Thomas Edison: Pereka Cipta Legenda Dalam Sejarah

Kita sedang bercakap
mengenai tokoh yang kontroversi dalam bidang sejarah, namun berstatus legenda.
Apabila bercakap mengenai Thomas Edison, selain daripada perseteruan legenda
dengan seorang lagi saintis bernama Nikola Tesla, kita mungkin juga akan
berbicara mengenai jumlah rekacipta milik Edison yang telah dipatenkan.

Berapa? Jangan
terkejut kalau angkanya mencecah sehingga 1093 buah! Pada ketika beliau
meninggal dunia pada 18 Oktober 1931, sebahagian daripada rekaaan yang
dipatenkan terdiri daripada 398 untuk cahaya dan kuasa eletrik, 195 untuk
fonograf, 150 untuk telegraf, 141 untuk bateri dan 34 lagi untuk telefon. Tidak
banyak naskah dalam Bahasa Melayu bercerita mengenai sejarah beliau, tetapi
kisah yang anda sedang baca ini, mungkin salah satu daripada koleksi “rare”
ini.

Tokoh yang terkenal
kerana membina makmal berskala industri pertama di dunia yang dikenali sebagai
“Wizard Menlo Park” ini lahir pada 11 Februari 1847, di Milan, Ohio Amerika
Syarikat. Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan Samuel Edison Jr dan
juga Nancy Elliott Edison. Beliau hanya menerima sedikit pendidikan formal pada
awal usianya sebelum meninggall sekolah, menjadi buruh membuat jalan kereta api
antara Detroit ke Port Huron, Michigan di mana ketika itu keluarganya tinggal.

Edison menunjukkan
minat dan mula mempelajari mengenai teknologi telegraf lalu mula mengembara ke
seluruh Amerika Syarikat ketika itu sebagai seorang telegrafer. Pada waktu
inilah Edison mula mengalami masalah pendengaran yang agak serius, hasil
daripada pelbagai faktor seperti penyakit dan kesan hentaman pada kepalanya.

Apabila terciptanya auditory signal untuk mesin telegraf,
untuk orang yang mengalami masalah pendengaran sepertinya, ia merupakan sebuah
kekurangan. Bagi mengatasi kekurangan itu, maka Edison mula mencipta peranti
yang mampu membantu insan sepertinya. Pada waktu inilah juga di mana Edison
berhenti menjadi seorang telegrafer, mula membina karier sebagai seorang pereka
cipta sepenuh masa.

Pada sekitar
187-1875, Edison bekerja dengan syarikat Newark yang terletak di New Jersey
sebagai seorang pereka cipta yang merekacipta pelbagai peranti, mesin dan alat
yang berkaitan dengan mesin telegraf. Antara mesin yang dicipta oleh Edison
ialah carbon transmitter, alat yang
meningkatkan kemampuan dengar telefon dengan membolehkan telefon ketika itu
menyalurkan bunyi pada nada yang lebih tinggi dan jelas daripada yang sedia
ada.

Edison dengan fonograf yang diciptanya.

Peti nyanyi, pemutar
rekod atau fonograf merupakan satu peranti yang diperkenalkan pada tahun 1877
untuk rakaman dan pengeluaran rakaman bunyi. Rakaman yang dimainkan secara
umumnya mengandungi garisan beralun, sama ada ia seperti dicalar, diukir, atau
beralur ke atas silinder berputar atau cakera. Apabila silinder atau cakera
berputar, jarum pada peti nyanyi akan menyurih pada garisan yang beralun itu
dan ia kemudiannya bergetar untuk menghasilkan gelombang bunyi. Ya, anda tidak
salah. Peti nyanyi ini merupakan salah satu daripada ciptaan hebat Edison.

Kejayaan demi kejayaan
terus dicapai oleh Edison kehidupannya. Contohnya pada tahun 1878, Edison telah
mencipta cahaya eletrik yang lebih murah dan selamat menggantikan gas yang
digunakan untuk menghidupkan lampu. Sesuatu yang gagal dilakukan oleh saintis
selama 50 tahun. Dengan bantuan kewangan daripada jutawan seperti J.P Morgan
dan keluarga Vanderbilt, Edison membangunkan sebuah syarikat yang dinamakan
sebagai Edison Electric Light Company.

Mungkin beginilah koleksi mentol-mentol ciptaan Edison.

Di bawah syarikat
ini, Edison membangunkan pelbagai penyelidikan mengenai eletrik. Kemuncaknya
apabila pada 1879, Edison telah berjaya mencipta mentol yang menggunakan filamen
yang diperbuat daripada platinum. Setahun kemudian, Edison telah berjaya menemui
carbonized bamboo adalah elemen
paling utuh dalam menyalakan sebuah mentol. Dikatakan menggunakan buluh karbon
ini, mentol Edison mampu menyala untuk lebih 1200 jam.  Ciptaan-ciptaan Edison ini kemudian ditayang
dan dipamerkan dalam pameran-pameran yang diakui kredibilitinya seperti Paris
Lighting Exhibition pada tahun 1881 dan Crystal Palace pada 1882.

Mesin kinestoskop yang merupakan kamera hidup pertama.

Pada tahun 1886,
Edison telah membina makmal penyelidikan dalam skala besar yang merangkumi kedai
mesin, perpustakaan, dan bangunan khas untuk metalurgi, kimia dan kerja kayu. Edison
selepas itu mencipta pelbagai lagi ciptaan hebat. Contohnya seperti Kinetoskop,
yang merupakan kamera gambar hidup pertama yang menampilkan gambar bergerak.
Alat ini dapat memperlihatkan film secara individual melalui lubang kecil yang
menyerupai jendela yang kemudian telah dipatenkan pada tahun 1891.

Tidak juga dilupakan
pada penciptaan bateri alkalin yang pada awalnya dicipta sekadar sumber kausa
kepada peti nyanyinya, sebelum ia digunakan untuk menjana kapal selam dan
peranti-peranti eletrik pada waktu itu. Bahkan, Edison merupakan pencipta
kepada bateri untuk Henry Ford yang kemudian menjadi perintis kepada model kereta
yang sangat ikonik untuk rakyat Amerika Syarikat iaitu Model T. Sesungguhnya
selepas itu, Edison terus mencipta sehingga usianya mencecah 80-an.

RUJUKAN:

History.com. (2009). Thomas Edison. A&E Television Networks. https://www.history.com/topics/inventions/thomas-edison

Newtonic, Learnado. (2019). Thomas Edison: 10 Major Accomplishments And Contributions. https://learnodo-newtonic.com/thomas-edison-contribution

Thomas Edison
Muckers. (n.d) Thomas Edison Lightbulb. http://www.edisonmuckers.org/thomas-edison-lightbulb/

Gallagher, Ethan. (2017). How Did Thomas Edison’s Light Bulb Work?. https://sciencing.com/thomas-edisons-light-bulb-work-4914923.html

Libarary Congress. (n.d). Inventing Entertainment: The Early Motion Pictures and Sound Recordings of the Edison Companies. https://www.loc.gov/collections/edison-company-motion-pictures-and-sound-recordings/about-this-collection/

The post Thomas Edison: Pereka Cipta Legenda Dalam Sejarah appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots