Game Boy: 30 Tahun Yang Penuh Gemilang

Apabila
membaca tajuk rencana ini, saya pasti para pembaca semua sudah tentu
terbayang-bayang memori dan nostalgia indah bersama dengan peranti ini. Peranti
yang boleh dikatakan dikenali oleh hampir keseluruhan kanak-kanak (dan mungkin
juga remaja) era 90-an. Peranti yang memberikan banyak kenangan manis kepada
kita semua.

Saya masih ingat lagi, ketika saya berumur 9 tahun. Ketika itu, saya mengikuti ibu dan ayah saya ke majlis perkahwinan saudara saya. Dan di saat inilah saya bertemu dengan peranti hebat ini buat pertama kalinya dalam hidup saya.

Masih segar di ingatan saya keseronokan bermain Pokemon menggunakan peranti ini. Dengan skrin yang kecil tapi cukup untuk membangkitkan imaginasi. Dengan butang yang mudah digunakan sehingga membuat kita teresap ke dalam dunia permainan yang kita mainkan.

Dan yang paling saya tidak boleh lupa sekali adalah, masa. Masa yang berlalu ketika saya sedang asyik dan khayal bermain peranti ini. Tiba-tiba sahaja ibu saya memanggil saya pulang. Rupanya sudah hampir 2 jam mata saya lekat pada skrin peranti bernama Game Boy.

Dan itulah antara kekuatan Game Boy. Masa dan tempoh operasinya. Antara sebab mengapa peranti ini cukup diminati oleh kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia. Menjadikan ianya antara konsol terlaris dijual di dunia sehinggalah ke hari ini.[1]

Gambar 2: Game & Watch, cubaan pertama Nintendo menghasilkan konsol mudah alih
Sumber: YouTube

Game Boy merupakan sebuah konsol keluaran Nintendo hasil ciptaan Gunpei Yokoi. [2] Beliau merupakan salah seorang dari pencipta yang bertanggungjawab memajukan Nintendo dari syarikat pengeluar permainan kanak-kanak kepada syarikat permainan video. Game Boy merupakan antara cubaan Nintendo ketika itu untuk menghasilkan konsol mudah alih.

Kenapa mudah alih? Jika anda mengetahui serba sedikit tentang sejarah industri permainan video anda pasti tahu mengapa. Industri permainan video bermula di pusat arked. Di sini kabinet-kabinet arked merupakan platform terawal permainan video yang cukup digilai oleh kanak-kanak dan remaja.

Namun begitu, masa untuk bermain di arked terhad, dan bergantung kepada berapa banyak wang ataupun syiling yang kita ada. Disebabkan itulah, banyak syarikat permainan video menumpukan perhatian bagi menghasilkan konsol permainan video bagi membolehkan permainan video dimainkan di rumah tanpa perlu beratur panjang di pusat arked.

Maka dengan itu, pasaran konsol meledak. Dengan jenama-jenama seperti Atari dan Commodore merancakkan industri yang baru sahaja hendak berkembang. Tapi disebabkan oleh lambakan pasaran, industri ini jatuh seiring dengan kejatuhan Atari.

Siapa yang membangkitkan semula industri permainan video di Amerika Syarikat? Sudah tentulah Nintendo[3], dengan konsol mereka NES (Nintendo Entertainment System). Konsol Nintendo yang berkuasa, dibantu oleh koleksi permainan-permainan video yang menarik dan berkualiti membangkitkan semula industri yang jatuh tersungkur dan sekaligus mendominasi pasaran konsol di Amerika Syarikat.[4]

Melihatkan kini yang Nintendo sudahpun menguasai pasaran konsol di rumah, sudah tentulah mereka ingin membawa industri permainan video ini kehadapan, dengan memastikan yang penggunanya boleh bermain permainan video di mana sahaja mereka berada.

Cubaan pertama Nintendo, adalah Game and Watch. Sebuah konsol kecil dengan pemprosessor 4-bit, juga hasil rekaan Gunpei Yokoi. Walaupun ia mendapat sambutan yang hebat, ia mempunyai beberapa kelemahan yang jelas, menjadikan cubaan Nintendo untuk menghasilkan konsol yang benar-benar mudah alih, tidak berapa menjadi.

Ini kerana setiap Game and Watch hanya boleh memainkan satu permainan video sahaja, lantas tidak memberikan pengalaman yang diinginkan kepada pengguna.[5] Melihatkan kepada kelemahan ini, Yokoi mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan konsol yang boleh memainkan berbagai permainan video dalam satu peranti, menggunakan konsep kartrij seperti mana yang digunakan pada konsol NES. [6]

Dan dari situlah terhasilnya Game Boy. Yang dilancarkan kepada pengguna di Jepun pada 21 April 1989. Ketika ianya mula diperkenalkan, rekaan Game Boy menerima beberapa kritikan daripada pengkritik dan pengulas teknologi. Majoriti kritikan itu ditujukan pada skrin Game Boy yang sangat kecil (hanya 2 inci sahaja) dan tidak berwarna (walaupun teknologi skrin berwarna sudahpun digunapakai secara meluas pada ketika itu).

Tapi ramai pengkritik tidak sedar, yang Yokoi sengaja mereka Game Boy dengan skrin yang kecil sebegitu. Ini kerana Yokoi ingin memastikan yang Game Boy adalah peranti yang benar-benar mudah alih dan boleh dimainkan pada tempoh masa yang lama.

Rekaan Yokoi menjadi apabila Game Boy terbukti boleh digunakan secara berterusan, melebihi 30 jam dengan hanya bergantung pada 2 bateri AA.[7] Skrin yang tidak berwarna juga membantu memanjangkan lagi tempoh operasi Game Boy, agar ia memberikan pengguna pengalaman dan keseronokan bermain permainan video tanpa sempadan.

Nintendo berjaya mengharungi halangan pertama mereka. Menghasilkan peranti yang bukan sahaja berkuasa (mampu memainkan pelbagai permainan video), malah memberikan pengalaman yang optimum kepada pengguna. Namun hebat bagaimana hebat pun peranti Game Boy, ianya tidak bermakna jika tidak datang dengan koleksi permainan video yang menarik.

Gambar 3: Tetris, dimainkan di Game Boy
Sumber: https://tetris.com/article/34/what-was-it-like-to-play-tetris-on-the-game-bo
y

Umum semua orang menyedari, yang kejayaan sesuatu konsol itu banyak bergantung pada koleksi permainan video yang ditawarkan. Dan permainan video yang membolehkan Game Boy bertapak di Amerika Syarikat dan menjadi konsol mudah alih yang terhebat ketika itu, adalah Tetris.

Ya, anda tak salah baca. Tetris. Jika difikirkan ia adalah satu penyelesaian yang sangat bijak. Nintendo sedar yang peranti mereka mampu digunakan secara berterusan pada tempoh operasi yang sangat lama. Dan permainan video apakah yang boleh dimainkan berterusan tanpa penghujung? Sudah tentulah salah satunya adalah Tetris.[8]

Populariti Tetris membantu pemasaran Nintendo, dan membuatkan Game Boy terjual laris berjuta-juta unit di pasaran. Ini dibantu lagi dengan harga Game Boy yang boleh dikira murah jika dibandingkan dengan persaingan dan juga harga konsol semasa.[9]

Selain daripada itu, Game Boy juga merupakan konsol yang sangat fleksibel. Kali pertama ia dilancarkan, ia datang dengan kemampuan pautan (linkage) di antara peranti, membolehkan dua atau lebih pemain bermain bersama (multi-player). Selepas daripada itu, seiring dengan kemajuan teknologi, Nintendo mengeluarkan pelbagai aksesori termasuklah fonkepala, kamera dan berbagai lagi aksesori lain bagi memberikan pengalaman yang lengkap kepada pengguna.

Dan jika Tetris menjadikan Game Boy sebagai konsol yang diminati dan digilai ramai, Pokemon pula menjadikan Game Boy sebagai konsol lagenda, yang disebut-sebut dan dikenali oleh ramai orang di seluruh dunia sehinggalah ke hari ini. Pokemon menunjukkan kemampuan dan kehebatan peranti kecil ini yang mampu memainkan permainan video penuh imaginasi dengan dunia fantasi yang tersendiri.

30 tahun sejak pelancaran Game Boy yang pertama, Nintendo sudah pun mengeluarkan 7 iterasi Game Boy, termasuklah Game Boy Color dan Game Boy Advance. [10] Kesemua iterasi Game Boy menggamit memori dan memberi impak yang sangat mendalam kepada industri permainan video dan juga peminatnya.

Game Boy pertama mencatat rekod dan terjual sebanyak 118 juta unit, satu rekod yang hanya mampu dipecahkan oleh Nintendo sendiri, melalui Nintendo DS. [11]Keseluruhannya, keluarga Game Boy terjual melebihi 200 juta unit kepada peminat di seluruh dunia. Satu bukti kepada kehebatan peranti kecil ini.

Siapa sangka, peranti dengan saiz skrin 2 inci ini bukan sahaja diminati dan digilai pengguna, malah turut membuka lembaran baru mewujudkan era permainan video mudah alih.

RUJUKAN:

Beuscher, D. (2014, Disember 12). Game Boy
Biography
. Retrieved from All Game: http://www.allgame.com/platform.php?id=20

Byford, S. (2019, April 19). Only Nintendo could kill
the Game Boy
. Retrieved from The Verge:
https://www.theverge.com/2019/4/19/18507409/nintendo-game-boy-competitors-nokia-sony-bandai

Edwards, B. (2019, April 21). Happy 30th B-Day, Game
Boy: Here are six reasons why you’re #1
. Retrieved from Ars Technica:
https://arstechnica.com/gaming/2019/04/game-boy-20th-anniversary/

Moss, R. (2019, April 21). How Nintendo introduced the
Game Boy, Tetris, and Pokémon to the West
. Retrieved from Polygon:
https://www.polygon.com/2019/4/19/18295061/game-boy-history-timeline-tetris-pokemon-nintendo

Plant, M. (2018, Disember 21). Top 10 best-selling
videogame consoles
. Retrieved from Guinness World Records:
http://www.guinnessworldrecords.com/news/2018/12/top-10-best-selling-videogame-consoles-551938

Trautman, T. (2014, April 29). Excavating the Video-Game
Industry’s Past
. Retrieved from The New Yorker: https://www.newyorker.com/business/currency/excavating-the-video-game-industrys-past

Webster, A. (2019, April 15). The Game Boy paved the way for the Nintendo Switch. Retrieved from The Verge: https://www.theverge.com/circuitbreaker/2019/4/15/18311195/game-boy-30th-anniversary-nintendo-switch-wii

NOTA KAKI:

[1] (Plant, 2018)

[2] (Beuscher, 2014)

[3] (Trautman, 2014)

[4] (Edwards, 2019)

[5] (Webster, 2019)

[6] (Webster, 2019)

[7] (Beuscher, 2014)

[8] (Moss, 2019)

[9] (Edwards, 2019)

[10] (Edwards, 2019)

[11] (Byford, 2019)

The post Game Boy: 30 Tahun Yang Penuh Gemilang appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots