Dari Dapur Firaun Dan Masyarakat Mesir Purba

Ada apa dengan dapur pada zaman Mesir purba?
Pernahkah anda terfikir bagaimanakah rupa keadaan dapur yang digunakan pada
zaman Mesir purba? Dan bagaimana pula dengan makanan yang dihasilkan oleh
masyarakat Mesir purba pada waktu itu? Marilah bersama-sama dengan saya untuk
menyelusuri kembali rahsia di sebalik dapur masyarakat Mesir purba dan
menyingkap corak pemakanan mereka pada zaman tersebut.

Struktur dapur Mesir purba

Masyarakat Mesir purba hidup di dalam rumah-rumah yang dibina daripada bata (mudbrick), di mana struktur setiap satu rumah berkenaan berbeza-beza mengikut status sosial mereka. Antara jenis rumah yang ditemui pada waktu itu adalah rumah dengan sembilan bilik dengan ruang tamu pada bahagian tengah dan bilik penyimpanan yang khusus untuk menyimpan bahan makanan.

PBAKL 2019

Selain itu, terdapat juga rumah-rumah khusus yang dibina untuk buruh, pekerja, para artis dan tukang, yang mana kebanyakan rumah tersebut terdiri daripada ruangan resepsi (reception), bilik menunggu, tangga menuju ke bumbung, bilik tidur dan ruangan dapur. Malah, ada sesetengah daripada rumah tersebut turut mempunyai bilik di bawah tanah bagi tujuan penyimpanan makanan.

Bahagian dapur bagi rumah masyarakat Mesir
purba ini kebiasaannya terletak pada bahagian belakang rumah di mana bahagian
bumbungnya ditutup dengan menggunakan ranting pokok atau jerami bagi melindungi
daripada panas matahari dan memudahkan pengaliran asap memasak. Bagi rumah yang
berbentuk villa, ruangan dapurnya adalah secara sepenuhnya berada di bahagian
luar rumah. Bilik simpanan gandum dan bijirin juga terletak hampir dengan
kawasan dapur, yang mana kadangkala bilik ini berada pada bahagian bumbung
dengan menaiki tangga.

Struktur asas bagi dapur Mesir purba ini
biasanya mempunyai sebuah dapur atau pembakar (oven) yang diperbuat daripada
tanah liat dan dua jenis batu untuk mengisar bijirin. Dua batu ini dinamakan rehy
iaitu dua batu yang berat yang diletakkan di atas satu sama lain, yang mana
batu yang paling atas mempunyai lubang pada bahagian tengahnya berfungsi untuk
mengisar bijirin bagi menghasilkan tepung untuk roti. Pada suatu sudut yang
lain di ruang dapur ini pula terdapat suatu besen atau bekas khas untuk menguli
tepung doh. Ruangan dapur Mesir purba ini juga mempunyai periuk dan kuali untuk
memasak serta bekas (tempayan) simpanan air.  

Peralatan memasak di dapur Mesir purba

Apa yang menarik mengenai masyarakat Mesir
purba ini ialah mereka menggunakan tanah yang subur yang didapati pada tebing
sungai Nil bagi menghasilkan barangan tembikar untuk keperluan asas mereka.
Malah, yang paling utama adalah pembuatan tempayan atau tong daripada tanah
liat yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan cecair dan bahan makanan. Pelbagai
jenis peralatan memasak dihasilkan sendiri, antaranya ialah periuk dengan dua
pemegang untuk memasak, pinggan mangkuk, kuali, bakul untuk mengisi makanan
serta pisau.

Pelbagai jenis tempayan pada zaman Mesir purba

Berdasarkan catatan sejarah dan tinggalan
yang ditemui, didapati terdapat banyak perkakas tembikar yang dihasilkan oleh
masyarakat pada waktu itu, dengan beberapa jenis bekas yang digunakan bagi
pelbagai fungsi, malah terdapat juga gelas wain, cawan, goblet, jag berbeza
untuk susu, bir dan wain serta bekas-bekas untuk simpanan bahan kosmetik dan
ubat-ubatan. Bentuk-bentuk peralatan dan perkakasan yang dihasilkan juga sangat
unik dan bentuk yang biasa ditemui ialah panjang dan tinggi.

Makanan dan minuman zaman Mesir purba

Sumber makanan pada zaman Mesir ini adalah
pelbagai dan masyarakat pada waktu itu begitu bijak dalam memanfaatkan
berbagai-bagai jenis ikan, sayur-sayuran, daging dan buah-buahan bagi menjadi
makanan harian mereka. Diet ruji bagi kebanyakan orang Mesir purba tidak kira
sama ada mereka daripada golongan kaya atau miskin ialah roti, yang diperbuat
daripada pelbagai jenis bijirin. Manakala bir pula menjadi asas bagi minuman
harian mereka.  

Tepung yang dihasilkan daripada pelbagai
jenis bijirin ini akan dicampurkan dengan yis, garam, rempah, dan kadangkala
bersama telur dan mentega bagi menghasilkan roti. Tepung ini dihasilkan untuk
kegunaan harian dan masyarakat Mesir purba tidak menyimpannya. Roti yang
dihasilkan ini boleh mengandungi sayur-sayuran atau buah-buahan seperti kurma
dan madu untuk memaniskannya. Orang Mesir purba menggunakan istilah ta
bagi roti asas yang mereka hasilkan dan ia biasanya dibuat di rumah-rumah
persendirian. Kebanyakan roti pada zaman Mesir purba ini berbentuk nipis
(seperti lempeng nipis) yang pada hari ini dipanggil sebagai roqaq atau kesra
roheifa
. Beberapa jenis roti yang dihasilkan pada zaman Mesir purba ialah:

  • t-hedj, iaitu roti putih berbentuk kon yang biasanya dibuat untuk upacara
    penyembahan atau pengorbanan
  • roti berbentuk separa
    bulat
  • roti berbentuk silinder
    yang menyerupai kek atau Swiss roll
  • roti lotus yang
    diperbuat daripada lotus

Kurma merupakan buah kebiasaan masyarakat
Mesir purba dan buah-buahan lain yang ditemui pada waktu itu ialah anggur,
delima, plum dan buah tin. Orang Mesir purba juga mahir dalam menghasilkan
produk tenusu seperti keju dan mentega, malah mereka turut berkebolehan dalam
menghasilkan ekstrak daripada minyak seperti bijan dan castor.

Makanan dan status sosial Mesir purba

Dalam hierarki masyarakat Mesir purba, jenis
makanan yang diambil oleh setiap individu boleh menunjukkan status sosial
mereka. Dalam hierarki paling bawah, iaitu golongan yang paling miskin, makanan
ruji yang diambil oleh mereka ialah roti dan bir, serta beberapa jenis
sayur-sayuran biasa yang mudah untuk mereka temui. Sekiranya mereka mengambil
daging, itu biasanya kerana mereka mempunyai sebuah kebun haiwan kecil dan
bukannya perladangan yang besar seperti golongan kaya.

Bagi golongan pertengahan atau dipanggil
sebagai kelas pekerja yang terdiri daripada pekerja pembinaan dan buruh,
makanan yang diambil oleh mereka adalah berbeza mengikut jenis pekerjaan yang
mereka jalankan. Ia boleh terdiri daripada ikan dan daging, beberapa jenis
sayuran, buah-buahan serta makanan asas iaitu roti dan bir. Bagi golongan yang
berada pada hierarki paling atas, iaitu golongan kaya, mereka mempunyai banyak
pilihan makanan yang boleh diambil, meliputi pelbagai jenis ikan, daging,
sayur-sayuran, buah-buahan, pelbagai jenis roti serta pai. Malah, minuman
pilihan bagi golongan atasan ini ialah wain. Wain ini biasanya diperbuat
daripada anggur, malah ada juga yang menghasilkannya daripada buah delima dan
buah tin.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, masyarakat Mesir purba
digambarkan sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai sistem dan struktur dapur
yang lengkap dengan pelbagai peralatan yang digunakan bagi tujuan memasak.
Makanan ruji mereka ialah roti, manakala minuman asas mereka ialah bir. Jenis
makanan yang diambil adalah berbeza mengikut kelas sosial yang dimiliki dan
setiap golongan mempunyai cara tersendiri dalam menikmati makanan mereka.

Rujukan

Civitello, L. (2008). Cuisine
and Culture: A History of Food and People
(Second Edi). New Jersey: John
Wiley & Sons, Inc.

Hassan-Wassef, H.
(2004). Food habits of the Egyptians: Newly emerging trends. Eastern
Mediterranean Health Journal
, 10(6), 1–18.

Magda, M., & Amr,
H. (2010). The Pharaoh’s Kitchen: Recipes from Ancient Egypt’s Enduring Food
Traditions
(1st Edition). Cairo, Egypt: The American University in Cairo
Press.

The post Dari Dapur Firaun Dan Masyarakat Mesir Purba appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots