nuraidil
Zakaria, Tanah Kala Sejarah Negeri
Kelantan.
Geroda Merah Press & Nuraidil Publishing House, 2019.

Ronald
Latham, The Travels of Marco Polo, Penguin
Books, 1958 (Cetakan 1980).

Wordsworth
Classic, The Travels of Marco Polo, Wordsworth
Edition Limited, 1997.

Abdullah
Mohamed (Nakula), Sejarah Kelantan dalam
Beberapa Lintasan (Manuskrip),
Kementerian Budaya Belia dan Sukan, 1981.

Abdulah
Mohamed (Nakula), Zaman Awal Kelantan:
Negeri Tersembunyi dalam Sejarah Malaysia,
Adabi 78

Abdul Rahman al-Ahmadi, “Ibnu Batutah Pernah
Singgah di Kuala Krai, Kelantan,” dlm Nik Safiah Karim & Wan Abdul Kadir
Yusuf, (ed.) Kelantan dalam Perspektif
Sosio-Budaya: Satu Kumpulan Esei.
Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Malaya, 1985.

Internet

“Marco
Polo Biography.” Encyclopedia of World
Biography
, 14
Mar. 2019, www.notablebiographies.com/Pe-Pu/Polo-Marco.html.

“Ibn
Battuta.” Ibn Battuta Facts
& Biography | Famous Explorers
, 14
Mar. 2019, famous-explorers.org/ibn-battuta/.


[1]
Waktu ini, Messer
Nicolò, Messer Marco Polo dan Messer Maffeo bimbang dengan keadaan di China
yang sedang dilanda kekacauan serta Kublai Khan yang makin tua dengan kuasanya
semakin merosot, justeru permintaan Kublai Khan mengiringi puterinya ke Parsi
merupakan tiket pulang mereka ke Venice.

[2]
Sang Tawal telah
meminta bantuan ketenteraan dari Kataha (Kedah), Gangganagara (Perak), Pahang,
Kelangkiu (Johor) dan Tumasik dari dalam Semenanjung dan dari luar baginda
telah memohon bantuan daripada Champa, Samudera, Lamuri dan Majapahit – Ibid
1980.

[3]
Rujuk Sumpah Palapa
oleh Gajah Mada dalam Nagarakertagama.

[4]
Abdullah Mohamed
(Nakula) menyatakan “Aci” bermaksud “adinda perempuan”, sewaktu pertabalan Dewi
Durga sebagai Raja Perempan di Lamuri, Raja Bharubhasa bertitah “Inilah aci ku
dan negeri ini adalah negerinya”. Semenjak itu timbul nama “Negeri Aci” sebagai
ganti “Negeri Lamuri” dan kemudiannya ia menjadi “Negeri [email protected]”.

The post Benarkah Marco Polo Dan Ibnu Batutah Melawat Kelantan? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots