Drama Nur Daripada Perspektif Bahasa

Drama “Nur” [nːur] merupakan sebuah drama dalam
saluran TV3 slot Samarinda yang bersifat Islamik dan sarat dengan pengajaran.
Setelah tamatnya musim pertama sepanjang 19 episod pada 14 Jun 2018, musim
kedua sepanjang 15 episod pula disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam
10.00 malam bermula dari 2 April 2019 dan dijangka berakhir pada 25 April 2019.
Artikel ini membincangkan tentang bahasa-bahasa yang terdapat dalam drama
sepanjang 60 minit terbitan Radius One Sdn. Bhd.

Secara ringkasnya, drama ini
mengisahkan tentang kehidupan Nur (Lakonan Amyra Rosli) dan Adam (Lakonan
Syafiq Kyle) sebagai sepasang suami dan isteri. Dengan sokongan Nur, Adam masih
meneruskan kegiatan dakwah di kawasan lorong-lorong gelap. Kehadiran Juita
(Lakonan Azar Azmi) yang merupakan seorang pelacur telah mengubah segalanya.
Adam perlu menghadapi konflik daripada rumah tangganya dan pada masa yang sama
masalah tempat kerjanya di sekolah Darul Mukhsin yang kekurangan dana akibat
perbuatan abang iparnya, Hamadi (Lakonan Azhan Rani).

Segala perbualan yang terdapat dalam drama Nur 2 menggunakan Bahasa Melayu. Loghat bahasa Melayu yang digunakan dalam drama tersebut adalah Johor-Riau. Ini dibuktikan dengan perbualan dalam drama berkenaan yang menggunakan sebutan berakhir “mid central vowel (ə)” seperti “saya [sajə]”, “pengetua [pəŋətuə]”, “agama [agamə]” dan sebagainya. Mereka juga tidak menyebut bunyi “ar
(Rr)” apabila berada di hujung perkataan seperti “air [ae]” manakala apabila
berada di tengah berbunyi “voiced uvular fricative (ʁ)” seperti “kereta [kəʁetə]”.
Bunyi [ʁ] dilakukan dengan meletakkan hujung hadapan lidah ke arah tekak.

Selain itu, terdapat perbualan
yang menggunakan laras agama. Laras tersebut merujuk kepada ungkapan untuk
memperkatakan tentang hal ehwal agama. Oleh disebabkan drama ini berlatar
belakangkan agama Islam, maka struktur ayatnya banyak dipengaruhi oleh struktur
bahasa Arab. Sebagai contoh, petikan Al-Quran yang digunakan dalam drama ini
adalah “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum
mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri (QS.ar-Ra’d:11)”. Tidak silap
penulis, petikan Al-Quran tersebut disebutkan oleh Musalmah (Lakonan Fatimah
Abu Bakar) kepada anaknya Aisyah (Lakonan Norkhiriah).

Di samping itu, perbualan dalam
drama berkenaan banyak menggunakan perkataan daripada bahasa asing. Bahasa
asing yang terlibat adalah Sanskrit, Arab, Portugis dan

Inggeris.
Perkataan “derma” berasal daripada bahasa Sanskrit, “dharma (धर्म)”.
Perkataan

“astaghfirullah” daripada bahasa Arab “ʾastaḡfiru
llāha (َُٰللّاُ رُ فِغَْتسَْأ)”. Perkataan “minggu” daripada bahasa Portugis “domingo”. Perkataan “relaks”
berasal daripada Bahasa Perancis “relaxer” melalui Bahasa Inggeris, “relax”.
Perkataan “relaks” digunakan oleh Juita ketika “bersama” dengan Adam di dalam
kereta. Perbualan “Hei, saudari. Dengar sini, ada banyak cara untuk buat
pahala. Bukan dengan cara menggunakan agama macam kau!” banyak menggunakan
perkataan Sanskrit.

Kemudian, terdapat perbualan
dalam drama berkenaan menggunakan perkataan jati. Perkataan jati disebut
melambangkan taraf pendidikan watak berkenaan. Taraf pendidikan yang rendah
macam Nur telah menyebut ayat “Tidak termasuk api air”. Perbualan tersebut
menggunakan perkataan jati. Ayat baku sepatutnya, “tidak termasuk bil elektrik
dan bil air”.

Terdapat perbualan dalam drama
berkenaan yang menggunakan bahasa rojak. Bahasa rojak berlaku dengan peralihan
kod (Code-Switching) dua atau lebih bahasa dalam satu ayat. Contoh perbualan
yang menggunakan bahasa rojak adalah “Mak, cantik tudung. Kena colournya”. Perbualan
tersebut diucapkan oleh Mahadi kepada ibu mertuanya, Musalmah.

Akhir sekali, terdapat perbualan
dalam drama berkenaan yang menggunakan singkatan perkataan. Contoh perbualan
dalam drama berkenaan adalah “Cik Nur, bila kitorang boleh mengaji”. Perbualan
tersebut diucapkan oleh salah seorang daripada beberapa orang kanak-kanak
kepada Nur. Perkataan “kitorang” berasal daripada perkataan “kita” (Kata ganti
nama diri pertama jamak dalam keadaan inklusif) dan “orang”.

Kesimpulannya, itu adalah antara
pemerhatian penulis tentang drama Nur daripada sudut bahasa. Sejujurnya, drama
ini merupakan drama berbahasa Melayu pertama yang ditonton penulis setelah
sekian lama. Penulis berharap pengarah drama ini iaitu Shahrulezad tidak
berputus asa dalam menghasilkan drama yang berkualiti tinggi. Apa pendapat anda
tentang drama Nur? Sila berikan maklum balas anda kepada kami.

Sumber:

Drama Nur yang ditonton oleh penulis.

Allah
Tidak Akan Merubah, Sebelum Ada Perubahan dari Dalam Diri. Retrieved April 9,
2019 from
https://khazanahalquran.com/allah-tidak-akan-merubah-sebelum-ada-perubahan-dari-dalam-diri.html

Ciri dan
jenis laras-laras bahasa. Retrieved April 9, 2019 from
http://mte3012-farahnadiyaabdulrahim.blogspot.com/2015/10/ciri-dan-jenis-laras-bahasa.html

Malay
language, alphabet and pronunciation. Retrieved April 9, 2019 from
https://www.omniglot.com/writing/malay.htm

Drama Nur 2 . Retrieved April 9, 2019 from
https://www.myinfotaip.com/2019/01/nur2.html

The post Drama Nur Daripada Perspektif Bahasa appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots