Wahai Dr Maszlee, Kekalkan Nama PERMATA

Ke hadapan Menteri Pendidikan Dr Maszlee
Malik,

Merujuk kepada
laporan Berita Harian pada tarikh 15 April 2019, bertajuk “PERMATA Dijenamakan Semula dengan Nama Baharu
Genius
”, izinkan saya
membantah keputusan tuan menukar nama dari PERMATA ke Genius. Asas bantahan
saya ini boleh dibahagikan kepada tiga inti utama.

Pertama, perkataan Genius tidak akan mampu
menggambarkan inti Program PERMATA.
Perkataan genius merujuk kepada seseorang yang mempunyai keupayaan intelek
luar biasa seperti tokoh-tokoh terkemuka Albert Einstein ataupun Stephen
Hawking. Program dengan nama Genius ini seolah-olah ingin melahirkan
manusia-manusia sebegitu. Hal ini jauh menyeleweng daripada tujuan utama
Program PERMATA.

Perkataan
“permata” dalam Bahasa Melayu merujuk kepada batu yang berharga seperti intan
atau berlian. Kebanyakan batu-batu ini adalah sejenis hablur [crystal]. Jika tuan menteri ingin tahu,
dalam Sains Bahan, hablur memerlukan keadaan yang sangat khusus untuk dibentuk.
Jika proses pembentukan ini tidak dijaga dengan rapi, berlian yang diidamkan
tidak terhasil malah mungkin arang pula yang timbul. Hal ini selari dengan
intipati Program PERMATA.

Program PERMATA
bukan semata-mata tentang melatih anak-anak genius. Golongan yang tidak
tahu-menahu hal PERMATA akan selalu beranggapan bahawa PERMATA = PERMATApintar.
Saya harap tuan menteri tidak melakukan kesilapan yang sama dengan golongan ini.

Secara asasnya, program PERMATA ingin menyediakan program yang sesuai untuk anak-anak berkeperluan khusus. Oleh sebab itulah munculnya 8 inisiatif berbeza bawah payung PERMATA untuk memenuhi keperluan-keperluan berbeza agar menghasilkan permata yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

Jika keperluan khusus ini tidak dipenuhi, dibimbangi perkembangan mereka terencat. Saya yakin Dr Maszlee pernah mendengar akan kisah kanak-kanak terkehadapan yang akhirnya tergelincir tidak tahu hala tuju. Itu contoh anak-anak berkeperluan khusus yang keperluannya tidak dipenuhi.

PERMATApintar
hanyalah salah satu nama dalam naungan PERMATA. Tujuannya ialah untuk memenuhi
keperluan anak-anak terkehadapan atau lebih tepatnya gifted and talented. Perkataan pintar di sini merujuk kepada giftedness, bukan ke-genius-an. Memang istilah ini yang
digunakan oleh pakar dalam makalah-makalah mereka: pintar dan berbakat.

Nama-nama lain
bawah nama PERMATA ialah PERMATA Kurnia yang ingin memenuhi keperluan anak-anak
istimewa seperti kanak-kanak autistik. PERKASA Remaja pula ingin memenuhi keperluan
remaja yang berisiko. PERMATA Seni ingin memenuhi keperluan anak-anak yang
berbakat dalam seni persembahan. Beberapa contoh ini sudah cukup untuk
menggambarkan kepelbagaian keperluan khusus yang juga setanding dengan kepelbagaian
batu permata seperti batu zamrud, batu nilam, berlian, dan batu kecubung.

Seperti slogannya,
“Setiap Anak PERMATA Negara: Every Child
is Precious
”, anak-anak PERMATA ini berharga dan memerlukan perhatian
khusus yang sepatutnya. Berharga mempunyai banyak aspek sama seperti banyaknya jenis
kelebihan anak-anak istimewa yang berbeza. Genius tidak akan mampu
menggambarkan semua ini.

Kedua, nama PERMATA memang sudah sedia ada berdaya
saing dan nama Genius tidak akan mengubah hakikat itu.
Saya andaikan maksud daya saing yang tuan menteri
maksudkan dalam laporan itu adalah kebolehan untuk bersaing di pentas
antarabangsa. Saya kira daya saing di pentas alam pekerjaan setempat adalah
tidak kena dengan konteks keputusan Dr.

Tahukah tuan
menteri bahawa sepanjang hampir sedekad penubuhan Pusat PERMATApintar Negara, pusat
ini sudah menempa nama di pentas antarabangsa? Berduyun-duyun pelajar
Kazakhstan dihantar ke Pusat PERMATApintar Negara selama berminggu-minggu dalam
program pertukaran pelajar. Begitu juga berduyun-duyun pelajar PERMATApintar
dihantar ke Kazakhstan atas alasan yang sama. Amalan ini berterusan tahun demi
tahun.

Selain itu, Pusat PERMATApintar Negara juga ada jalinkan hubungan bersama Sekolah Tinggi Shibata di Jepun dalam program pertukaran pembentangan hasil kajian. Sekolah Tinggi Shibata ialah sejenis Super Science High School kerajaan Jepun yang melatih setiap pelajarnya menulis kajian saintifik.

Pusat PERMATApintar Negara yang juga melatih setiap pelajarnya menulis kajian saintifik bersetuju untuk menukar hasil kajian para pelajar pada forum masing-masing, iaitu Forum Education for Sustainable Development (ESD) di Sekolah Tinggi Shibata dan Persidangan International Future Scientist Conference (iFSC) di Pusat PERMATApintar Negara. Pertukaran ini masih lagi berjalan setiap tahun.

Sementara itu,
para penerima Anugerah Nobel dijemput sebagai tenaga pengajar untuk program
latihan minda saintis bertaraf antarabangsa, Nobelist Mindset Workshop. Universiti-universiti luar negara pula sudah
menerima sijil Pusat PERMATApintar Negara sebagai layak untuk memasuki
universiti mereka. Malah, pengarah Program PERMATApintar, Prof Dato Dr Noriah
Mohd Ishak sendiri berkata yang Pusat PERMATApintar Negara sudah diiktiraf
sebagai salah satu sekolah untuk anak-anak gifted
yang terbaik di dunia!

Namun begitu, harus difahami sekali lagi Program PERMATA bukanlah terhad kepada PERMATApintar sahaja. Ia merangkumi 8 inisiatif berbeza: PERMATA Negara, PERMATApintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan, PERKASA Remaja, PERMATA Kurnia, Hospital Kanak-Kanak PERMATA, dan PERMATA STEM Talent.

Pengalaman saya yang sekangkang kera ini membenarkan saya bercakap tentang perkembangan PERMATApintar sahaja. Walaubagaimanapun, contoh-contoh yang saya sebutkan tadi cukup sebagai bukti bahawa nama PERMATA mempunyai daya saing yang kuat. Hanya usaha sahaja yang menentukan.

Ketiga, nama Genius tidak akan menjadikan program
ini LEBIH berdaya saing walau secebis pun.
Sewaktu tuan menteri berkata nama Genius ini akan
menjadikannya lebih berdaya saing, saya hairan: bagaimana Dr Maszlee boleh
berfikir sedemikian? Adakah ia kerana nama-nama berbahasa Inggeris difikirkan lebih
mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa? Jika begitu pemikirannya, ia
hanyalah ilusi semata-mata.

Ada banyak contoh
barang-barang dengan unsur nama tempatan yang dipasarkan di pentas
antarabangsa. Satu contoh yang kita semua kenal dan sayangi ialah RotiBoy yang
dimulakan di Pulau Pinang pada tahun 1998. Kini, ia sudah bersepah di Korea,
China, Thailand, Dubai, Arab Saudi, dan Indonesia. Upin & Ipin dan Boboiboy
juga yang penuh dengan unsur ke-Malaysia-an dapat menembusi pasaran
antarabangsa. Pengguna antarabangsa mencari kualiti pada isi, bukan keputihan
pada tanda nama.

Nukilan pada isi kedua
saya juga sudah menjadi bukti kebolehsaingan nama tempatan PERMATA di pentas
antarabangsa. Nama tempatan bukanlah penghalang untuk mendapat tempat di mata
dunia. Nama putih pula tidak memberi kesan pada kejayaan ini.

Lagipun, bila
dikatakan bahawa nama sesuatu itu “lebih berdaya saing”, apa kayu ukur yang
boleh membandingkan lebih atau kurang?

Malah, jika tuan menteri berminat untuk membanggakan Malaysia, lebih baik tuan gunakan nama tempatan. Nama tempatan lebih mudah dikenali dan mudah dibanggakan. Contohnya begini, jika saya katakan bahawa siri animasi Chuck Chicken dan Harrie and Bunnie ditayangkan di Disney Channel, apa perasaan kita?

Hati kecil kita pasti berkata, “Biasalah tu Disney Channel tayang cerita-cerita orang putih”. Bagaimana pula jika saya memaklumkan bahawa Bola Kampung itu ditayangkan di Disney Channel? Mestilah kita rasa bangga kartun tempatan disiarkan di nama antarabangsa seperti Disney.

Sekali baca sahaja
kita sudah tahu ia adalah kartun tempatan. Padahal, sebenarnya ketiga-tiga itu
dihasilkan oleh Studio Animasia, iaitu sebuah studio di Malaysia! Namun, Bola
Kampung masih lagi lebih membanggakan berbanding dua kartun tadi walaupun
selepas mengetahui hakikat ini.

Nampak atau tidak
bagaimana nama tempatan itu akan membanggakan rakyat kita? Nama PERMATA akan
dengan serta merta membanjiri rakyat dengan rasa bangga apabila tahu ia berada
di pentas antarabangsa. Rakyat akan susah berbangga dengan nama putih seperti
Genius.

Maka, saya nasihatkan usahlah bermain dengan jenama. Saya sedar dalam laporan itu ada mencatatkan bahawa tuan menteri mempunyai rancangan lain yang saya yakin bermanfaat selain penjenamaan semula.

Namun, penjenamaan semula ini tiada manfaat dan hanya akan membazir duit. Rancangan-rancangan lain itu tidak akan tergendala pun jika nama PERMATA dikekalkan. Nama PERMATA akan kekal berdaya saing dan terus bersemangat menjadi pusat perkembangan anak-anak berkeperluan khusus yang terbaik.

Sekian, Alumni
Program PERMATApintar Negara.

The post Wahai Dr Maszlee, Kekalkan Nama PERMATA appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots