Polis Yakin Acap Tidak Diserang Haiwan Buas

Gopeng : Polis Perak percaya peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lepas, Mohammad Ashraf Hassan atau dikenali dengan panggilan Acap tidak diserang bintang liar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, SAC Yahya Abd Rahman berkata keyakinan tersebut dibuat berdasarkan kepada tiada sebarang kesan dan petunjuk ke arah itu setakat ini.

“Kita ada kaji kalau dari segi haiwan buas, setakat ini tak ada rekod walaupun kita tengok ini kawasan hutan tapi kita yakin kawasan ini selamat tidak ada binatang-binatang liar yang menjadi ancaman.

“Rekod-rekod lampau pun tak ada jika ada (haiwan liar) kita pasti jumpa (Mohammad Ashraf) dengan kekuatan yang ramai, setakat ini tak ada,” katanya kepada sumber selepas selesai operasi mencari Mohammad Ashraf di tapak perkhemahan Gua Tempurung di sini hari ini.

Seramai 170 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman terlibat dalam Operasi Khas Op Kesan bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang.

Pada operasi yang diketuai Yahya itu, dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman turut digunakan.

Mengulas mengenai operasi tersebut, Yahya berkata pihaknya melakukan pencarian di sekitar kawasan paya, lombong dan anak sungai namun tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini.

“Bagaimanapun, kami tidak kecewa kerana ini adalah sebahagian daripada komitmen JSJ untuk berusaha membantu pasukan penyelamat lain yang telah bertungkus-lumus melakukan operasi pencarian mangsa,” katanya.

Yahya berkata pihaknya masih melakukan siasatan di bawah kes orang hilang dan hasil siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang unsur khianat dikesan dalam kejadian berkenaan.

“Kes ini berlainan dengan kejadian orang hilang yang disiasat polis sebelum ini yang biasanya mempunyai kaitan dengan kes melarikan diri seperti masalah keluarga,” katanya.

Tambahnya, pihak polis akan mengkaji faktor geografi laluan trek dan kawasan persekitaran selain maklumat-maklumat berkaitan yang boleh dijadikan petunjuk baharu kehilangan mangsa yang memasuki hari ke-22 hari ini.

“Kita akan mengumpul lebih ramai lagi kekuatan anggota penyelamat serta kita akan pergi ke kawasan pencarian yang lain pula selepas ini mengikut keperluan semasa,” katanya.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli