Pasaran Saham Jatuh, Apa Kesannya Kepada Kita?

Sehari dua ini bila buka Facebook, gambar yang paling popular adalah graf bursa saham kita vs bursa saham serantau. (Nak tahu kita punya yang mana, senang ja – dalam banyak-banyak line yang naik tu, ada satu line yang menjunam sorang-sorang dia. Kita la tu)

Mungkin ada kawan-kawan yang cakap, “Alah, pasaran saham merudum pun, bukan ada kaitan dengan hidup aku.”

Okay, boleh juga fikir terus begitu. Lagipun pasaran saham ini bukanlah satu petunjuk yang paling tepat untuk menilai keadaan ekonomi. Begitu juga dengan KDNK dan Ringgit.

Tapi suka atau tidak, indikator-indikator ini jugalah yang kita gunakan sebagai penanda aras sesebuah ekonomi, to some extent.

Memang kita tidak beli barang di kedai menggunakan Singapore Dollar (dulu kan orang suka lekehkan Ringgit berbanding SGD? Hehe). Memang bukan semua orang ada akaun CDS untuk melabur dalam bursa saham.

Tapi, seperti Ringgit, apa yang jadi pada bursa saham sedikit sebanyak akan tetap mempengaruhi ekonomi. Sebab prestasi pasaran saham ni boleh mempengaruhi keyakinan kita sebagai pengguna dan pemilik perniagaan.

Bila pasaran saham kita sihat (harga saham generally meningkat), kita akan ada ‘feel good’ sentiment tentang ekonomi. Kita jadi lebih yakin dengan hala tuju ekonomi kita.

Yelah, bila tengok nilai pelaburan kita dalam amanah saham meningkat, hibah Tabung Haji kita tinggi, mestilah kita seronok dan yakin ekonomi kita sedang berada di landasan yang betul.

Tapi, cuba kalau harga saham-saham kita ‘dengan istiqomahnya’ asyik menurun, dia nanti akan bagi kesan psikologi kepada pengguna dan pemilik perniagaan.

Bukan setakat jadi pessimistic, jadi panik pun ya bila tiap-tiap hari kita dengar berita semuanya negatif sahaja, contohnya berita Ringgit jatuh, pasaran saham merudum, keputusan tentang projek mega asyik flip flop dan lain-lain.

Kita orang awam yang tidak melabur saham ini pun jadi tidak senang duduk juga, betul tak? Nak berbelanja lebih sikit pun jadi risau. Sebab kita tidak pasti ke mana halatuju ekonomi.

Dan bila makin ramai orang berada dalam keadaan tidak yakin begini, perbelanjaan pengguna akan merosot sebab semua orang takut untuk berbelanja. “Tahan dulu lah nak beli rumah, nak beli kereta, nak upgrade itu ini.”

Dan bila orang sudah mula kurang berbelanja, dia akan memberik kesan pula pertumbuhan KDNK negara. Untuk pengetahuan anda, perbelanjaan pengguna adalah pemacu utama ekonomi negara. Jadi, bila ‘driver utama’ ini pun sudah terjejas untuk menyokong ekonomi, jangan terkejutlah dengar angka yang rendah bila BNM mengumumkan pertumbuhan KDNK nanti.

Bila pertumbuhan KDNK jatuh dan menjadi tajuk utama berita, lagilah kita rasa tidak yakin dengan keadaan ekonomi. “Ha, betui la. Kan dah kata ekonomi kita teruk? Tengok GDP growth dah jatuh bawah 4%!”

Orang jadi semakin berhati-hati -> potong lagi perbelanjaan -> makin memburukkan ekonomi -> dan akhirnya spiral effect.

Oh, aku bukan bercakap tentang volatiliti. Volatiliti adalah normal, dan sihat. Memang kita perlukan naik turun dalam pasaran saham (buy low, sell high = baru boleh buat duit. Kalau flat line saja, macamana nak untung?)

Kita sedang bercakap tentang hala tuju pasaran. Sedang indeks pasaran saham lain semua meningkat naik, indeks pasaran saham kita ja yang turun.

Takkan masih nak pejam mata dengan benda yang jelas macam tu?

Artikel tulisan Faiz Pyre daripada portal sekutu The Patriots, MyTwoCents.

The post Pasaran Saham Jatuh, Apa Kesannya Kepada Kita? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots