‘Hancur hati bila terjumpa mesej ini’ – Isteri hidap kanser tahap 4, suami curang dengan adik ipar

Sayu membaca luahan si isteri yang menghidap kanser payudara tahap empat ini. Tergamaknya suami, tergamak juga adik perempuan sendiri. Si isteri tahu masanya hampir tiba, paling lama dia mampu bertahan pun pada raya tahun ini. Namun dia dalam dilema, hendak disuarakan atau lebih baik dia berdiam diri demi keluarga dan maruah suami? 
Semoga si isteri dipermudahkan segala urusan dan diberi kesembuhan. 
HIDE profile saya admin. Saya isteri berumur 44 tahun, ada tiga orang anak. Bulan Ogos 2018, saya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat. Kehidupan saya semenjak itu keluar masuk hospital saja. Payudara sebelah kanan telahpun dibuang. Kemoterapi sudah 16 kitaran. 
Saya baru keluar dari hospital. Sekarang kanser sudah merebak sampai ke paru-paru. Doktor bagi balik dengan oksigen dan ubat tahan sakit. 
Saya tahu masa saya dah tak lama. Sepanjang duduk dalam wad, saya dah nampak dah, biasanya kanser tahap saya ini paling kuat pun boleh bertahan sampai raya ini saja. Saya dan keluarga pun sudah menandatangani perjanjian untuk tidak selamatkan saya (tak buat CPR atau masukkan tiub dalam mulut saya) jika keadaan saya semakin tenat, dengan doktor hospital. 
Sejak saya keluar dari hospital, saya perasan yang suami selalu hilang di waktu malam. Saya tidak tahu sudah berapa lama dia menjadi begini. Mungkin semenjak dari saya duduk di hospital lagi sebab waktu itu yang jaga saya di wad adalah anak perempuan kami. 
Selepas dua minggu di rumah dan perhatikan perangai dia, saya bercakap pada dia kalau dia mahu berkahwin lain, saya benarkan. Cuma jangan berkahwin sewaktu saya masih hidup saja dan saya nak tahu juga siapa perempuan yang dia kacau itu. 
Dia tidak marah, tidak juga menafikan apa-apa. Mungkin dia melihat keadaan saya yang sudah uzur, dia kasihan dan tidak mahu bertengkar dengan saya. 
Dua hari lepas, saya dapat curi sekejap telefon dia, sewaktu dia masuk ke tandas. Betapa hancurnya hati saya apabila terjumpa mesej ini. Saya cuba menghubungi nombor tersebut, tetapi tidak dijawab. Saya guna kad sim anak saya untuk menghubungi nombor itu dan akhirnya panggilan dijawab. 
Alangkah terkejutnya saya apabila mendengar suara yang menjawab itu adalah suara adik perempuan saya sendiri. Yang mengesahkan lagi bahawa itu adalah adik saya apabila saya terdengar suara mak saya berleter di belakangnya. Saya terus matikan panggilan itu. Saya terkedu, tak boleh cakap apa-apa.
Adik saya janda muda, baru berusia 28 tahun. Model tudung lagi, mestilah orang berkenan. Tetapi kenapa yang berkenan itu mesti suami saya?
Kalau saya serang suami dengan adik, maruah keluarga saya hancur, maruah suami saya depan anak-anak pun habis hancur. Saya mungkin sudah tidak lama di dunia ini. Kalau saya diam, semua orang selamat. Anak-anak saya tidak akan tahu perangai ayah mereka macam mana. 
Saya rasa seperti nak meminta pada Tuhan untuk tarik nyawa saya sekarang! Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa, saya sudah bersedia untuk pergi. 
Saya nak tanya, kalau tuan puan berada di tempat saya, apa yang tuan puan akan lakukan? 
Sumber: Facebook Kisah Rumah Tangga

Sumber : TheReporter