Ada Apa Pada Ratapan Notre Dame?

Belum pun
reda api yang menenggelami kerangka Notre Dame, muncul jemaah “what-aboutism”
yang memenuhi susur masa di Facebook. “What about the Umayyad Mosque?”, “What
about coral reefs?”, “What about the Bamiyan Buddha?” dan sebagainya. Di China,
muncul pula golongan yang marah kerana tidak ramai yang mengetahui tentang
Istana Musim Panas yang dimusnahkan oleh pihak Barat.

Betul, jika
dibandingkan dengan Masjid Umayyah di Damsyik, Buddha Bamyan di Afghanistan,
Masjid Tua Uighur dan kota lama Palmyra – Notre Dame tidak begitu ‘special’
dari sudut usia ataupun perkembangan tamadun. Bahkan di Perancis sendiri,
terdapat deretan gereja Gothic lama yang seusia dan semegah Notre Dame seperti
Basilika Di-Raja St Denis, Chartres Cathedral dan Sainte-Chapelle. Namun, Notre
Dame tetap dikenali seantero dunia. Mengapa?

Ya, ilmu sains dan teknologi mungkin telah membina ‘flying buttresses’ dan ‘spire’ tinggi Notre Dame. Bahkan, ilmu sains juga akan membantu dalam pembinaan semula Notre Dame. Tetapi yang menghidupkan imaginasi Notre Dame di minda manusia dan yang ‘memanjangkan hayat’ bangunan usang tersebut di lautan sekular umat Perancis adalah kuasa sastera.

Sulaman naratif Victor Hugo berkenanaan Si Bongkok Notre Dame telah berjaya menarik minat dan cinta umat manusia kepada Notre Dame. Seperti yang ditulis sebelum ini, novel Si Bongkok Notre Dame telah digarap oleh Victor Hugo untuk menyelamatkan gereja tua di Kota Paris ini daripada hampir ranap dimamah usia dan diabai umat manusia.

Dengan bilangan orang Perancis yang menidakkan agama semakin tinggi – Notre Dame yang hampir kosong itu hampir sahaja diroboh atau diabaikan. Ketika itu, Notre Dame dianggap ‘hodoh’, dan tidak seindah bangunan lain di Kota Paris. Victor Hugo nekad untuk mematahkan sudut pandang ini.

Lihat sahaja
garapan beliau dalam novel tersebut:

“Bangunan agung, seperti gunung-ganang yang besar, adalah karya yang berusia abad lamanya… Masa adalah arkitek utamanya, dan seluruh bangsa menjadi pembinanya… Patung-patung, kaca berwarna, ‘rose windows’, arabesque, lengkukan ukiran, dan relief-bas – Notre Dame menggabungkan kesemua ciri imaginasi ini mengikut kesesuaian dirinya umpama gadis memilih perhiasan. Namun jati dirinya kekal – umpama batang pokok yang tidak bergerak dan dedaunan yang tidak berubah.”

Karya beliau bukan sahaja memaparkan kisah lara Esmeralda atau nasib tragis Quasimodo. Ianya bukan sahaja mengisarkan niat jahat Archdeacon Frollo – tetapi novel beliau adalah umpama satu surat cinta kepada Notre Dame, di mana setiap lekuk dan batu-batanya dibayangkan dengan penuh romantis di dalam garapan beliau.

Dari penulisan Victor Hugo, Notre Dame seolah-olah mempunya nyawa sendiri yang menjadi saksi segala tragedi di Kota Paris. Victor Hugo telah mewujudkan suatu naratif yang membuatkan orang ramai menjiwai sejarah Notre Dame dan seni binanya. Dari awal lagi Victor Hugo berazam untuk menjadikan kisah Si Bongkok Notre Dame sebagai wadah untuk umat manusia mengenali Notre Dame, untuk menyelamatkan gereja tua tersebut dari dimamah usia.

Dan beliau berjaya dalam menghasilkan satu naratif Gothic yang memautkan hati umat manusia terhadap bangunan tua berkenaan. Quasimodo yang hodoh diangkat sebagai simbolisme kepada Notre Dame, dianggap hodoh tetapi mempunyai dalaman yang cantik. Bahkan, simbolisme ini begitu jelas apabila Victor Hugo membayangkan Quasimodo dapat merasai sendiri nadi Notre Dame.

Dalam adaptasi Disney, mereka membayangkan ‘gargoyle’ di Notre Dame itu hidup di hadapan Quasimodo bagi membolehkan anak-anak kecil memahami apa yang cuba disampaikan oleh Victor Hugo. Dengan ini, naratif Notre Dame sebagai saksi bisu sejarah Perancis terus hidup dek kerana penulisan Victor Hugo.

Kepentingan naratif inilah yang ditekankan oleh ahli falsafah Palestin, Edward Said. Ini kerana naratif membolehkan umat manusia mendekati dan memahami sudut pandang sesuatu tamadun. Bahkan, Edward Said menekankan kepentingan sastera Palestin bagi membolehkan naratif Palestin dikenali ramai, khususnya di Barat. Beliau sedar, dari sudut naratif – kelompok Zionis lebih mendepani mereka dalam mencanai naratif mereka di Barat.

Sastera yang dikatakan tidak sepenting sains inilah, yang menyebabkan mengapa ramai manusia lebih menjiwai kehancuran Notre Dame berbanding kota lama Yemen. Bahkan di kota Paris sendiri, Istana Tuileries yang diroboh perusuh pada tahun 1871 tidak mendapat dana yang mencukupi untuk dibina semula sehingga kini – kerana jiwa penduduk Paris tidak terpaut kepada bangunan tersebut seperti mana jiwa mereka telah dipautkan oleh Victor Hugo kepada gereja lama tersebut.

Walaupun amat signifikan dalam sejarah Perancis, kurang tarikan terhadap naratif sejarahnya berbanding Notre Dame menyebabkan Tulieries terus hilang dari kota Paris. Tanpa naratif, ‘hayat’ sesuati monument sejarah akan terus pudar.

Maka usahlah kita sering bertanya mengapa manusia lebih ramai meratapi Notre Dame, tetapi ikutlah jejak langkah Victor Hugo. Ingat, walaupun sudah ribuan makalah ilmu ditulis mengenai Sungai Batu atau Lembah Bujang, tidak semua yang cukup meminati sejarah untuk membaca sejarahnya.

Garaplah karya agung yang menyelusuri setiap batu-batu lama Sungai Batu, ‘hidupkanlah’ batu-batu bisu di Bangunan Sultan Abdul Samad dengan Esmeraldanya tersendiri, ‘berikanlah nyawa’ kepada marmar-marmar kaku di Kota Alhambra dengan Quasimodo di hujung pena kalian. Wujudkanlah perasaan cinta umat manusia terhadap Masjid Ubudiyah, biar dari pelbagai bangsa dan anutan agama seperti mana Victor Hugo menarik perhatian dunia kepada gereja tua Notre Dame.

Ingat, dengan sebatang pena Victor Hugo mampu mengubah nasib satu gereja tua. Bagaimana pula kita dengan keyboard di hujung jari? Sekadar menjadi kaki troll kah kita? Atau sekadar memenuhi susur masa dengan keluhan mengenang nasib umat sendiri?

The post Ada Apa Pada Ratapan Notre Dame? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots