Bushido – Kod Kepahlawanan Samurai

Bagi
mana-mana tamadun dunia, kelas pahlawan dianggap antara kelompok yang dihormati
dalam masyarakat. Ini kerana kelompok ini dianggap pemberani yang sedia
berperang bagi meluaskan pengaruh kerajaan mereka atau sebagai pemelihara
keselamatan dalam negeri. Di Jepun, samurai merupakan senjata utama
pembesar-pembesar ketika itu dan dianggap mempunyai kualiti sama seperti
kesatria, tentera elit yang berkhidmat untuk raja-raja Eropah pada Zaman
Pertengahan. Kualiti ini berasaskan kepada satu kod etika dipanggil Bushido.

Bushido
ialah satu kod etika kepahlawanan yang diikuti oleh samurai Jepun dan
pahlawan-pahlawan sebelumnya pada zaman feudal Jepun dan di Asia Tengah serta
Asia Timur. Prinsip bushido menekankan kehormatan, keberanian, kesederhanaan,
kemahiran seni mempertahankan diri dan kesetiaan kepada tuan mereka
(pembesar/daimyo). Kod etika ini sama seperti kod kehormatan yang diamalkan
kesatria semasa Zaman Pertengahan dan ia diromantiskan banyak kisah termasuk kisah
47 Ronin. Tetapi dari segi struktur dan kepelbagaian, ia berbeza mengikut
lokasi mana ia diamalkan di Jepun.

Bushido
bukanlah satu sistem keagamaan tetapi lebih kepada kod etika. Kebanyakan
samurai percaya mereka dikecualikan dari mendapat apa-apa di alam barzakh
mengikut peraturan Buddha kerana mereka dilatih untuk berlawan dan membunuh.
Tetapi pada masa sama, mereka juga perlu mengekalkan ciri kehormatan dan
kesetiaan untuk mendorong mereka berlawan di sebalik kesedaran bahawa mereka
akan ditempatkan dalam neraka versi Buddha selepas mati. Pahlawan samurai ideal
juga seharusnya tidak mempunyai rasa takut terhadap kematian. Hanya ketakutan
yang menjatuhkan maruah dan kesetiaan terhadap daimyo yang menjadi sumber
motivasi mereka.

Sekiranya
samurai merasakan dia telah kehilangan maruah atau berhadapan prospek
sedemikian, maruahnya boleh ditebus dengan melakukan perbuatan seppuku (menikam
dan mengelar perut). Bagi kebanyakan agama termasuk agama Islam, perbuatan
sebegini ditegah sekeras-kerasnya kerana dianggap melakukan kecelakaan terhadap
diri sendiri. Tetapi menurut kod bushido, ia dianggap tanda keberanian paling
tinggi kerana dengan seppuku, dia bukan saja dapat menebus semula
kehormatannya. Bahkan, samurai berkenaan mendapat penghormatan kerana bersedia
berhadapan dengan kematian dengan tenang. Justeru tidak hairanlah bila
berlakunya pengepungan atau peperangan, anggota keluarga samurai termasuk
wanita dan kanak-kanak perlu melakukan perkara sama dengan tenang.

PBAKL 2019

Sejarah kod Bushido

Justeru,
bagaimana kod kepahlawanan ini wujud? Seawal abad kelapan Masihi, pakar-pakar
ketenteraan mula menghasilkan buku berkenaan penggunaan dan penghasilan bilah
pedang yang sempurna. Selain itu, mereka juga menghasilkan karya-karya sastera
terutama sajak berkenaan sikap dan ciri seorang pahlawan yang ideal seperti
berani, berpendidikan dan setia. Dari abad ke-13 hingga abad ke-16,
kesusasteraan Jepun mula meraikan keberanian pahlawan yang semberono, kasih
sayang dan kesetiaan terhadap keluarga dan daimyo serta peningkatan usaha
intelektual oleh golongan samurai.

Karya-karya
ini mula terhasil pada satu tempoh yang menyaksikan pelbagai perang termasuk
perang saudara dikenali sebagai Perang Genpei yang berlaku dari 1180 hingga
1185. Perang Genpei menyaksikan pertembungan puak Minamoto dan Taira tercetus
berikutan tindakan pihak Taira merampas kuasa dan merampas semua jawatan dalam
istana dengan menghalau keluar anggota puak lain. Keadaan ini mencetuskan
perasaan tidak puas hati puak-puak lain termasuk Minamoto yang membawa kepada
kemenangan puak-puak ini dalam pertempuran laut Dan-no-ura pada tahun 1185.
Kemenangan puak-puak diketuai puak Minamoto menjadi batu asas kepada permulaan
kuasa keshogunan di Kamakura dan kuasa maharaja dikurangkan sehingga ia
dipulihkan semasa era Pemulihan Meiji.

Fasa
terakhir pembangunan kod bushido berlaku semasa era Keshogunan Tokugawa dari
1600 hingga 1868. Tempoh ini dianggap permulaan tempoh kaji diri dan
pembangunan teori bagi kelas pahlawan samurai. Ini kerana pada zaman yang
dimulakan oleh Ieyasu Tokugawa ini, ia dianggap satu tempoh yang aman di mana
semua daimyo menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Keshogunan
Tokugawa. Semasa tempoh ini, mereka mempraktikkan seni mempertahankan diri dan
mengkaji karya-karya perang dari tempoh-tempoh sebelumnya. Bagaimanapun, mereka
tiada peluang mempraktikkannya dalam tempoh berkenaan sebelum tercetusnya
Perang Boshin dan Pemulihan Meiji.

Tetapi
wujud kontroversi berkenaan asal-usul kod bushido itu sendiri. Sesetengah
sejarawan moden menggelar ia satu ciptaan moden yang wujud semasa era Meiji dan
Showa. Sementara cendekiawan-cendekiawan yang mengkaji dua tempoh itu menyuruh
para pembaca membaca teks-teks lama yang wujud dari Zaman Pertengahan terutama
semasa era Kamakura. Pandangan kedua-dua kumpulan ini ada benarnya dari
beberapa sudut. Istilah bushido sendiri hanya wujud semasa era Meiji dan
ironinya, pada masa di mana samurai tidak lagi wujud. Istilah bushido juga
tidak wujud dalam teks-teks lama. Tetapi kebanyakan teks ini juga menyentuh
semua aspek bushido yang kita ketahui seperti keberanian dan kehormatan di mana
ada yang sudah wujud dari era Tokugawa dan Kamakura.

Prinsip Bushido

1.
Keadilan iaitu melakukan perkara yang betul dan berusaha mengekalkan nilai
integriti yang dianggap teras utama kekuatan moral.

2.
Keberanian iaitu tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk serta tahu
bertindak.

3.
Belas kasihan iaitu keupayaan memanifestasikan kasih dan simpati melalui
kesabaran serta melihat dunia dari persepsi orang lain.

4.
Menghormati iaitu mengambil kira pengalaman dan perasaan orang lain serta
bersikap budi bahasa semasa bekerjasama.

5.
Berpegang kepada integriti iaitu bersikap jujur dan ikhlas.

6.
Kehormatan iaitu mengakui tanggungjawab moral dan melaksanakannya sebaik
mungkin.

7.
Setia iaitu bersikap jujur terhadap diri sendiri, menunjukkan taat setia
terhadap orang lain dan tidak bersikap curang walaupun semasa susah.

8.
Kawalan kendiri iaitu mematuhi kod itu sepanjang masa sama ada semasa
berseorangan atau bersama orang lain.

Bushido moden

Selepas
era Pemulihan Meiji, pahlawan-pahlawan samurai dihapuskan dan ia digantikan
oleh tentera-tentera moden. Tetapi elemen bushido terus bertahan di mana ia
digantikan dengan falsafah bushido diraja ke atas rakyat Jepun. Falsafah ini
menekankan semangat ketenteraan Jepun, kehormatan, pengorbanan dan kesetiaan
yang tidak berbelah-bahagi terhadap Jepun dan maharaja. Falsafah ini menjadi
punca penentangan sengit yang dihadapi pihak Bersekutu dalam kempen Pasifik
mereka semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Tetapi
selepas satu persatu wilayah jajahannya jatuh dan Jepun terpaksa mengaku kalah
selepas insiden bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, falsafah ini diabaikan
begitu saja. Bagi kelompok pelampau, sesetengah daripada mereka masih
menggunakan terma itu. Tetapi tidak bagi warga Jepun. Ini kerana jika mereka
mendengar perkataan bushido, ianya dikaitkan dengan pelbagai jenayah perang yang
dilakukan negara Matahari Terbit itu ke atas populasi Asia dari China hinggalah
ke pulau-pulau di Pasifik. Tetapi itu tidak menghalang ahli-ahli politik
konservatif dari menggunakan terma tersebut walaupun sedar ia boleh menimbulkan
kemarahan banyak negara yang masih terkesan dengan jenayah perang dan
kemanusiaan Jepun semasa WWII.

Pada
tahun 1970-an, nilai bushido kembali meniti di bibir komuniti perniagaan Jepun
dan menjadi sebahagian dari resepi kejayaan firma-firma ini pada tahun 1980-an.
Antara nilai utama bushido perniagaan ialah rajin, setia kepada syarikat,
memberi tumpuan kepada kualiti dan ketepatan dalam penghasilan produk atau
tawaran perkhidmatan. Tetapi falsafah ini juga dipergunakan pengurusan syarikat
yang tamak untuk memaksa pekerja mereka bekerja lebih masa secara melampau
sehingga ada yang mati di tempat kerja atau membunuh diri. Fenomena kematian
ini dikenali sebagai karoshi dan mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam
kalangan pekerja dan keluarga waris yang terkesan.

Namun,
itu tidak menghalang firma-firma asing menggunakan falsafah bushido untuk
diaplikasikan dalam keputusan perniagaan seperti mana karya The Art of War
karangan Sun Tzu. Tetapi apabila Jepun menghadapi masalah ekonomi termasuk
deflasi pada tahun 1990-an, firma-firma asing mula mengabaikan falsafah bushido
ini. Bagi firma-firma Jepun pula, falsafah ini diadaptasi kepada situasi
sebegini yang merujuk kepada keberanian dan ketabahan dalam berhadapan situasi
sukar.

Dalam
bidang sukan pula, istilah ini tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Jika
tidak, mengapa pasukan bola sepak kebangsaan Jepun diberi jolokan ‘Samurai
Biru’ (Blue Samurai) dengan jurulatih pasukan besbol memanggil ahli pasukan
mereka samurai. Dan dalam sidang media mereka, istilah-istilah yang ada kaitan
dengan bushido disebut seperti permainan yang adil, semangat melawan, kerjasama
dan kegigihan. Dalam sukan seni mempertahankan diri pula, pengamalnya melihat sukan
mereka sebahagian dari rukun utama bushido. Sementara atlet seni mempertahankan
diri asing pula melihat bushido sebahagian daripada nilai kebudayaan Jepun.

SUMBER

1.
Invaluable.com. (2017). The History of the Bushido Code. https://www.invaluable.com/blog/history-of-the-bushido-code/

2. Szczepanski, Kallie. (2019). Bushido: The Ancient Code of the Samurai Warrior. ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/what-is-bushido-195302

3. Szczepanski, Kallie. (2018). The Role of Bushido in Modern Japan.
ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/role-of-bushido-in-modern-japan-195569

The post Bushido – Kod Kepahlawanan Samurai appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots