Analisis Trailer Joker

Gambar di bawah merupakan salah satu daripada babak dalam filem Joker 2019. Jika anda perhatikan dengan halus gambar tersebut, anda akan dapati timbunan sampah sarap di hadapan kereta.

Jika anda fikir dengan logik, mengapa bandar metropolitian seperti Gotham yang rata-rata penduduknya berstatus jutawan seperti keluarga Wayne dan keluarga Kane (pewaris Batwoman) bertaburan sampah sarap? Takkan majlis bandaraya mereka tak buat kerja? Di sini penulis cuba kaitkan teori tentang kemunculan Joker dengan sampah sarap tersebut.

Penulis cuba pakai teori daripada Joseph Corburn, seorang professor of city and regional planning di University of California. Beliau mengkaji tentang hubungan antara kehidupan bandar dengan kesihatan umum (public health). Dalam kajian beliau mendapati kesihatan mental berkait rapat dengan kesan kehidupan hiruk pikuk kota yang terlalu ramai penduduk dengan kerja yang tidak stabil dan pengurusan hidup yang serabut.

Corburn lihat masalah kesihatan seperti ini sebagai indikasi kegagalan dasar urban dan perancangan bandar, bukannya permasalahan individu, silap pilihan dan sebagainya (Corburn, 2004). Beliau juga menyatakan dengan menggabungkan urban scholarship dan isu public health secara community based, isu masalah mental mungkin boleh dikurangkan.

Teori yang kedua mencadangkan bahawa masalah yang melanda kota-kota besar terutamanya kes rusuhan, kemiskinan dan jenayah ialah kemuflisan ideologi sehingga tidak dapat mengenal pasti akar umbi yang sebenar permasalahan ini (Harvey, 1973). Dalam buku Manuel Castell The City and The Grassroots, tujuan utama kota seperti Gotham ialah bagi menyediakan konsumpsi kolektif agar dapat menghasilkan tenaga kerja.

Jadi, kehadiran kes rusuhan, kemiskinan dan jenayah merupakan satu sintesis untuk merayu kepada perubahan dan penambahbaikan kepada kemudahan tersebut. Maka manusia seperti Joker ini muncul atas dasar layanan kota terhadap mereka.

Pendek kata, duduk di kota pun kalau tidak ada kerja dan tidak boleh membeli akan menghilangkan fungsi kota terhadap manusia, sekaligus menghilangkan fungsi manusia terhadap komuniti di sana. Jadi krisis identiti boleh berlaku pabila hilangnya fungsi manusia terhadap komuniti.

Asal usul Joker telah menjadi perdebatan fandom sejak bertahun lamanya, malah sebelum kemunculan Dark Knight Trilogy lagi. Namun apa yang kita boleh pasti ialah Joker seorang yang mengalami masalah mental. Mungkin filem ini hanyalah menjelaskan sebahagian daripada asal usul joker, kerana dalam Dark Knight pun Joker (Heath Ledger) memiliki variasi cerita yang berbeza mengenai parutnya.

Sebagai takeaway dalam tulisan ini, penulis ingin tekankan ketelitian penulis filem ini (Todd Phillips & Scott Silver) dalam menjelaskan asal usul pesakit jiwa dan penjenayah paling berbahaya di Gotham. Harap semua bersabar menunggu kemunculan filem ini Oktober nanti.

RUJUKAN

Corburn, J. (2004). Confronting the Challenges in Reconnecting Urban Planning & Public Health. American Journal of Public Health 94(4), 541-546.

Harvey, D. (1973). Social Justice & The City. London: Arnold Press.

The post Analisis Trailer Joker appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots