Jepun Mendahului Industri Halal Dunia?

Jepun
sememangnya dikenali sebagai pendahulu dalam pelbagai sektor ekonomi sehingga
menyumbang kepada kedudukannya sebagai antara kuasa ekonomi dunia. Antara
sektor ekonomi yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara itu ialah sektor
automotif dan pembuatan elektronik sekaligus mendorong banyak negara termasuk
Malaysia mahu mencontohi pencapaian ekonomi mereka. Tetapi dengan pelbagai isu
yang melanda negara itu hari ini termasuk masalah ekonomi dan populasinya yang
berumur, Jepun harus berevolusi demi menyegarkan semula sektor ekonominya
termasuk melibatkan diri dalam sektor industri halal.

Industri halal terutama industri makanan halal dianggap asing bagi kebanyakan negara bukan Islam kerana menyangka konsep ini terpakai kepada umat Islam sahaja. Tetapi nilai pasaran ini amat besar berjumlah $661.6 bilion dan dengan lebih banyak negara sedar potensi pasaran ini, ia akan memberi keuntungan besar kepada mereka.

Tetapi sayang, penglibatan firma-firma Jepun yang dikenali dengan semangat kaizen dan sikap inovatifnya dalam industri ini masih rendah walaupun berhadapan pelbagai cabaran di peringkat domestik. Suka atau tidak, konsep pasaran halal merupakan kunci utama kepada pasaran perdagangan global dan mereka perlu mencari kaedah untuk menembusi pasaran baru yang berharga ini.

Keperluan makanan halal

Satu perkara yang tidak mendorong penglibatan firma-firma Jepun dalam pasaran ialah bilangan populasi umat Islam yang sedikit di Jepun. Berdasarkan bancian yang dibuat pada tahun 2010, Jepun mempunyai populasi umat Islam seramai 190,000 orang dengan pertambahan sebanyak 58% daripada 120,000 orang pada tahun 1990.

Majoriti daripada mereka ialah kelompok imigran dari Indonesia berjumlah 30,000 orang diikuti oleh imigran dari Pakistan, Bangladesh dan Iran. Sementara bilangan orang Jepun yang memeluk Islam masih sedikit dengan kebanyakan mereka ialah wanita Jepun yang memeluk Islam atas sebab perkahwinan (berkahwin dengan imigran beragama Islam). Sementara orang Jepun yang memeluk Islam atas sebab lain amat sedikit.

Bagi memenuhi keperluan makanan halal mereka, umat Islam Jepun memilih memasak di rumah sepanjang masa atau berkunjung ke restoran-restoran makanan etnik jika hendak makan di luar. Di sini, mereka memilih menu makanan laut atau sayur-sayuran semasa makan di luar.

Jika mereka pergi ke pasar raya untuk membeli barangan dapur, sebarang keraguan tentang barangan tempatan yang dibeli dihilangkan dengan menghubungi pusat panggilan pelanggan produk makanan berkenaan. Dengan kebanyakan produk makanan halal diimport dari luar negara, maka sijil halal sesebuah produk juga diambil dari pensijilan halal negara yang menghasilkannya.

Di
Jepun, terdapat 55 buah kedai makanan halal di 27 wilayah daripada 48 wilayah
di Jepun. Majoriti kedai ini tertumpu di ibu negara Jepun iaitu Tokyo. Selain
menyediakan khidmat kepada individu, kedai-kedai ini turut menyediakan
perkhidmatan bekalan daging dan ayam halal serta semua bahan diperlukan di
restoran-restoran makanan beretika. Dan ini amat menyusahkan umat Islam
terutama yang menetap di luar bandar kerana jika mereka memerlukan produk
makanan halal, mereka perlu mendapatkannya secara dalam talian atau menerusi
panggilan telefon.

Dengan
bilangan populasi umat Islam di Jepun semakin bertambah terutama melalui
pelajar asing, universiti-universiti cuba memenuhi keperluan mereka dengan
meletakkan menu halal di kafetaria mereka. Usaha ini dipelopori oleh Universiti
Osaka pada tahun 1995 sebelum disusuli oleh Universiti Kyushu (2005),
Universiti Nagoya (2006), Universiti Tokyo dan Universiti Tohoku (2007),
Universiti Kyoto (2009) dan Universiti Waseda (2012). Di sesetengah kafetaria
universiti, makanan halal dilabel sebagai halal pada menu. Tetapi di sebalik
semua ini, makanan halal masih terhad kepada makanan etika sahaja.

Selain
pelajar universiti, isu makanan halal ini turut membelenggu ibu bapa yang
mempunyai anak-anak kecil. Jika mereka pergi ke tadika atau sekolah, makanan
dihidangkan kepada semua orang tanpa sebarang perbezaan. Bagi anak-anak ini,
mereka tiada pilihan iaitu makan makanan yang disediakan kantin sekolah kecuali
membawa bekalan makanan ke sekolah. Tetapi langkah ini menimbulkan kebimbangan
dalam kalangan ibu bapa yang bimbang langkah sebegini akan mengakibatkan mereka
dipinggirkan oleh rakan-rakan sekolah.

Sebab-sebab kelewatan firma Jepun
memasuki pasaran halal

Firma-firma
Jepun dilihat kurang berminat memasuki pasaran ini atas beberapa sebab:

  • Halal dianggap satu isu sensitif kerana ia dikaitkan dengan agama.
    Ini ditambah kaitan Jepun dengan Islam tidaklah serapat kaitan negara berkenaan
    dengan agama Shinto dan Buddha. Selain itu, Jepun memandang halal sebahagian
    daripada keperluan agama sekaligus dianggap terlalu rumit untuk dikaitkan.
    Kerumitan sebegini ditambah dengan peraturan halal yang ketat mematikan selera firma-firma
    Jepun dari menyertai pasaran ini.
  • Kebanyakan firma Jepun masih fokus kepada pasaran makanan dan
    masih belum bersedia merebut peluang tanpa had pasaran halal global. Selain
    itu, ketiadaan pengetahuan tentang soal kehalalan makanan menyukarkan lagi
    cubaan mereka menembusi pasaran kerana sudah biasa menggunakan bahan makanan
    tidak halal seperti alkohol dan daging khinzir.
  • Konsep halal tidak terpakai kepada produk akhir makanan sahaja
    tetapi meliputi kepada semua rantaian proses pembuatan produk itu sendiri. Suka
    atau tidak, firma-firma terpaksa merombak semula rantaian produksi mereka untuk
    mengurus, menetapkan standard dan kawalan ke atas nilai rantaian. Firma-firma
    Jepun dikenali dengan budayanya yang suka mengelak risiko dan lebih suka
    membuat perubahan kecil tetapi berterusan di mana ketidaktentuan sesebuah
    produk masih boleh dikawal.
  • Kekurangan sifat ingin tahu dalam rakyat Jepun sendiri tentang isu
    kehalalan makanan. Satu kaji selidik mendedahkan kebanyakan responden tidak
    pernah mendengar konsep halal dan tidak berminat mempelajari soal halal itu
    sendiri. Ini juga menyumbang kepada ketiadaan kemahuan dalam kalangan
    firma-firma Jepun untuk menghasilkan produk halal mereka kepada pengguna.

Impak penyertaan industri halal

Sejak
kebelakangan ini, Perdana Menteri Shinzo Abe mahukan penglibatan negara Islam
seperti Malaysia untuk membantu mereka menembusi industri halal. Dengan Sukan
Olimpik 2020 akan diadakan di Tokyo dan jangkaan pengunjung seramai 40 juta
orang mengunjungi Jepun tahun hadapan, Abe sedar ini juga merupakan tiket
kepada peluang ekonomi baru negara Matahari Terbit itu. Antara impak penyertaan
industri halal ialah:

  • Pengurangan pergantungan kepada
    sektor-sektor penting seperti automotif dan perindustrian yang hanya
    menggunakan sumber manusia sebanyak satu peratus. Pengurangan pergantungan ini
    boleh dicapai dengan mempelbagaikan penyertaan Jepun dalam industri lain
    termasuk industri halal yang boleh menarik masuk wang asing ke dalam negara.
    Selain itu, ia turut mengukuhkan lagi pengembangan industri lain seperti
    pendidikan dan pelancongan.
  • Pengukuhan industri pendidikan di
    mana ia akan menyaksikan pertambahan bilangan pelajar asing terutama dari
    negara-negara Islam. Ini berdasarkan program Global 30 yang diperkenalkan oleh
    Kementerian Pengajian Tinggi, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) pada
    tahun 2009 yang dijangka boleh menarik 300,000 pelajar antarabangsa ke Jepun
    dalam tempoh lima tahun. 13 universiti mengambil bahagian di mana kebanyakan
    universiti ini terletak di kawasan yang mempunyai populasi umat Islam yang
    ramai seperti Tokyo, Osaka, Sendai, Kyoto, Tsukuba, Nagoya dan Kyushu. Pertambahan
    bilangan mereka sudah pasti akan menambah bilangan populasi umat Islam di Jepun
    dan sekaligus menambah lagi keperluan permintaan makanan halal di sana.
  • Satu sebab mengapa Abe mahukan
    penglibatan lebih banyak negara Islam untuk membantu industri halal Jepun ialah
    potensi perbelanjaan pelancong dari negara-negara Islam. Satu kajian dari
    Crescent Rating, sebuah syarikat pelancongan di Singapura mendedahkan potensi
    perbelanjaan pelancong beragama Islam sebanyak $100 bilion dengan 80%
    daripadanya dibelanjakan untuk negara-negara yang mempunyai pelancongan yang
    bersifat halal. Jepun menjadi tumpuan ramai pelancong kerana pencapaiannya
    dalam sains dan teknologi, lanskap pemandangan yang indah dan keunikan
    budayanya. Buktinya, selepas Air Asia X melancarkan penerbangan ke Tokyo pada
    tahun 2009, mereka sudah membawa lebih 100,000 penumpang ke Tokyo dalam tempoh
    setahun. Tetapi masalahnya ialah kesukaran pelancong beragama Islam mendapatkan
    akses kepada makanan halal. Kebanyakan bahan pada label ditulis dalam Bahasa
    Jepun dan agak sukar difahami sekaligus menyukarkan mereka mengetahui makanan
    tersebut boleh dimakan atau tidak. Ini mendorong mereka membawa makanan dari
    negara asal sekaligus mematikan sebarang harapan mencuba makanan Jepun atau
    membeli makanan tempatan. Keadaan ini bertambah parah sekiranya mereka melawat
    Jepun semasa bulan Ramadan di mana tiada akses kepada makanan sahur. Selain
    itu, tempat-tempat penginapan tidak menyediakan kemudahan yang bersifat
    mesra-Muslim seperti surau, tempat wuduk, perkhidmatan pelancongan agama dan
    kolam yang memisahkan lelaki dan wanita. Jika semua isu ini dapat diselesaikan,
    ia bukan saja mendorong pertumbuhan sektor pelancongan Jepun tetapi juga
    menjana pertumbuhan ekonomi negara tersebut melalui industri halal.

Melihat
kepada semua sebab yang dinyatakan ini, maka ini merupakan satu tiket pemulihan
ekonomi yang tidak seharusnya diketepikan begitu saja. Dan dengan kesediaan
Jepun mengurangkan pergantungan kepada sektor-sektor kritikal dan
mempelbagaikan pendapatan ekonominya selaras dengan dasar ekonomi Abe yang
dikenali sebagai Abenomics, tiada yang mustahil bagi negara itu mengatasi cabaran
ekonomi yang membelenggunya ketika ini. Pada masa sama, kesediaan Tokyo
mempelbagaikan pendapatan ekonominya termasuk industri halal seharusnya
dijadikan contoh teladan kepada mana-mana negara agar tidak terlalu bergantung
kepada sektor tertentu walaupun ia menjanjikan pulangan lumayan. Ini kerana
sesebuah sektor boleh saja jatuh atas sebab tertentu seperti bencana alam atau
kehabisan sumber alam seperti minyak dan gas asli.

SUMBER

1.
Shutto, Noriyuki dan Md Yusof, Shazlinda. (2014). Procedia – Social and
Behavioral Sciences 121 (muka surat 253-261). The Development of Halal Food
Market in Japan : An Exploratory Study. https://www.researchgate.net/publication/299566541_The_Development_of_Halal_Food_Market_in_Japan_An_Exploratory_Study

2.
The Star. (2019). M’sian companies told to expand into Japan’s halal market. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/01/11/msian-companies-told-to-expand-into-japan-halal-market/

The post Jepun Mendahului Industri Halal Dunia? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots