Nikola Tesla – Minda Pencipta Serbia Yang Terpinggir

Sebut
nama Tesla, anda akan fikir dua nama. Pertama, pembuat kereta elektrik terkenal
yang menampilkan versi sebenar Tony Stark Elon Musk sebagai figura awam mereka.
Kedua, nama akhir bagi pencipta dan saintis Serbia-Amerika terkenal yang turut
menginspirasikan nama pembuat kereta elektrik di atas. Nikola Tesla mungkin
tidaklah segah Thomas Edison tetapi banyak ciptaannya memberi kesan hebat
kepada kemanusiaan hari ini.

Tesla merupakan anak jati Smiljan, Croatia yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Empayar Austria-Hungary. Bapanya merupakan seorang paderi sebuah gereja Serbia Ortodoks sementara ibunya menguruskan pertanian keluarga. Semasa beliau berusia tujuh tahun, keluarga Tesla ditimpa tragedi apabila abangnya Daniel meninggal dunia selepas ditimpa kemalangan semasa menunggang kuda.

Insiden ini meninggalkan kesan mendalam terhadapnya sehingga menjadikan beliau seorang mistik. Semasa beliau dilahirkan, berlaku ribut petir yang kuat yang mendorong bidan yang membantu ibunya berkata, “Dia akan menjadi anak ribut.” Tetapi ibunya membalas, “Tidak, dia akan menjadi anak cahaya.”

Semasa kecilnya, Tesla sudah menunjukkan kebijaksanaannya terutama dalam penyelesaian matematik sehingga guru-gurunya menuduh beliau menipu dalam peperiksaan. Pada zaman remajanya, Tesla pernah jatuh sakit dan hanya pulih selepas bapanya membenarkan beliau tidak mengambil bahagian menjadi paderi dan bersetuju menyertai sekolah kejuruteraan.

Dua universiti yang pernah menjadi alma mater beliau ialah Universiti Teknikal Graz (pengajian matematik dan fizik) dan Universiti Prague (falsafah). Tetapi beliau tidak pernah menamatkan pengajiannya atas beberapa sebab seperti bertengkar dengan pensyarah, masalah perjudian atau tidak memenuhi keperluan subjek.

Di sebalik semua itu, itu tidak menghalangnya berhijrah ke Paris dan mula bekerja sebagai pekerja teknikal loji arus terus (DC) untuk Continental Edison Company. Dua tahun selepas itu, Tesla berhijrah ke Amerika Syarikat kerana ingin bekerja terus dengan Edison yang dianggap tokoh utama tenaga elektrik ketika itu. Dalam tempoh setahun, pencipta mentol itu tertarik dengan sikap rajin dan kebijaksanaannya menyelesaikan masalah.

Tetapi satu perkara yang mengakibatkan hubungan mereka renggang ialah bila Edison berjanji akan membayar $50,000 jika Tesla dapat menambahbaik pelan dinamo DC. Selepas bereksperimen selama berbulan-bulan, satu prototaip berjaya dihasilkan dan beliau menyangka akan dibayar atas hasil titik peluhnya itu. Tetapi Edison tidak berminat mengotakan janji itu dan menganggap itu hanya satu gurauan.

Tak lama selepas itu, Tesla meninggalkan Continental Edison Company dan mula menubuhkan syarikatnya sendiri. Bagi memastikan dirinya ada wang setiap hari, beliau bekerja sebagai pengorek longkang dengan gaji $2 sehari. Pada tahun 1887, usaha Tesla berhasil apabila dua orang pelabur bersetuju menanam modal dalam syarikatnya yang bernama Syarikat Elektrik Tesla.

Sepanjang 1887 dan 1888, beliau mempunyai 30 paten untuk ciptaannya dan dijemput memberi syarahan di Institut Jurutera Elektrik Amerika Syarikat. Syarahan Tesla menarik perhatian ramai orang termasuk bakal rakan kongsinya George Westinghouse. Westinghouse mengupah Tesla, mendapatkan lesen bagi motor AC ciptaan beliau dan memberi sebuah makmal untuk kegunaan pereka kelahiran Serbia itu.

Seperti dipaparkan dalam siri dokumentari drama The Innovators: The Men Who Built America, Tesla dan Westinghouse bersaing dengan Edison yang disokong J.P Morgan untuk penguasaan sektor elektrik sehingga ia digelar Perang Arus Elektrik (Battle of the Currents). Ini kerana kedua-duanya menggunakan arus elektrik berbeza dengan kedua-dua pihak saling mendakwa arus elektrik mereka jauh lebih selamat.

Terdesak untuk membuktikan AC lebih merbahaya berbanding tenaga DC yang digunakannya, Edison kemudiannya mereka kerusi elektrik yang dikuasakan oleh AC sebagai kaedah baru hukuman mati. Namun, taktik tersebut tidak menjadi dan ia makin mendorong Tesla berusaha menambahbaik ciptaannya itu.

Tetapi berikutan masalah dana, Tesla tiada pilihan melainkan menyerahkan hak royalti AC kepada Westinghouse bagi membolehkan mereka terus membuat kemajuan berkenaan AC. Pada tahun 1893, Westinghouse mencadangkan mereka menjadikan Pameran Pesta Dunia di Chicago bagi menunjukkan kehebatan AC berbanding DC.

Hasilnya, tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi kaedah AC menerangi lebih banyak mentol lampu pesta berkenaan berbanding seluruh bandar Chicago dan menarik perhatian pengunjung dengan helah seperti menyalakan lampu tanpa sebarang wayar. Demonstrasi ini secara tidak langsung turut membantu Westinghouse mendapatkan kontrak pembinaan stesen tenaga elektrik di Air Terjun Niagara sekaligus menjadikan stesen itu stesen tenaga AC berskala besar pertama di dunia.

Walaupun dikenali sebagai seorang yang suka menyendiri, keupayaannya bergaul dengan kelompok kelas atasan Amerika memudahkan usahanya mendapatkan dana diperlukan untuk projek seterusnya. Tetapi cabaran terus menguji Tesla untuk memajukan lagi ciptaannya.

Pada tahun 1895, makmalnya di New York terbakar yang menyaksikan semua nota dan prototaip ciptaannya hangus sama sekali. Tiga tahun selepas itu, beliau berjaya menggerakkan bot tanpa menggunakan sebarang wayar tetapi demonstrasi itu dilabel satu penipuan.

Bagaimanapun, ia dibuktikan sebagai benar apabila saintis Dr Travis Taylor berjaya menggerakkan bot tanpa sebarang wayar menggunakan gegelung Tesla. Eksperimen tersebut boleh dilihat dalam episod pertama The Tesla Files, Without A Trace. Link video penuh episod: https://www.youtube.com/watch?v=u62j_j7A8eI

Pada tahun sama, Tesla turut menguji satu lagi idea iaitu menggerakkan bot dengan menggunakan gelombang radio. Idea ini timbul tatkala Amerika sedang bergelut dalam Perang Amerika-Mexico. Bila beliau cuba mempatenkan ciptaannya itu, Pejabat Paten Amerika Syarikat tidak percaya dengan penerangan ciptaannya itu dan menghantar seorang ejen untuk melihat sendiri demonstrasi.

Demonstrasi ini turut ditunjukkan kepada pemain utama perniagaan ketika itu seperti Morgan dan William K. Vanderbilt. Menurut Tesla, jika idea ini dapat direalisasikan, ia dapat menyelamatkan manusia dari dihantar ke medan perang. Tidak mustahil idea ini juga menjadi inspirasi kepada penghasilan dron yang kita kenali hari ini.

Tesla percaya menerusi gegelangnya berbentuk skala besar, ia bukan saja membolehkan tenaga elektrik disebarkan ke seluruh dunia tetapi juga menjadi asas kepada komunikasi tanpa wayar. Untuk menguji teori ini, beliau berpindah ke Colorado Springs dan membina sebuah makmal dengan bantuan kewangan Morgan.

Makmal ini merupakan rekaan arkitek dan rakan baiknya Stanford Whyte yang mempunyai menara setinggi 185 kaki dan lubang sedalam ketinggian menara Wardenclyffe. Kedua-duanya disambung dengan transmiter melalui 16 paip besi mendatar dengan panjang 300 kaki. Bagaimanapun, sebelum kemudahan Wardenclyffe itu siap, Tesla kehabisan wang dan mahukan Morgan membiayai pembinaan kemudahan makmal itu.

Tetapi permintaan Tesla tidak dilayan dan selepas beberapa kali ditolak, beliau melabel jutawan itu sebagai seorang fanatik beragama Islam. Bagaimanapun, Wardenclyffe turut menjadi saksi eksperimen penerimaan isyarat dari angkasa lepasnya pada musim panas 1899 yang dianggap bukti kewujudan makhluk asing.

Ramai menolak dakwaan mengarut Tesla tetapi dakwaannya itu dibuktikan menerusi satu eksperimen pada tahun 1996. Isyarat yang datang dari angkasa lepas itu terhasil dari salah satu bulan Musytari, Io yang melalui medan magnetik Musytari. 10 tahun selepas itu, Guglielmo Marconi menerima Anugerah Nobel menerusi ciptaan radionya, satu perkara yang nyata menimbulkan kemarahan Tesla.

Ini kerana pada tahun 1893, beliau sudah membangunkan telegraf tanpa wayar dan hasilnya pada tahun 1943, empat paten Marconi dibatalkan dan memberi pengiktirafan sebetulnya kepada Tesla. Pada tahun 1915, wujud ura-ura Tesla dan Edison akan diangkat sebagai pemenang Anugerah Nobel tetapi tidak menjadi kenyataan.

Wujud kemungkinan permusuhan yang belum reda antara kedua-duanya menjadi punca utama mereka tidak mendapat pengiktirafan secara bersama. Tetapi Tesla tetap menerima pelbagai penghormatan sepanjang hayatnya termasuk Pingat Edison dari Institut Jurutera Elektrik Amerika Syarikat.

Pada
tahun-tahun terakhir kehidupannya, Tesla memilih hidup secara bersendirian dan
lebih fokus kepada ciptaannya. Beliau berpindah dari satu hotel ke satu hotel
yang lain dengan penginapan terakhirnya ialah di Hotel New Yorker. Jika tidak
sibuk dengan ciptaannya, Tesla selalu berkunjung ke taman tempatan dan memberi
makan kepada burung merpati. Pada tahun 1943 atau 7 Januari 1943, Tesla mati
dalam biliknya pada usia 86 tahun.

Tetapi
ini membuka misteri dan teori konspirasi bermaharajalela terima kasih kepada
tindakan Pejabat Harta Orang Asing merampas semua barang dan fail Tesla atas
alasan untuk mengelak ia jatuh ke tangan pihak asing. Selepas bertahun-tahun
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ditekan oleh ramai pihak yang mahukan kebenaran
berkenaan fail-fail Tesla, mereka akhirnya menyahsulit 250 kertas siasatan yang
ada kaitan dengan Tesla dengan dokumen-dokumen terbaru dilepaskan kepada umum
pada Mac 2018. Di sebalik perlepasan dokumen ini, ia masih belum menjawab
banyak persoalan termasuk ke mana perginya sesetengah fail Tesla yang masih
hilang sehingga hari ini.

Tiga minggu selepas kematian Tesla, seorang jurutera elektrik dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) ditugaskan menyemak fail-fail beliau yang dirampas. Jurutera yang diberi tugas berat ini tidak lain dan tidak bukan Dr John G. Trump, bapa saudara kepada Presiden Donald Trump. Selepas melihat semua kertas Tesla, beliau merumuskan semua teori yang dinyatakan bersifat spekulasi dan tidak mengandungi nilai saintifik.

Tetapi menurut penulis biografi Tesla Marc Seifer, pandangan Trump tidak disokong sesetengah pegawai tentera termasuk sekumpulan pegawai dari Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson di Dayton, Ohio yang diketuai Brigadier Jeneral L.C Craigee. Tidak seperti Trump yang menolak idea sinaran maut Tesla, Craigee pula melihat idea saintis Serbia itu tidak mustahil. Mungkin atas sebab inilah yang membawa kepada cadangan program Star Wars yang digagaskan Ronald Reagan pada tahun 1980-an.

Satu lagi perkara yang bikin ramai garu kepala ialah ke mana hilangnya fail-fail itu. Menurut dokumen FBI, kebanyakan harta Tesla jatuh ke tangan Duta Yugoslavia ke Amerika merangkap anak saudaranya, Sava Kosanovic. Menurut dokumen sama, sesetengah ejen FBI risau rahsia ciptaan Tesla akan jatuh ke tangan pihak musuh (Nazi Jerman) jika ia diserahkan kepada Kosanovic dan mereka tidak menolak kemungkinan menahan duta tersebut.

Berang dengan tindakan Washington menahan semua aset Tesla termasuk fail-failnya, Kosanovic memfailkan kes di mahkamah dan pada tahun 1952, mahkamah memerintahkan semua aset tersebut dipulangkan kepada beliau. Semua fail dan aset milik Tesla dibawa pulang ke Serbia dan menjadi sebahagian daripada bahan pameran Muzium Nikola Tesla hari ini.

Tetapi menurut Seifer, daripada 80 peti yang direkodkan selepas dibawa keluar dari New Yorker, hanya 60 peti sahaja yang dibawa pulang ke Belgrade. Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan sesetengah peti termasuk fail-fail Tesla masih lagi dalam simpanan kerajaan hari ini. Fail-fail Tesla yang hilang ini turut menjadi asas kepada dokumentari siasatan The Tesla Files.

SUMBER

1.
History.com. Nikola Tesla. https://www.history.com/topics/inventions/nikola-tesla

2.
Barksdale, Nate. (2014). 9 Things You May Not Know About Nikola Tesla.
History.com. https://www.history.com/news/9-things-you-may-not-know-about-nikola-tesla

3.
Gunderman, Richard. (2018). The Extraordinary Life of Nikola Tesla. Smithsonian
Magazine. https://www.smithsonianmag.com/innovation/extraordinary-life-nikola-tesla-180967758/

4.
Pruitt, Sarah. (2018). The Mystery of Nikola Tesla’s Missing Files.
History.com. https://www.history.com/news/nikola-tesla-files-declassified-fbi

The post Nikola Tesla – Minda Pencipta Serbia Yang Terpinggir appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots