Dyah Gitarja – Pemerintah Wanita Majapahit

Dyah
Gitarja atau juga dikenali sebagai Tribhuwana Wijayatunggadewi atau juga nama
yang lebih panjang iaitu Tribhuwannottunggadewi Jayawishnuwardhani merupakan
pemerintah wanita pertama untuk Empayar Majapahit dan pemerintah ketiga empayar
tersebut. Gitarja mewarisinya daripada adik beradik lelaki tirinya yang
berketurunan kacukan Jawa-Melayu iaitu Jayanegara. Gitarja juga merupakan ibu
kepada Hayam Wuruk yang merupakan salah satu maharaja terbaik Majapahit. Ketika
di bawah pemerintahan Jayanegara, baginda ditabalkan sebagai penguasa bawahan
di wilayah Jiwana dengan gelaran Bhre Kahuripian.

Dyah
Gitarja merupakan anak kepada pasangan Raden Wijaya (pengasas dan pemerintah
pertama Majapahit) bersama dengan Gayatri Rajatpatni. Untuk pengetahuan semua,
dinasti yang memerintah Majapahit dikenali sebagai Dinasti Rajasa. Majapahit
diasaskan selepas Raden Wijaya berjaya mengalahkan Monggol dalam peperangan.
Dyah Gitarja mempunyai seorang adik perempuan bernama Rajadewi. Kedua-duanya
seringkali digambarkan sebagai seorang wanita yang sangat cantik. Kejelitaan
Gitarja selalu dikaitkan dengan Dewi Ratih, iaitu dewa bagi masyarakat Jawa dan
Bali yang sering dikaitkan sebagai Dewi Bulan dan Dewi Kecantikan.

Usia
muda Dyah Gitarja adalah dipenuhi dengan usaha-usaha daripada Jayanegara yang
berusaha untuk menjadikan Gitarja dan adik perempuannya Rajadewi sebagai
isterinya, namun majlis penasihat raja-raja yang diketuai oleh ibu kepada
Gitarja iaitu Permaisuri Gayatri menentang niat Jayanegara ini. Adapun
perkahwinan antara adik beradik antara bangsawan di dalam takhta Jawa itu
adalah perkara biasa ketika era Hindu-Buddha masih tebal dalam masyarakat Jawa.

Terhalang
daripada memiliki kedua-dua adik perempuan tirinya, Jayanegara mengambil
keputusan untuk mengurung di dalam istana dan menghalang sebarang hubungan
dengan dunia luar. Penderitaan itu berakhir apabila pada tahun 132 Masihi
apabila Jayanegara dibunuh oleh pemberontak. Gitarja kemudiannya dilantik
sebagai pemerintah baru Majapahit atas arahan ibunya. Gitarja telah menggunakan
nama Tribhuwannottunggadewi Jayawishnuwardhani. Pemerintahan Gitarja adalah
bersama dengan suaminya yang bernama Kertawardhana yang berjaya menjadi suami
kepada Gitarja selepas memenangi sayembara yang diadakan semata-mata untuk
mencari calon suami kepada Gitarja.

Pada
pemerintahan Gitarja, Majapahit mengalami era perluasan kuasa yang mengalakkan.
Banyak wilayah-wilayah di sekitar Pulau Jawa dan Samutera jatuh ke tangan
Gitarja. Namun, Gitarja mernjadi sangat terkenal dalam sejarah apabila Gitarja berjaya
menundukkan perang saudara yang hampir sahaja tercetus di dalam Empayar
Majapahit antara Gajah Mada dan juga Kembar, dua orang panglima tertinggi
Majapahit ketika percubaan untuk menundukkan pemberontakan di Sadeng.

Kedua-dua
mereka mahu penalukan ke atas Sadeng di namakan atas nama mereka, lantas
memaksa Gitarja bersama dengan sepupunya yang berdarah kacukan Jawa-Melayu
iaitu Adityavarman menundukkan pemberontakan itu sendiri, menamakan penaklukan
itu atas nama Gitarja manakala Kembar serta Gajah Mada hanya layak dinamakan
sebagai panglima di sisi Gitarja sahaja.

Selain
itu, perlantikan Gajah Mada yang merupakan Bapa Perluasan Kuasa Majapahit sebagai
Perdana Menteri atau Patih Amangkubhumi Majapahit dibuat adalah dibuat sendiri
oleh Gitarja. Sumpah Palapa yang dilafazkan oleh Gajah Mada adalah seperti
berikut:

“Jika telah mengalahkan Nusantara, saya (baru
akan) melepaskan puasa. Jika mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru,
Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan)
melepaskan puasa.”

Diceritakan
bahawa ketika melafazkan sumpah ini, betapa para pembesar Majapahit ketika itu
ada yang tidak bersetuju, malah memperkecilkan hak Gajah Mada termasuklah
perdana Menteri sebelum Gajah Mada iaitu Arya Tadah. Maka diceritakan bahawa
Gajah Mada merangkak menunduk di hadapan Gitarja, menangis mengadukan
masalahnya.

Dalam
pemerintahan baginda, Adityavarman telah dihantar sebanyak dua kali sebagai
wakil kerajaan Majapahit kepada Kerajaan China Pada tahun 1332.  Adityarvman juga mengasaskan kerajaan
Malayapura yang ditubuhkan di Minangkabau, lalu mewakili Gitarja memerintah di
sana.

Antara
reformasi pentadbiran yang dapat dilihat pada Gitarja ialah Gitarja meluaskan
lagi jumlah hakim yang bertanggungjawab menasihati pemerintahannya yang
berjumlah dari lima orang kepada tujuh orang. Dalam majlis ini, 5 orang dipilih
daripada pengganut Sivaism manakala dua lagi hakim yang mengganut agama Buddha.

Pemerintahan
Gitarja adalah berlaku selama 22 tahun dengan abunya dikebumikan di kuil
Pantarapurwa di Panggih. Selepas hayatnya, baginda disembah sebagai Dewi
Parwati di Kuil Rambi yang terletak di tenggara Majawarna.

Hari ini, watak baginda dapat digunakan dalam sebuah permainan video bertajuk Civilization 6 mewakili Tamadun Indonesia di dalamnya. Ini membuktikan bahawa pemerintahan baginda juga diiktiraf oleh masyarakat moden sehinggakan diabadikan dalam sebuah permainan video. Semoga nama baginda terus mekar diingati di alam Melayu hendaknya! 

RUJUKAN:

Nisriwani
Yahaya & Syed Zulflida (2003) 101 Puteri Dunia Melayu: Sejarah Dan Legenda.
Jabatan Muzium Malaysia.

Slamet
Muljana. 2005. Menuju Puncak Kemegahan (terbitan ulang 1965). Yogyakarta: LKIS

Slamet
Muljana. 1979. Nagarakretagama dan Tafsir Sejarahnya. Jakarta: Bhratara

The post Dyah Gitarja – Pemerintah Wanita Majapahit appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots