Microsoft Akan Membuang Sokongan Polisi Pelupusan Kata Laluan Bertarikh – Mengesyorkan Syarikat-Syarikat Menggunakan Ciri Sekuriti Yang Lain

Jika anda pernah bekerja didalam syarikat korporat, terdapat kebarangkalian bahawa bahagian IT syarikat tersebut pernah menggunakan polisi dimana anda perlu menukar, atau akan diberi kata laluan baru untuk peranti-peranti kerja anda setiap beberapa bulan (password expiration policy).

Polisi ini biasanya digunakan untuk memastikan bahawa maklumat yang terkandung didalam komputer anda tidak mudah diakses oleh orang lain kecuali anda.

Dengan kemaskini sistem operasi Windows 10 versi 1903 yang akan hadir pada bulan hadapan, pihak Microsoft nampaknya akan menamatkan sokongan polisi tarikh luput kata laluan ini.

Menurut pihak Microsoft, polisi pelupusan bertarikh ini adalah satu polisi yang kuno, dan perlu digantikan dengan cara-cara yang lebih moden. Dalam pada itu, ia juga dikatakan bahawa banyak syarikat-syarikat yang menggunakan polisi ini tidak menukar kata laluan apabila peranti didapati dikompromi, dan hanya menunggu untuk kata laluan tersebut ditukar secara automatik.

Akan tetapi, satu isu disini ialah dengan pelupusan polisi tersebut, Microsoft juga mengatakan bahawa syarikat-syarikat akan perlu mencari sistem perlindungan kata laluan mereka sendiri, kerana Microsoft tidak akan menukar polisi tersebut dengan perlindungan kata laluan baru.

Dalam pada itu, Microsoft juga berkata bahawa mereka tidak membuat sebarang pertukaran kepada keperluan panjang dan kerumitan yang diperlukan untuk kata-kata laluan peranti. Kemaskini ini akan tiba pada 10 Mei 2019 kelak.

Sumber : Amanz