Tragedi Deepwater Horizon

Semalam, pada tarikh 20 April tahun 2010, terjadinya satu bencana alam yang disebabkan oleh peristiwa tumpahan minyak Deepwater Horizon, juga turut dikenali sebagai tumpahan minyak Teluk Mexico. Ia adalah bencana alam sekitar melibatkan minyak terbesar dalam sejarah.

Pelantar minyak Deepwater Horizon ini dimiliki dan dioperasikan sebuah syarikat penggalian minyak yakni syarikat Transocean. Pelantar ini pada asalnya disewakan oleh salah sebuah syarikat minyak terbesar dunia, iaitu BP.

Lokasi pelantar ini terletak di perairan Teluk Mexico. Kira-kira 66 kilometer dari pantai negeri Louisiana, Amerika Syarikat. Matlamat pengoperasian pelantar ini adalah untuk menggali prospek minyak Macondo.

Permukaan telaga minyak tersebut terletak di dasar laut pada kedalaman 1522 meter. Tidak berakhir di situ, paip yang digunakan bagi operasi penggalian telaga minyak yang sangat besar ini juga sangat panjang, sehingga ia mencecah kedalamam 5,486 meter!

Pada malam 20 April, satu lonjakan mendadak gas metana telah memecahkan struktur teras konkrit yang baru sahaja dipasang bagi menutup telaga minyak tersebut untuk kegunaan telaga pada masa akan datang.

Namun menurut siasatan yang dijalankan kemudian, berkemungkinan tinggi bahawa kedua-dua struktur teras konkrit yang digunakan itu adalah terlalu lemah untuk menahan tekanan gas, oleh kerana komposisi konkrit tersebut terdiri daripada campuran konkrit yang turut menggunakan cecair nitrogen bagi mempercepatkan proses ia mengeras.

Setelah lonjakan gas asli itu berjaya terlepas melalui keretakan yang wujud pada struktur teras konkrit, gas segera bergerak menaik ke atas pelantar, di mana ia segera menyala dan akhirnya menyebabkan letupan besar berlaku. Letupan telah menyebabkan 11 pekerja pelantar maut (beberapa individu dilaporkan hilang dan dianggap telah mati) manakala 17 yang lain cedera.

Pada masa yang sama, letupan tersebut telah menyebabkan kerosakan serius pada struktur pelantar dan menyebabkannya kedudukannya tidak stabil dan menyenget. Pada waktu pagi 22 April, pelantar itu akhirnya tenggelam ke dasar laut.

Tenggelamnya pelantar itu mendatangkan masalah baru kepada pekerja dan pasukan keselamatan yang sedang berusaha ingin meminimakan tumpahan minyak. Kerana dalam usaha mereka untuk menutup laluan telaga itu, lumpur telah dipamkan ke dalamnya bagi mengimbangi tekanan minyak dan gas, menghalangnya menaik ke atas.

Justeru itu, tanpa kehadiran lumpur tersebut, minyak dan gas dengan mudahnya mengalir keluar dari telaga. Jumlah isipadu minyak yang bebas keluar dari telaga yang rosak pada asalnya dijangkakan pada kadar 1000-5000 tong minyak sehari. Namun siasatan lanjut meletakkan anggaran minyak mengalir keluar sangat tinggi iaitu pada kadar 60,000 tong satu hari.

Kesan daripada peristiwa tumpahan minyak ini menyebabkan kira-kira 180,000 kilometer persegi perairan daripada kawasan teluk tersebut diliputi oleh minyak.

Seterusnya, kesan tersangat serius terjadi kepada hidupan liar yang menjadikan Teluk Mexico sebagai habitatnya. Dianggarkan bahawa lebih daripada 800,000 ekor burung dan 65,000 ekor penyu telah mati akibat diliputi oleh tumpahan minyak yang menyukarkan untuk mereka terbang, berenang dan makan.

Setelah bencana ini dapat dikawal, iaitu selepas 89 hari daripada kejadian letupan pertama, siasatan menganggarkan bahawa lebih daripada 134 – 206 juta gelen (4 juta tong) minyak telah tertumpah berikutan kejadian ini.

Syarikat minyak BP terpaksa membayar kos pampasan yang sangat tinggi iaitu sejumlah 65 billion dollar kepada mereka yang terkesan disebabkan oleh kecuaian ini. Ini termasuklah denda (18 billion dollar) yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

RUJUKAN:

Deepwater Horizon oil spill by Richard Pallardy. Retrieved from:https://www.britannica.com/event/Deepwater-Horizon-oil-spill

The post Tragedi Deepwater Horizon appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots