Petua Penjajah Untuk Melemahkan Anak Jajahan

Memang penjajah Inggeris pada ketika dulu memiliki sukatan pelajarannya sendiri untuk menjajah negeri-negeri orang. Negeri orang-orang Inggeris itu kecil sahaja malah mereka tinggal di kepulauan namun boleh menguasai Benua India dan mengalahkan Negeri China dan menakluk Burma yang berkali-kali ganda lebih besar.

Mungkin menyerang dan menakluk itu mudah bagi si penjajah, namun untuk mengekalkan penjajahan itu? Ya, itu juga memerlukan ilmu dan petua yang lain.

Bagaimana? Perkara-perkara beginilah mesti dipelajari untuk melawan balik penjajahan itu.

Salah satu caranya ialah dengan menghapuskan estim diri di kalangan anak jajahan. Para pegawai British selain terlibat dalam urusan pentadbiran, mereka bertindak sebagai ‘kerani’ dan ‘penulis sejarah’ yang menuliskan tanggapan dan pandangan mereka terhadap kaum pribumi yang dijajah itu.

Mereka juga amat berminat mengumpulkan hikayat-hikayat terutama jampi mantera untuk menampilkan sisi ‘animisme’ dan ‘primitif’ anak jajahan. Oleh kerana falsafah hidup orang Melayu sudah bersebati dengan ajaran Islam, ‘kitab-kitab kuning’ tidak menduduki carta manuskrip-manuskrip yang diwar-warkan oleh penjajah, sebaliknya penjajah mengkatalogkan hikayat, koleksi jampi mantera, cerita jenaka, penglipurlara dan apa-apa yang dianggap mitos dan dongeng.

Usaha itu mungkin dipandang bagus dari segi pemuliharaan khazanah sastera, namun MENGAPA BERSIKAP ‘DOUBLE STANDARD’? Itu yang misteri tu.

Kita jarang dengar adanya manuskrip ‘kitab perubatan Melayu’, ‘kitab petua ubat bedil dan peluru’ atau ‘kitab membuat keris’ diangkat dan diraikan dengan meriah oleh penjajah. Sebenarnya semua pengetahuan begitu ada, malah kini kitab-kitab sebegitu sudah mula diperkenalkan ke khalayak umum, dijenamakan semula, dikaji dan diraikan.

Penjajah gemar menonjolkan SISI GELAP SEJARAH dan mengajarkan kepada anak jajahan bahawa sejarah kamu pahit dan penuh dengan kemunduran. Itu bertujuan untuk membangsatkan kaum pribumi supaya kekal bodoh dan lembab, dan ini menguntungkan mekanisme penjajahan.

Menurut Siddiq Fadzil dalam bukunya ISLAM Dan MELAYU: Martabat Umat dan Daulat Rakyat, penulisan ilmiah mengenai sejarah bangsa Melayu dipelopori oleh pengembara Barat dan pegawai kolonial merangkap orientalis selepas pendudukan pertama penjajah semasa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Penulisan tersebut berbentuk laporan dan pemerhatian terhadap masyarakat Melayu, bukan kajian yang menepati kaedah penyelidikan ilmiah.

Karya-karya orientalis tentang persejarahan Alam Melayu khususnya di Tanah Melayu memperlihatkan banyak kelemahan metodologi di samping sarat dengan prasangka negatif dan berat sebelah hingga rumusannya tidak menepati realiti. Antara yang paling menonjol adalah penjelasan mengenai perwatakan negatif masyarakat Melayu berpunca dari pegangan agama dan mengecil-ngecilkan peranan Islam dalam sejarah ketamadunan bangsa Melayu.

RUJUKAN:
Pandangan Orientalis Berkenaan Sikap Malas Masyarakat Melayu Di Tanah Melayu, Mohd Farhan Abd Rahman,Rohailin Zainon,Maryam Mohd Esa, Nurulhayah Muhamad

The post Petua Penjajah Untuk Melemahkan Anak Jajahan appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots