PlayStation 5 Bakal Hadir Dengan Sokongan SSD Dan Grafik 8K

Sony masih tidak berkongsi secara umum lagi berkenaan konsol generasi akan datang mereka, yang akan menggantikan PlayStation 4 pada hari ini. Walaubagaimanapun, bagi anda yang meminati arena konsol, berita menarik untuk anda. Melalui temuramah ringkas yang dilakukan oleh Wired, Sony berkongsi beberapa ciri yang akan hadir pada konsol generasi akan datang.

PlayStation 5 (atau mungkin turut dikenali dengan nama lain) bakal hadir dengan sokongan grafik terkini, dijana oleh AMD. Ia dikatakan bakal menyertakan sokongan ray-tracing bersama-sama dengannya – sekaligus menawarkan pengalaman permainan yang lebih baik kepada pengguna.

Selain sokongan grafik yang tinggi, Sony turut akan melengkapkan konsol mereka dengan SSD yang pantas. Ini sekaligus akan membolehkan permainan dimulakan dan dijalankan dengan lebih pantas. Seperti ramai sedia maklum, terdapat permainan yang mencapai saiz hampir 100GB – sekaligus dengan penawaran SSD, ia akan membolehkan permainan berkenaan dapat dimulakan dengan lebih pantas dan berjalan lancar.

Sony turut berkongsi mengatakan yang mana konsol PS5 ini akan turut menyokong pelbagai permainan PlayStation 4 sedia ada. Satu lagi perkara yang turut ditekankan adalah dengan penawaran spesifikasi tinggi, PlayStation 5 turut diperkatakan bakal menyokong paparan grafik pada resolusi 8K.

Sony tidak berkongsi sebarang latar masa pelancaran buat masa ini. Tetapi, melalui temuramah Wired, mereka mengatakan ia tidak akan hadir pada tahun ini. Mungkinkah kita akan melihatnya dilancarkan pada 2020 kelak?

Sumber : Amanz