OPPO F11 Dilancarkan Di Malaysia – Kamera 48MP, Helio P70, Dijual Pada Harga RM1099

OPPO pada sebelum ini telah melancarkan OPPO F11 Pro dengan penawaran peranti kelas pertengahan bersama rekaan skrin penuh. Ia menampilkan bahagian kamera yang boleh dikeluarkan ke atas bagi menjayakaan rekaan tanpa takuk. Pada hari ini, OPPO telah memperkenalkan OPPO F11 dengan sejumlah ciri-ciri menarik pada harga yang lebih mampu milik.

OPPO F11 dilihat membawa penambahbaikan berbanding OPPO F9 terutama melihat dari segi spesifikasinya. Ia membawakan paparan LTPS LCD sebesar 6.5-inci FHD+, bersama penyertaan takuk seumpama titisan air. Ia juga dijana dengan cip lapan-teras MediaTek Helio P70, memori 4GB RAM, dan mempunyai storan 128GB yang boleh ditingkatkan melalui kad mikroSD.

Oppo F11

Untuk keupayaan penggambaran, ia membawakan sistem dwi-kamera utama, melalui penggunaan sensor 48MP f/1.8 + 5MP f/2.4 untuk kebolehan bokeh. Ia turut disertakan dengan fungsi Night Mode yang membolehkan pengguna menikmati penggambaran malam yang lebih menawan. Kamera hadapannya pula hadir dengan sensor 16MP f/2.0 dengan fungsi pencatikkan wajah yang boleh dilaraskan.

Apa yang lebih menarik, ia membawakan kapasiti bateri yang sama seperi OPPO F11 Pro iaitu 4000 mAh. Untuk sokongan pengecasan, ia masih menyertakan sambungan mikroUSB dan boleh dicas secara pantas melalui pengecas VOOC 3.0.

Ia juga dilihat telah menjalankan antaramuka Color OS 6.0 yang dibina bersama sistem operasi Android 9.0 Pie. Ia menampilkan antaramuka yang lebih kemas dan moden, disamping membolehkan pengguna menikmati sejumlah fungsi daripada Android Pie ini. Color OS 6 turut membawa sebanyak 20 penambahbaikan pada sistem, dalam membolehkan peranti beroperasi dengan lebih pantas.

Untuk pasaran tempatan, OPPO F11 telah disenaraikan pada harga RM1099 untuk variasi 4GB RAM + 128GB. Ia boleh dipra-tempah bermula 17 April ini melalui pengedar-pengedar rasmi OPPO di seluruh negara. Pilihan warna yang ditawarkan hanya satu sahaja buat masa ini iaitu warna Flourite Purple.

Sumber : Amanz