Kerajaan Pahang Disaran Laksana Henti Niaga 15 Minit Waktu Maghrib

Kerajaan negeri Pahang disaran mengikut jejak langkah kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan kempen henti niaga 15 minit untuk solat Maghrib.

Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) berkata langkah itu untuk memberi laluan bukan sahaja peniaga tetapi juga orang ramai di premis-premis perniagaan dan di pasar malam untuk berhenti seketika bagi menunaikan solat berkenaan.

“Inisiatif ini telah dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan serta Terengganu dan alhamdulillah dapat dilaksanakan dengan baik sehingga kini

“Walaupun kita tahu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang selalu melakukan gerak kerja dakwah di negeri ini, namun yang dicadangkan ini merupakan inisiatif kita sebagai pemimpin untuk menggerakkan solat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung Titah Diraja pada persidangan penggal kedua Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Selain itu Rosli turut membangkitkan soal kebajikan golongan nelayan khususnya di kawasan Tanjung Lumpur yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup berikutan kedudukannya yang terletak di pinggir bandar.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan negeri dapat berusaha sedaya mungkin untuk membela nasib mereka supaya golongan ini dapat meningkatkan taraf hidup dan sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan menerusi inisiatiaf-inisiatif tertentu.

“Apabila kita sebut nelayan dari dulu sehingga kini, di mana-mana sekalipun, persepsinya akan melihat nelayan sebagai yang miskin, yang susah dan sebagainya dan dari dulu hingga kini masalah yang dihadapi tidak pernah selesai.

“Jadi kita minta pihak kerajaan ambil berat dan berusaha dengan lebih gigih lakukan perancangan agar kehidupan nelayan terus terbela,” katanya.

Ia termasuk mengadakan penguatkuasaan yang lebih ketat di perairan negara untuk menghalang pencerobohan oleh nelayan asing yang menyebabkan nelayan tempatan menghadapi kekurangan hasil sekali gus mengakibatkan kenaikan harga ikan dan hasil laut yang dijual kepada orang ramai.

Sumber : BERNAMA

Sumber : SiakapKeli