Tenggelamnya Kapal Titanic

Siapa dapat melupakan filem arahan James Cameron, Titanic yang ditayangkan di Malaysia pada 18 Disember 1997 yang telah menyentuh hati jutaan penontonnya di seluruh dunia.?

Pastinya detik menusuk kalbu perpisahan watak Rose DeWitt
Bukater lakonan Kate Winslet dengan Jack Dawson lakonan Leonardo DiCaprio di
penghujung filem berkenaan akan bermain diingatan setiap seorang penonton yang
menyaksikan filem berkenaan.

Sehinggakan, ada di antara penonton berpendapat, watak Rose dan Jack berkenaan memang benar wujud akibat lakonan berkesan dua pelakon muda pada ketika itu. Hakikatnya, watak berkenaan telah dicampur aduk dengan penumpang sebenar kapal yang digelar oleh arkitek pembinaan kapal berkenaan, Thomas Andrews sebagai “unsinkable ship”.

RMS Titanic telah dibina di limbungan Harland and
Wolff di Belfast, Ireland dan dimiliki oleh White Star Line yang berpengkalan
di Southampton, England. Sebenarnya, kapal ini dibina bagi menyaingi Lusitania
dan Mauretania yang dimiliki oleh pesaing White Star Line, Cunard Line.

Pada asalnya, kapal ini dinamakan Giganic setelah
mengambil kira saiznya pada ketika itu. Namun nama ini tidak digemari oleh
Pengarah Urusan White Star Line, J. Bruce Ismay yang merasakan nama berkenaan
tidak mempunyai nilai komersial yang baik. Atas persetujuan bersama Thomas
Andrews, nama Titanic dipilih setelah mengambil kira saiz dan sejarah Titan
yang dianggap sebagai mitos terhebat masyarakat barat.

PBAKL 2019

Untuk rujukan, kapal berkenaan mempunyai keberatan
52,310 tan dengan 269 meter panjang dan mempunyai kelebaran seluas 28 meter.
Tinggi kapal ini dari paras air ke geladak adalah 18 meter dan dilengkapi 4
serombong pegudaraan. Menurut laporan media pada ketika itu, hanya 3 serombong
pengudaraan berkenaan yang berfungsi manakala serobong keempat pula sengaja
diadakan bagi menampakkan “kegagahan” kapal berkenaan berbanding pesaingnya.

Dibiayai oleh J. P. Morgan menerusi syarikatnya,
International Mercantile Marine Co., kapal ini sebenarnya adalah satu projek
mega syarikat berkenaan bagi menampakkan kemampuan syarikat berkenaan melabur
dalam industri perkapalan.

RMS Titanic digerakkan dua enjin bersetentangan empat
silinder, tiga pembesaran, enjin wap tebalik dan satu turbin Parsons bertekanan
rendah yang menggerakan tiga kipas. Ianya turut dilengkapi dengan 29 dandang
yang dipanaskan oleh 159 pendiang arang batu dan mampu menghasilkan kelajuan
sehingga 23 knot atau 43kilometer sejam.

Apa yang menariknya, RMS Titanic mempunyai kolam renang, gimnasium, mandian Turki, perpustakaan dan gelanggang squash. Bagi bilik umum kelas pertama pula, ia dihiasi dengan panel kayu yang luas, perabot mahal dan dihiasi indah seperti menginap di sebuah hotel mewah pada ketika itu.

Bagi kelas kedua dan ketiga pula, tidak banyak yang
boleh dibanggakan dengan kelas ketiga hanya dilengkapi dengan sebuah meja dan
dua buah katil dua tingkat di setiap biliknya. Untuk membolehkan penumpang
kelas kedua dan ketiga naik ke dek utama, RMS Titanic dilengkapi dengan 3 buah
lif dan lebih 30 buah laluan bertangga yang boleh dilalui pada bila-bila masa.

Pada 10 April 1912, RMS Titanic telah memulakan pelayaran menuju Pelabuhan New York, Amerika Syarikat dari Pelabuhan Southampton, England. Pelayaran sulung ini diketuai oleh Kapten Edward J. Smith yang dikatakan telah mengumumkan persaraannya dari melakukan sebarang pelayaran, sebulan sebelum RMS Titanic memulakan pelayaran.

Namun, hasrat Kapten Smith ini tertangguh setelah J.
Bruce Ismay sendiri datang memujuk untuk menangguhkan persaraannya. Alasan yang
diberikan Ismay adalah, tiada seorang pun kapten yang ada di bumi England yang
mampu mengendalikan kapal sebesar ini dan mempunyai pengalaman melakukan
pelayaran ke New York pada ketika itu.

Satu perkara yang tidak didedahkan di dalam filem
Titanic dan jarang diperkatakan adalah, sebelum RMS Titanic melakukan pelayaran
terus ke New York, kapal berkenaan singgah di Cherbourg, Perancis bagi
mengambil dan menurunkan penumpang.

Kapal ini sekali lagi berhenti di Queenstown, Ireland sebelum meneruskan pelayaran bersama-sama 2,223 orang penumpang. Melihat kepada angka penumpang yang berada di dalam RMS Titanic ini, ia sama sekali telah menyangkal sebarang dakwaan kononnya kapal berkenaan membawa lebihan penumpang.

Ini kerana, kapal berkenaan mampu memuatkan 2,435
orang penumpang dan angka yang berada di dalam kapal berkenaan lebih rendah
dari sasaran awal White Star Line yang menjangkakan, kapal berkenaan mampu
membawa jumlah penuh pada hari pelayaran pertama.

Dalam pelayaran sulung ini, antara penumpang tersohor
yang turut menaiki kapal berkenaan adalah jutawan John Jacob Astor dan
isterinya Madeleine Force Astor, pemilik kilang yang berjaya, Benjamin
Guggenheim, Pemilik Macy, Isador Straus dan isteri, jutawan Denver, Margaret
“Molly” Brown, Sir Cosmo Duff-Gordon dan isteri Lady Lucille Duff-Gordon,
wartawan hebat, William Thomas Stead dan Countess of Roth merangkap pembantu
Presiden Amerika Syarikat, Archibald Butt.

Turut sama berada di dalam kapal berkenaan adalah
pengarah Broadway, Henry dan Irene Harris, pelakon wanita bisu, Dorothy Gibson,
Pengarah White Star Line, J. Bruce Ismay dan arkitek pembinaan RMS Titanic,
Thomas Andrews. (Maaf, tiada nama Rose DeWitt Bukater dalam senarai penumpang
elit kapal berkenaan).

Selama 4 hari, kapal berkenaan langsung tidak
mempunyai sebarang masalah semasa melakukan pelayaran. Semuanya berada dalam
keadaan baik dan cukup tenang. Sehinggalah pada malam 14 April 1912 apabila
suhu lautan menurun ketahap hampir beku.

Apa yang menariknya, sehari sebelum hari kejadian, Kapten Smith telah diberikan amaran oleh beberapa buah kapal menerusi wireless bahawa terdapat beberapa ketulan aisberg berada di sepanjang laluan RMS Titanic. Bertindak atas amaran ini, beliau telah mengubah sedikit haluan kapal ini ke arah lebih Selatan kerana beranggapan, ianya lebih selamat berbanding meneruskan perjalanan lebih utara.

Pada hari kejadian, pada jam 1.45 petang, sebuah kapal
wap Amerika telah menghantar amaran bahawa terdapat seketul aisberg besar
berada di laluan RMS Titanic. Namun amaran ini tidak dihantar ke dek kawalan.
Beberapa jam kemudian satu lagi amaran yang sama dari kapal Mesaba dan sekali
lagi amaran ini gagal dihantar ke dek kawalan.

Pada jam 11.40 malam, ketika kapal ini berlayar di
Selatan Grand Banks di Newfoundland, dua orang pemantau, Frederick Fleet dan
Reginald Lee telah melihat satu ketulan besar aisberg berada betul-betul di
hadapan RMS Titanic. Panik dengan keadaan ini, Fleet telah membunyikan loceng
kecemasan dan menghubungi dek kawalan bagi menyampaikan amaran berkenaan.

Pada ketika itu, Pegawai Pertama Murdoch sedang
bertugas bagi menggantikan Kapten Smith yang sedang berehat. Bertindak atas
laporan Fleet ini, Murdoch telah mengarahkan pusingan mengejut kearah kiri dan
mengarahkan enjin dihentikan sebelum ianya dihidukan kearah belakang dalam
kelajuan yang maksima.

Namun usaha berkenaan nyata telah terlewat apabila
bahagian tepi sebelah kanan kapal berkenaan bergesel dengan ketulan besar
aisberg berkenaan dan mengakibatkan kimpalan rivert di bawah paras air bocor
sepanjang 91 meter. Ini sekaligus menyebabkan bahagian bawah dek kapal
berkenaan di masuki air dengan cukup pantas dan telah mengorbankan pekerja
bawahan dek ini serta merta.

Mujur juga tindakan pantas Murdoch yang menutup pintu
kedap air mampu melenggahkan kerosakan dan kebocoran yang dialami oleh RMS
Titanic. Pada masa yang sama, Kapten Smith turut sama naik ke dek kawalan untuk
melihat sendiri kerosakan hasil dari perlanggaran berkenaan.

Beliau adalah antara orang yang menyedari bahawa RMS
Titanic tidak mungkin dapat diselamatkan. Beliau pantas mengarahkan kesemua 20
bot penyelamat yang diturunkan bagi memindahkan seberapa ramai penumpang dari
kapal berkenaan. Pada masa yang sama, panggilan kecemasan mula di hantar dengan
harapan ada kapal berada berhampiran dengan lokasi RMS Titanic berada.

Sejam selepas perlanggaran, bot pertama telah
diturunkan dengan memuatkan seramai 28 orang. Sedangkan, menurut Thomas
Andrews, bot penyelamat berkenaan mampu memuatkan seramai 50 hingga 60 orang
pada satu-satu masa. Malah, menurut perkiraan kasar, seramai 1,178 orang mampu
diselamatkan menerusi 20 buah bot keselamatan yang ada di dalam RMS Titanic.

Jumlah ini hanya setengah sehaja dari jumlah
keseluruhan penumpang RMS Titanic. Apa yang menyedihkan, menurut mereka yang
terselamat, penumpang kelas ketiga gagal sampai ke geladak utama kerana hampir
kesemua laluan untuk mereka sampai ke geladak berkenaan dikunci oleh anak
kapal.

Pada keadaan yang serba cemas ini, dua orang operator
radio, Jack Phillips dan Harold Bride sibuk menghantar isyarat CQD ke semua
kapal yang berada berhampiran RMS Titanic. Isyarat kecemasan ini disahut oleh
kapal Mount Temple, Frankfurt dan Olympic. Namun, apa yang menyedihkan, kesemua
kapal ini berada agak jauh dari lokasi RMS Titanic berada.

Hanya RMS Carpathia milik Curnard sahaja yang berada
paling dekat dengan RMS Titanic. Itupun pada jarak 93 kilometer dan hanya
sampai selepas 2 jam RMS Titanic tenggelam sepenuhnya.

Menurut wartawan, William Thomas Stead yang terselamat dari kecelakaan ini, RMS Titanic mula tenggelam di bahagian hadapan. Apa yang memburukkan keadaan adalah, ada di antara penumpang kelas pertama menganggap, kejadian yang menimpa RMS Titanic ini hanyalah satu latihan kecemasan. Ada diantara mereka sibuk bersiap untuk hadir makan lewat malam dan ada diantaranya mahu menghadiri majlis koktail di beberapa lokasi di dalam kapal berkenaan.

Tidak hairanlah apabila 2 buah bot penyelamat yang
berpatah balik mencari mangsa yang masih terselamat kira-kira 2 jam selepas RMS
Titanic tenggelam mendapati, ramai daripada mereka mengenakan pakaian mahal dan
gaun yang cantik.

Tambah Thomas lagi, RMS Titanic mula menjunam 90 darjah kira-kira 2.15 minit pagi dengan hampir 50 orang berada di belakang kapal berkenaan semasa ianya mula menjunam dengan lajunya kedasar laut. Tepat jam 2.20 pagi, 15 April 1912, daratan terapung dan “unsinkable ship” yang amat dibanggakan oleh White Star Line, tenggelam sepenuhnya ke dasar laut.

Daripada 2,223 orang penumpang kapal ini, hanya 706
orang penumpang sahaja yang terselamat manakala bakinya menemui ajal di tengah
lautan yang berada pada suhu -2 darjah selsius pada ketika itu. Dua buah bot
telah kembali ke lokasi kejadian, dua jam selepas tenggelamnya RMS Titanic dan
hanya mampu menyelamatkan 5 orang yang mana dua orang daripadanya menemui ajal
beberapa jam selepas diselamatkan.

Inilah sebuah kisah klasik yang tidak pernah jemu
untuk diperkatakan dari satu generasi ke satu generasi. Pelbagai kisah timbul
setelah tenggelamnya RMS Titanic yang mana majoritinya enggan mempercayai,
sebuah kapal yang didakwa paling selamat dalam sejarah, tenggelam hanya
disebabkan seketul aisberg besar.

Kemalangan ini nyata memberi kesan yang cukup yang
mendalam terhadap penduduk Southampton. Menurut laporan Hempshire Chronicle yang
diterbitkan pada 20 April 1912, hampir 1,000 keluarga tempatan terjejas secara
langsung. Hampir setiap jalan di daerah Chapel kehilangan lebih dari satu
penduduk dan hampir 500 rumah kehilangan anggota keluarga.

Malah, kemalangan ini turut mendorong kepada
Persidangan Antarabangsa Keselamatan Jiwa di Laut di London pada 12 November
1913. Pada 20 Januari 1915, satu persetujuan ditandatangani dari persidangan
berkenaan untuk mewujudkan Peronda Ais Antarabangsa yang sehingga hari ini
masih berfungsi untuk memantau dan melaporkan sebarang lokasi aisberg yang ada
di Lautan Atlantik.

RUJUKAN:

* Beveridge & Hall 2004

* Titanic historical Society

* Encyclopedia Titanica

* Titanic Archive

Artikel disumbangkan oleh Samurai Biru untuk The Patriots.

The post Tenggelamnya Kapal Titanic appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots